[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Tinjauan pendapat yang dilakukan Sinar Harian di platform media sosial mendapati majoriti responden, dipercayai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berminat untuk memohon pinjaman bank menerusi... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Tinjauan pendapat yang dilakukan Sinar Harian di platform media sosial mendapati majoriti responden, dipercayai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berminat untuk memohon pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bermula hari ini.

Seramai 4,714 responden telah mengambil bahagian dalam tinjauan pendapat dilakukan dalam tempoh 24 jam menerusi medium Instagram dan Twitter.

Menerusi Instagram, sejumlah 87 peratus daripada 4,451 responden memilih untuk tidak membuat pinjaman berdasarkan soalan ‘Pencarum KWSP boleh buat pinjaman bank mulai 7 April.

Adakah anda akan memohon’ manakala 13 peratus lagi memilih jawapan ‘Ya’, menunjukkan kesediaan mereka untuk memanfaatkan kemudahan tersebut.

Sementara itu di Twitter Sinar Harian, seramai 71 peratus daripada 263 pengundi memilih untuk tidak memohon, dan 29 peratus memilih untuk membuat pinjaman.

Pada Selasa, kerajaan mengumumkan pencarum KWSP berusia 40 hingga 54 tahun yang mempunyai tabungan berjumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank mulai 7 April ini.

Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

Terdapat dua bank menyediakan kemudahan pinjaman peribadi itu menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank.

Jumlah pembiayaan maksimum yang ditetapkan adalah RM50,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 10 tahun, manakala kadar faedah yang ditawarkan antara empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa sekitar lapan hingga 15 peratus.

Pencarum KWSP tidak mahu tambah beban pinjaman sedia ada

Di Seremban, meskipun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 40 hingga 50 tahun dibenarkan membuat pinjaman bercagar KWSP, namun kebanyakan mereka melihat ia hanya menambah beban sedia ada.

Mereka berpendapat kemudahan itu sebagai menjerat pencarum terutama golongan yang mengalami masalah kewangan.

Jasme
Jasme

Jasme Saidin, 48, yang bekerja secara sambilan berkata, dia sememangnya menanti-nantikan kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP, tetapi tidak berhasrat membuat pinjaman.

Ini kerana katanya, ia tidak jauh berbeza dengan pinjaman bank lain yang memerlukan peminjam membayar bayaran ansuran setiap bulan.

"Itu duit kita sendiri, kenapa pula kena pinjam? Terus terang saya memang harap sangat kebenaran pengeluaran KWSP kerana saya tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.

"Tapi bila kata kena pinjam, memang saya terus batalkan hasrat itu. Bukannya apa, kalau jadi apa-apa nanti susah,” katanya.

Mohd Khairul Hisham

Pekerja pembersihan di Melaka, Mohd Khairul Hisham Md Nasir, 41, pula berkata, kaedah cagaran simpanan yang diperkenalkan dilihat kurang mesra rakyat kerana mengikat pencarum dengan bayaran setiap bulan.

"Kalau benarkan pengeluaran KWSP seperti sebelum ini lebih mudah. Lagi pun itu duit kita.

"Tapi kalau pinjaman saya tidak akan mohon. Saya tak mahu susahkan diri,” katanya.

Che N Intan

Selain itu, peniaga Che N Intan Zainol, 50, pula berkata, dia tidak bersetuju dengan kemudahan pinjaman bercagar itu kerana ia akan menambahkan masalah kepada rakyat terutamanya mereka yang sedang bergelut melangsaikan hutang sedia ada.

"Kalau boleh keluarkan KWSP macam dibenarkan kerajaan sebelum ini, saya memang nak keluarkan kerana nak bayar hutang.

"Tapi bila kena buat pinjaman, memang tidaklah. Saya rasa tak wajar pencarum pula kena buat pinjaman pada simpanan sendiri,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca