[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Pakar mencadangkan bank yang terlibat dengan kemudahan pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menurunkan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) kepada tiga peratus kerana pinjaman tersebut bercagar.
Menurut pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad, kadar faedah sememangnya patut diturunkan kerana bank tidak akan mengalami apa-apa kerugian jika pencarum KWSP membuat pinjaman.
"Memandangkan pinjaman ini konsepnya bercagar, maka bank sama sekali tidak rugi kerana pihaknya berada dalam situasi win-win dan bukannya win lose.
"Sesiapa yang membuat pinjaman, bank tetap akan untung dan jika peminjam tidak bayar, institusi kewangan itu tetap terima faedah kerana cagaran tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pencarum yang mahu mengeluarkan KWSP boleh membuat pinjaman bercagar kepada bank dengan kadar faedah atau kadar keuntungan adalah di antara empat hingga lima peratus iaitu lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.
Azizul Azli berkata, antara sebab lain kadar faedah itu patut diturunkan kerana pinjaman tanpa cagaran seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengenakan kadar faedah satu hingga dua peratus sahaja.
Jelas beliau, kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan untuk menggesa institusi kewangan yang terlibat untuk menurunkan lagi kadar faedah.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan penurunan kadar faedah pinjaman sama sekali tidak mempengaruhi seseorang individu untuk membuat pinjaman.
"Biasanya individu yang mahu meminjam wang, tidak akan melihat kepada kadar faedah sebaliknya mereka tetap melakukan pinjaman untuk mendapatkan wang segera.
"Bukan itu sahaja, kaedah pembayaran semula merupakan faktor yang menarik pencarum untuk berbuat sedemikian,” ujarnya.
Pada masa sama, Azizul Azli menjelaskan tiga faktor menyebabkan segelintir pencarum masih lagi sangsi dan tidak bersetuju dengan cara pinjaman adalah kadar faedah, kaedah pembayaran balik dan syarat pinjaman.
Jelasnya, terdapat juga individu beranggapan bahawa prosedur untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP perlu melalui proses panjang dan rumit.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, pencarum perlu mengetahui asas dan matlamat membuat pinjaman dengan mencagar wang KWSP.
"Jika kadar faedah tiga, empat atau lima peratus sekali pun dengan tujuan untuk meningkatkan harta dan produktiviti yang boleh menaikkan gaji, maka ia tidak menjadi satu masalah.
"Namun jika pinjaman dibuat untuk perkara tidak berfaedah bagi memenuhi kehendak diri seperti membeli telefon pintar baharu, ia bukanlah satu tindakan yang rasional,” katanya.
Tambah beliau, memandangkan pinjaman hanya dibenarkan untuk pencarum berumur 40 tahun keatas, ia akan menyebabkan masalah kecukupan pencen yang membimbangkan.
Sementara itu kata Firdaos, golongan yang pernah mengeluarkan wang KWSP mempunyai masa yang singkat untuk mengisi semula simpanan wang yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Ujarnya, jika simpanan hari tua tidak mencukupi, mereka terpaksa bekerja pada waktu persaraan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya membuat kesimpulan bahawa semua individu mempunyai status kewangan yang sama.
"Sebaliknya, kerajaan perlu melakukan kajian tentang berapa ramai yang benar-benar memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.
INFO KIRAAN PINJAMAN
- Kiraan simpanan dalam KWSP dengan kadar dividen lima peratus setahun
- RM50,000 x 5 peratus faedah tahunan RM2,500
- RM2,500 x 10 tahun=RM25,000
- Jumlah bayaran balik RM75,000
Simpanan dalam KWSP
1)RM50,000 x 5 peratus = RM2,500
2)RM52,500 x 5 peratus = RM2,625
3)RM55,125 x 5 peratus = RM2,756
4)RM57,881 x 5 peratus = RM2,894
5)RM60,775 x 5 peratus = RM3,039
6)RM63,814 x 5 peratus = RM3,191
7)RM67,005 x 5 peratus = RM3,350
8)RM70,355 x 5 peratus = RM3,518
9)RM73,873 x 5 peratus = RM3,694
10)RM77,567 x 5 peratus = RM3,875
Jumlah simpanan RM81,445
Klik di sini untuk terus membaca