SHAH ALAM - Di sebalik beberapa siri gempa bumi besar di Turkiye, Jepun dan Indonesia dalam tempoh dua bulan ini, pakar-pakar memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana berkenaan.
Bahkan kata Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azlan Adnan, susulan siri gempa bumi yang berlaku baru-baru ini, rantau Asia Tenggara turut berisiko mengalami gempa skala besar, malah lebih besar daripada yang berlaku di Turkiye-Syria pada 6 Februari lalu.
"Melihat kepada subduction zone (garis sesar besar plat bumi yang bergerak secara pugak) di Sumatera misalnya boleh berlaku gempa kuat sehingga 9.5 magnitud.
"Bagi Malaysia pula, kawasan Semenanjung dijangkakan boleh berlaku gempa sehingga 6 magnitud sementara di Sabah boleh mencecah 7 magnitud,” katanya lagi.
Azlan berkata, magnitud gempa bumi adalah bergantung kepada berapa panjang sesar aktif yang akan bergerak.
"Sesar sedia ada yang dipaparkan di peta geologi berkemungkinan sangat panjang, tetapi sesar yang aktif dan bergerak sahaja yang akan menentukan magnitud gempa yang dihasilkan,” katanya.
Pun begitu katanya, gempa bumi besar di Turkiye baru-baru tidak memberi kesan terhadap Lingkaran Api Pasifik di Asia Tenggara yang menyebabkan negara berdepan dengan bencana itu.
"Gempa di Turkiye dan Syria tidak mempengaruhi berlakunya gempa di Malaysia tetapi gempa yang berlaku di Indonesia dan Jepun mampu mempengaruhi keaktifan Lingkaran Api Pasifik dan seterusnya menambah kemungkinan berlaku gempa di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu katanya, sebagai persiapan menghadapi kemungkinan terjadi gempa bumi di Malaysia, Azlan mengutarakan beberapa cadangan langkah yang boleh diambil.
"Semua bangunan perlu melaksanakan reka bentuk kalis gempa bumi menggunakan panduan Standard Malaysia yang telah diterbitkan pada tahun 2017. Kedua, pembinaan bangunan harus mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang telah ditentukan oleh panduan tersebut.
"Seterusnya, bangunan yang telah dibina terutama yang lama dan yang penting seperti sekolah dan hospital, perlu dinilai semula kekuatannya sama ada boleh bertahan atau perlu dibaik pulih,” katanya.
PLAT BUMI
Beliau turut menyarankan pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan pematuhan undang-undang reka bentuk gempa dan menghasilkan peta risiko gempa bumi bagi perancangan pembangunan pada masa akan datang dan persediaan untuk menghadapi bencana tersebut di kawasan mereka.
Sementara itu, Pakar Geologi Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Felix Tongkul menegaskan, kebanyakan gempa bumi kuat di Malaysia tertumpu di beberapa lokasi di Sabah.
"Hal ini disebabkan Sabah terletak pada plat bumi yang kurang stabil dan berdekatan dengan plat bumi tidak stabil dari Filipina,” katanya.
Menurut beliau, situasi di Malaysia agak berlainan berbanding negara jiran di mana plet buminya secara relatif stabil kecuali di Sabah.
"Kejadian gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina misalnya tidak menghasilkan pergerakan plat bumi yang signifikan untuk menghasilkan gempa bumi besar di Malaysia.
"Tetapi gempa bumi yang kuat dari Indonesia dan Filipina yang terletak berdekatan Sabah (misalnya di kawasan Laut Sulu atau Laut Sulawesi) boleh mencetuskan pergerakan bumi di Sabah yang mungkin akan menghasilkan gempa bumi besar,” katanya lagi.
Tambahnya, antara kawasan yang paling tinggi risiko gempa bumi berlaku ialah seperti di Lahad Datu, Kunak, Ranau dan Kudat.
Kawasan yang sederhana bahaya gempa bumi berlaku di Semporna, Tawau, Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Pitas.
Perlu siap sediaSementara kawasan yang rendah bahaya gempa bumi adalah Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Telupid dan Tongod.
Menurut Felix lagi, walaupun risiko gempa bumi besar di Malaysia tidak sehebat seperti di negara jiran yang aktif gempa, Malaysia perlu bersedia sekiranya berdepan gempa bumi kelak.
"Peningkatan kesedaran awam terhadap risiko gempa bumi serta persediaan sebelum, semasa dan selepas gempa bumi perlu dipergiatkan dan diadakan secara berterusan terutama pada komuniti yang terkesan di Sabah.
"Pada masa sama pematuhan kepada kod reka bentuk bangunan tahan gempa bumi sedia ada perlu dikuatkuasakan dan dipantau, terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Gempa berukuran 6 magnitud yang melanda Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015 dengan 18 orang menjadi korban adalah gempa bumi terkuat pernah melanda negara.
Klik di sini untuk terus membaca