SETELAH 65 tahun merdeka dan 15 kali pilihan raya umum, kerajaan kini menunjukkan minat lebih tinggi untuk menggubal undang-undang berkaitan pembiayaan politik. Sebagai sebuah negara demokrasi, kebebasan berpersatuan dan berpolitik terjamin... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH 65 tahun merdeka dan 15 kali pilihan raya umum, kerajaan kini menunjukkan minat lebih tinggi untuk menggubal undang-undang berkaitan pembiayaan politik.

Sebagai sebuah negara demokrasi, kebebasan berpersatuan dan berpolitik terjamin dalam perlembagaan persekutuan. Apabila tiada undang-undang khusus menghalang sesuatu kegiatan, aktiviti tersebut dibolehkan selagi tidak bertentangan dengan perlembagaan.

Parti-parti politik ditubuhkan untuk ‘memperjuangkan’ kepentingan rakyat. Setiap aktiviti yang dijalankan bagi tujuan tersebut memerlukan dana. Yuran keahlian dan sumbangan penyokong merupakan punca pendapatan utama bagi parti-parti politik.

Sejarah menunjukkan ada penyokong parti sanggup menyerahkan barangan kemas, wang ringgit dan harta bagi tujuan menjayakan fahaman politik.

Sumbangan politik bukan sahaja daripada individu, malah badan-badan korporat dan institusi yang menyokong parti masing-masing.

Namun, perkara asas harus ditekankan adalah sumbangan mestilah melalui suatu mekanisme telus dan berintegriti bagi memastikan ia tidak membawa kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penyokong dan kerajaan memerintah.

Untuk merangka undang-undang pembiayaan politik, beberapa faktor harus dititikberatkan. Undang-undang tidak seharusnya menghalang kebebasan tetapi mesti diimbangi dengan kawalan terhadap gejala yang boleh membawa kesan negatif lebih besar terhadap masyarakat.

Sumbangan politik yang dibalas dengan pemberian projek-projek kerajaan yang tidak telus jelas akan menjejaskan kredibiliti terhadap tadbir urus negara.

Derma politik juga boleh menyebabkan polisi-polisi awam disusun bagi menjamin kepentingan politik pemerintah tidak terganggu. Apabila polisi pentadbiran dicemari, keyakinan pelabur berkurangan dan ekonomi negara terjejas.

Sumber wang bagi tujuan politik juga harus diketahui umum. Wang digunakan parti-parti politik haruslah daripada sumber yang bersih dan tidak diragui.

Memandangkan kegiatan politik di negara ini menelan belanja besar terutama di musim pilihan raya, tidak mustahil sumber wang daripada ekonomi gelap akan dibersihkan melalui perbelanjaan politik.

Apabila politik dicampuradukkan dengan ekonomi gelap, kredibiliti ahli-ahli politik akan tergugat menjadikan keseluruhan integriti pilihan raya dan sistem politik hancur.

Setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, jelas kelihatan calon dan parti politik yang mempunyai sumber kewangan besar mempunyai peluang lebih besar menang pilihan raya.

Parti yang kaya seolah-olah mengawal perjalanan pilihan raya. Kelebihan ini menjadikan platfom pilihan raya lebih memihak kepada parti-parti politik yang besar, manakala parti-parti kecil tidak mempunyai ruang untuk mengambil bahagian dengan lebih berkesan dalam pilihan raya.

Setelah sekian lama perkara ini dipraktikkan tanpa sebarang peraturan, rakyat ternanti-nanti untuk melihat ahli-ahli politik dan para dermawan akan merasa selesa untuk membuat perisytiharan sumbangan politik.

Ramai penyokong terutama dalam kalangan korporat menyumbang kepada kedua-dua pihak bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka dan ini memberi gambaran negatif terhadap kesetiaan mereka kepada parti tertentu.

Banyak badan korporat yang tidak mahu mendedahkan hala tuju sokongan politik mereka, manakala parti politik yang memerintah pula mungkin menggunakan kuasa pentadbiran mereka menghukum penderma kepada parti lawan.

Pelbagai kajian dijalankan dan cadangan penambahbaikan telah dikemukakan kepada kerajaan seperti dilakukan Jawatan Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (2015-2016) dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (2018-2020).

Namun sehingga ke hari ini, cadangan-cadangan tersebut masih menunggu untuk dilaksanakan secara lebih menyeluruh oleh kerajaan.

Perubahan landskap politik adalah satu perkara yang menakutkan ahli-ahli politik kerana merekalah yang akan terkesan sekiranya perubahan ini berlaku.

Ahli-ahli politik yang mempunyai nilai integriti tinggi mengalu-alukan kewujudan undang-undang pembiayaan politik ini kerana ia mengurangkan kos berpolitik tanpa menjejaskan sokongan kepada parti masing-masing.

Pengundi harus dididik agar politik tidak dijadikan pentas mengutip wang ihsan. Tidak harus menggadai masa depan negara hanya kerana imbuhan semasa pilihan raya.

* Amerul Muner Mohammad ialah Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, JPM Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca