KENYATAAN Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangkang perlu berunding dengan kerajaan jika wakil rakyat mereka inginkan peruntukan kawasan yang sama, menggariskan ketiadaan undang-undang yang memperincikan... Klik di sini untuk terus membaca

KENYATAAN Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangkang perlu berunding dengan kerajaan jika wakil rakyat mereka inginkan peruntukan kawasan yang sama, menggariskan ketiadaan undang-undang yang memperincikan formula dan menjamin kesaksamaan.

Kerana tiada undang-undang sedemikian, di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri, pemberian peruntukan kawasan untuk wakil rakyat terpulang pada budi bicara Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Hanya di negeri Perak bermula pada Disember 2020 di bawah pimpinan Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Saarani Mohamad, atas perjanjiannya dengan Pakatan Harapan (PH), semua wakil rakyat tidak mengira parti menerima jumlah yang sama. Untuk Dewan Rakyat dan 12 negeri yang lain, wakil rakyat pembangkang dianaktirikan dalam tiga pola.

Di negeri seperti Johor, semua wakil rakyat diberikan sejumlah peruntukan yang sama tetapi wakil rakyat parti kerajaan mendapat peruntukan lain atas nama lain.

Di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Melaka, wakil rakyat parti kerajaan, bebas prokerajaan (kalau ada) dan pembangkang diberi jumlah yang lain. Di negeri seperti Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti kerajaan mendapat RM8 juta setahun, manakala ADUN parti pembangkang tidak diberi walau seringgit pun.

Di peringkat Persekutuan, ahli Parlimen pembangkang daripada PH yang menandatangani ‘Perjanjian Kepercayaan dan Belanjawan” (CSA) dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mendapat peruntukan kawasan yang sama untuk setahun sehingga terbubarnya Parlimen.

Perundingan yang dicadangkan oleh PMX itu seharusnya bermatlamatkan bukan saja pemberian peruntukan kawasan yang saksama untuk semua wakil rakyat tanpa mengira parti, tetapi penggubalan undang-undang untuk menjadi pemberian sedemikian di peringkat Persekutuan dan untuk kesemua 13 negeri.

Selagi penyampaian perkhidmatan awam kita belum dipertingkatkan secukupnya, selagi rakyat perlu menggunakan pengaruh wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah mereka sama ada dalam prasarana kecil atau bantuan kebajikan, maka semua wakil rakyat perlu diberi peruntukan kawasan yang saksama.

Kalau peruntukan diberikan untuk wakil rakyat pembangkang mengikut kontrak berkala, maka dana awam telah disenjatakan untuk kepentingan kepartian.

Ada yang cuba membela penganaktirian wakil rakyat pembangkang dengan alasan bahawa pembangkang akan menyalahgunakan peruntukan ini untuk kepentingan sendiri atau parti dan bukan kepentingan rakyat.

Kalau nak mengelakkan penyalahgunaan dana, cara penyelesaiannya dalam pemantauan dan pengauditan. Dengan sistem yang sama, apa yang menjamin bahawa wakil rakyat parti kerajaan tidak akan menyalahgunakan peruntukan?

Ada yang berterus-terang bahawa jika wakil rakyat pembangkang dapat memberikan perkhidmatan dengan peruntukan kawasan, maka pembangkang akan menjadi lebih kuat, maka patutlah parti kerajaan tidak memberi pedang kepada pihak lawan?

Mereka yang membawa dalih ini gagal melihat dua perkara yang memudaratkan parti kerajaan. Pertama, penganaktirian sebegini sering mengundang kemarahan rakyat yang sebaliknya memberi simpati dan sokongan kepada parti pembangkang. Kalau kaedah ini berjaya, MCA dan bukan DAP yang memegang 40 kerusi di Parlimen.

Kedua, apabila parti kerajaan hari ini menjadi pembangkang sehari nanti, mereka akan menjadi mangsa.

Saya menyokong perundingan antara parti untuk menyediakan sistem terbaik untuk menjamin – secara perkanunan - hak semua ahli Parlimen dan ADUN mendapat peruntukan kawasan yang saksama.

Amalan lapuk yang cuba membulurkan pembangkang tidak harus terus wujud di bumi Malaysia setelah empat kerajaan baru ditubuhkan dalam masa lima tahun.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca