NEW - YORL - 'Pendakwaan jenayah ini merupakan satu bentuk penghinaan kepada Amerika’. Kenyataan itu dikeluarkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump beberapa jam selepas beliau mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan... Klik di sini untuk terus membaca

NEW - YORL - 'Pendakwaan jenayah ini merupakan satu bentuk penghinaan kepada Amerika’.

Kenyataan itu dikeluarkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump beberapa jam selepas beliau mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan jenayah feloni memalsukan rekod perniagaan pada Selasa.

"Saya tidak pernah terfikir perkara seperti ini akan berlaku di negara kita. Satu-satunya ‘jenayah’ yang telah saya lakukan adalah mempertahankan negara kita daripada pihak yang cuba memusnahkannya,” tegasnya di hadapan sekutu politik dan penyokongnya setelah kembali ke kediaman peribadi beliau di Mar-a-Lago, Florida selepas dibebaskan daripada tahanan tanpa sebarang sekatan ketat.

Bilionair hartanah berusia 76 tahun itu tampil di Mahkamah Jenayah Manhattan selama kira-kira sejam selepas beliau menyerah diri untuk menghadapi pertuduhan berhubung pembayaran wang menutup mulut’ yang bakal menjejaskan hasratnya untuk kembali merebut jawatan di Rumah Putih pada 2024.

Hakim Juan Merchan dalam satu kenyataan memaklumkan perbicaraan tersebut dijangka bermula seawal Januari depan, kira-kira sebulan sebelum pemilihan calon parti bermula untuk Pilihan Raya Presiden 2024.

Taikun hotel itu didakwa memalsukan rekod perniagaan termasuk beberapa yang disalahgunakan untuk tujuan cukai.

Sepanjang prosedur itu, kawalan keselamatan turut dipertingkatkan terutamanya di ruang kamar mahkamah malah wartawan dilarang membawa sebarang peranti elektronik.

Ketika disoal petugas media di luar kompleks mahkamah, peguam Trump menyifatkan tuduhan yang dilemparkan ke atas anak guamnya itu sebagai ‘menyedihkan’ dan beliau berharap perbicaraan itu akan ditangguhkan pada musim bunga depan.

"Kami akan melawan habis-habisan,” kata Todd Blanche.

Hasut

Kumpulan penentang Trump turut berhimpun di luar kompleks mahkamah.
Kumpulan penentang Trump turut berhimpun di luar kompleks mahkamah.

Ratusan penyokong pro-Trump yang mengenakan pakaian tertera Make America Great Again (MAGA) yang merupakan slogan popular pemimpin itu turut berhimpun di pekarangan mahkamah untuk menzahirkan sokongan kepadanya tanpa berlaku sebarang insiden keganasan dengan puak penentang.

Trump yang memegang reputasi buruk sebagai playboy berulang kali menafikan beliau terlibat skandal seks bersama bekas bintang porno, Stormy Daniels selepas nama wanita itu kembali dikaitkan dengannya.

Beliau turut ‘menghasut’ para penyokongnya apabila menggelar Mercha sebagai ‘hakim yang membenci Trump’ dan mengecam Bragg kerana mengheretnya ke muka pengadilan.

Hakim memberikan tempoh sehingga 8 Ogos depan kepada pasukan undang-undang Trump untuk memfailkan usul tentang kes tersebut.

Profesor Undang-undang di Pace University, Bennett Gershman berkata, pemimpin itu pada dasarnya didakwa mendalangi ‘skim besar untuk menjejaskan proses demokrasi’.

"Dalam erti kata lain, tindakan menutup salah laku seksual yang memalukan dengan memalsukan rekod berjaya menyembunyikan maklumat sebenar daripada pengetahuan umum. Jika ia terbongkar, sudah pasti akan menggagalkan usahanya untuk kembali bertanding,” jelasnya.

Sementara itu, Profesor Undang-undang di Hofstra University, Ellen Yaroshefsky berpendapat pendakwa raya mungkin berdepan halangan untuk membuktikan rekod perniagaan palsu yang bertujuan mempengaruhi pilihan raya.

Menurutnya, salah satu halangan paling besar ialah Michael Cohen yang merupakan bekas peguam Trump yang mempunyai kredibiliti sebagai saksi utama dan pernah mengaku bersalah pada 2018 atas lapan pertuduhan persekutuan termasuk mengelak cukai, penipuan serta pelanggaran kempen kewangan yang berkaitan dengan pembayaran kepada Daniels.

Situasi dihadapi Trump pernah berlaku sebelum ini.

Pada 2012, bekas calon Parti Demokrat yang bertanding jawatan Presiden AS, John Edwards pernah dibicarakan kerana didakwa melanggar kempen kewangan dengan membuat ‘bayaran menutup mulut’ kepada perempuan simpanan.

Namun, juri menemui jalan buntu dan Jabatan Kehakiman memutuskan untuk tidak membicarakan semula kes berkenaan. - Agensi

INFO

Alvin Bragg
Alvin Bragg

- Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg mendakawa Trump terlibat 'skandal rahsia' melibatkan bekas peguam peribadinya, Michael Cohen dan eksekutif di American Media Inc (AMI) yang menerbitkan tabloid National Enquirer. Mereka terlibat 'operasi sulit' untuk menyekat maklumat negatif bagi membantu Trump memenangi pilihan raya.

- Trump didakwa mengatur 'bayaran menutup mulut' berjumlah AS$130,000 (RM571,480) kepada bekas pelakon porno, Stormy Daniels melalui Cohen beberapa hari sebelum Pilihan Raya Presiden 2016.

- Bayaran lain berjumlah AS$30,000 (RM131,880) dibuat melalui AMI bertujuan untuk mengunci mulut penjaga pintu Menara Trump berhubung dakwaan Trump mempunyai anak tidak sah taraf.

- Kes terakhir melibatkan model Playboy, Karen McDougal yang didakwa menerima AS$150,000 (RM659,400) daripada AMI sebagai pertukaran untuk tidak mendedahkan skandal seks bersama Trump.

- Presiden ke-45 AS itu turut berdepan siri siasatan jenayah berasingan di peringkat negeri dan persekutuan. Antaranya melibatkan cubaan beliau untuk membatalkan keputusan pemilihan setelah beliau kalah di Georgia pada 2020, pengendalian salah dokumen sulit kerajaan dan penglibatannya dalam kejadian rusuhan ganas di Capitol pada Januari 2021.

Klik di sini untuk terus membaca