[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pinjaman bank diminta tidak menggunakan wang diperoleh dengan melabur dalam skim pelaburan berisiko dan tidak mendapat jaminan daripada kerajaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ia berikutan ramai masyarakat terutama pesara masih terpedaya dengan mengeluarkan duit simpanan dan persaraan dalam KWSP untuk melabur dalam skim pelaburan palsu.
"Kes terbaru apabila seorang pesara menggunakan wang KWSP berjumlah RM250,000 untuk labur dalam sebuah syarikat pelaburan palsu dengan menerima dividen sehingga empat bulan pertama sahaja, namun selepas itu syarikat berkenaan tutup operasi dan hilangkan diri.
"Jadi jangan sesekali gunakan duit persaraan untuk melabur dalam pelaburan berisiko yang tidak berdaftar secara sah, selain tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
"Jika mahu melabur biarlah buat pelaburan dalam syarikat dikawal selia oleh kerajaan seperti pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2),” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, pihaknya setakat ini menerima kira-kira 500 aduan berhubung kes penipuan skim pelaburan dan kebanyakan mereka ditipu ialah pesara yang menggunakan wang KWSP.
Menurutnya, menggunakan duit KWSP untuk melabur bukan strategi yang baik kerana wang tersebut sepatutnya digunakan bagi persaraan semasa tua kelak.
"Nak buat pelaburan seharusnya daripada wang lebihan yang ada. Ia bukannya menerusi duit KWSP yang perlu disimpan dan digunakan untuk perbelanjaan masa hari tua nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan kerajaan membenarkan pencarum KWSP meminjam bank perlu dimanfaatkan dengan baik demi menjamin kelangsungan hidup.
Bekas Ketua Polis Negara itu menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan wang KWSP bagi membuat pelaburan tidak sah memandangkan ramai masyarakat menjadi mangsa penipuan pelaburan.
"Akhirnya ia akan memberikan kesusahan kepada mangsa penipuan.
"Mereka bukan sahaja perlu menanggung hutang, malah turut mengalami kerugian akibat ditipu oleh mereka yang menawarkan pelaburan tidak sah,” ujar beliau.
Selidik aspek kewangan sebelum berbelanja
Sementara itu, pencarum KWSP yang berjaya membuat pinjaman perlu menyelidik aspek kewangan mereka terlebih dahulu sebelum berbelanja.
Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ia termasuklah menentukan keperluan kritikal yang perlu didahulukan agar tidak dipengaruhi dengan nafsu berbelanja.
"Perkara pertama yang perlu mereka lakukan adalah selidik dan kenal pasti aspek kewangan mereka supaya berbelanja dengan berhemah serta mengikut keutamaan.
"Mungkin ada perkara kritikal yang kita mesti dahulukan dan ada yang boleh kita tangguhkan. Aspek-aspek sebegini perlu diambil kira dalam membuat keputusan sebelum berbelanja.
"Janganlah kita meminjam semata-mata untuk belanja hari raya, beli kereta baharu atau menggunakannya bagi membeli peralatan dan perkakas baharu. Gunakannya untuk keperluan mendesak sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Barjoyai mengingatkan peminjam agar tidak sesekali menggunakan wang yang diperoleh itu untuk melabur dalam institusi lain.
"Kalau ada yang nak gunakan wang ini untuk melabur dalam institusi lain, itu tak patut dibenarkan kerana berdasarkan rekod lepas, ramai penyimpan atau pencarum yang mengeluarkan wang untuk melabur di institusi lain, namun mengalami kerugian.
"Kenapa nak membazirkan kapasiti kewangan yang ada, sebab kalau terus disimpan dalam KWSP, sekurang-kurangnya mereka akan terus dapat dividen enam peratus setahun,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut berpandangan, kerajaan boleh membantu mereka yang benar-benar terdesak dengan menggunakan pendekatan Qardh al-Hasan (pinjaman ihsan) iaitu pinjaman ikhlas atau pinjaman yang tidak melibatkan faedah atau syarat tambahan pada saat pengembalian pinjaman.
Barjoyai berkata, ia sepatutnya dimulai oleh institusi seperti Baitulmal, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah.
"Itu yang sepatutnya berlaku. Mereka diberikan pinjaman betul-betul atas keperluan, misalnya rumah yang sudah nak digadai, mereka wajib dibantu,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca