SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan dapatan program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) yang menyatakan seramai 43,360 pelajar sekolah terlibat dengan tabiat merokok adalah angka mengejutkan.
Penyelaras Kawalan Tembakaunya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, jumlah merangkumi 43,019 pelajar sekolah menengah dan 341 murid sekolah rendah itu merupakan satu perkara yang mesti dipandang serius.
Jelas beliau, sebarang aktiviti penjualan barangan tersebut terhadap golongan berkenaan wajar dipantau dengan ketat termasuk produk nikotin baharu seperti vape yang sepatutnya diharamkan lebih awal.
"Sekarang kita sudah lihat vape semakin menjadi trend dalam kalangan anak muda. Ini bukan satu perkara yang bagus. Sepatutnya kerajaan perlu membanterasnya habis-habisan.
"Namun, yang menjadi masalah ketika ini, ia dibenarkan untuk dijual dengan syarat percukaian di samping tiada akta khas yang dapat mengimbanginya.
"Perkara tersebut sudah pasti menjadikan aktiviti penjualannya bertambah rancak dan memberi implikasi buruk yang baharu kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni memaklumkan program KOTAK yang dijalankan terhadap 3.3 juta pelajar sekolah di seluruh Malaysia itu melibatkan 1.3 juta daripada sekolah menengah manakala selebihnya adalah murid sekolah rendah.
Jelas beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memperkasa program Generasi Penamat-Anti-Rokok (GEGAR-18) yang bertujuan memberi pengetahuan perundangan dan pendidikan berterusan untuk mewujudkan persekitaran bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok.
Sementara itu, Muhammad Shaani ketika mengulas mengenai penjualan kedua-dua produk berkenaan menambah, Malaysia wajar mencontohi negara maju yang lain dalam menangani penularan tabiat penggunaannya.
"Kalau di Singapura dan beberapa negara lain, barangan nikotin terkini seperti vape terus diharamkan. Mereka tidak bagi muka.
"Sekiranya tidak mampu, penguatkuasaan undang-undang sekurang-kurangnya perlu keras. Vape dan rokok tidak boleh dijual di lokasi yang berdekatan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah sebagai langkah untuk tidak memotivasikan dalam kalangan pelajar,” ujarnya.
Katanya, inisiatif membendung tabiat buruk penggunaan barangan dalam kalangan generasi muda atau bawah umur tersebut bagaimanapun perlu mendapat dukungan penuh daripada seluruh anggota masyarakat.
Muhammad Shaani berkata, sekiranya golongan yang lebih dewasa sendiri terlibat dengan tabiat buruk itu, ia tidak akan menatijahkan sebarang kesan terhadap usaha berkenaan.
Klik di sini untuk terus membaca