MINGGU lalu, sahabat karib saya, Lim Chee Wei telah memberi pencerahan tentang upacara pengebumian ayahanda beliau selepas perincian kebudayaan Tionghoa perihal pengebumian dalam kolum ini. Saya ingin menyampaikan salam takziah kepada sahabat saya serta keluarga beliau.
Pencerahan Lim telah memangkinkan usaha-usaha untuk mengeratkan hubungan harmoni antara kaum.
Ekoran itu, saya ingin kongsikan teras kebudayaan kaum Tionghoa dalam pengurusan kewangan untuk rujukan kaum lain.
Pertama sekali, konsep pinjaman peribadi untuk perkahwinan jarang berlaku di dalam komuniti Tionghoa.
Amalan memberi 'ang pow' bukan sahaja diamalkan sewaktu Tahun Baharu Cina, malah dalam perayaan peribadi seperti perkahwinan, hari jadi dan sebagainya. Keluarga pengantin-pengantin baharu akan membuat jangkaan penerimaan 'ang pow' daripada tetamu-tetamu jemputan, barulah memilih tempat untuk menyambut perkahwinan.
Contohnya, sekiranya jangkaan penerimaan 'ang pow' ini adalah dalam lingkungan RM20,000, maka pihak pengantin akan memilih sebuah restoran yang melibatkan kos RM15,000.
Sebagai seorang pengacara majlis, saya pernah mengacarakan perkahwinan Tionghoa dengan lima meja tetamu jemputan di sebuah restoran kecil. Ada juga yang berkeupayaan untuk menjemput lebih daripada 1,000 tetamu di hotel lima bintang.
Lazimnya, pengantin-pengantin akan mendapat lebihan daripada penerimaan 'ang pow' tersebut, dan dibelanjakan untuk lawatan berbulan madu ataupun disimpan.
Selain itu, pihak penganjur perkahwinan akan mencatatkan penerimaan 'ang pow' tersebut, agar sekiranya mereka dijemput ke majlis perkahwinan pada masa hadapan, mereka akan merujuk kepada catatan dan memberikan jumlah 'ang pow' yang lebih daripada yang telah diterima.
Konsep yang sama juga terpakai dalam upacara pengebumian. Kematian selalunya berlaku tanpa terancang.
Berlainan dengan tatacara pengebumian agama lain, keranda mendiang akan dikekalkan beberapa hari untuk membenarkan kawan dan keluarga untuk memberikan penghormatan terakhir dan ini melibatkan kos.
'Ang pow' bermaksud sampul merah. Merah adalah warna untuk perayaan dalam kebudayaan Tionghoa.
Justeru, ia tidak bersesuaian untuk upacara yang sedih. Sebaliknya, sampul putih "Pak Kam/Pek Kim" akan digunakan untuk pemberian sumbangan kepada keluarga mendiang.
Terpulang kepada populariti mendiang atau keluarga, kebiasaannya penerimaan duit sampul putih dapat menampung kos.
Sekiranya terdapat lebihan, selalunya pihak keluarga mendiang akan mendermakan lebihan itu kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau institusi-institusi pendidikan dan agama.
Sebagai balasan, NGO atau institusi-institusi ini akan meletakkan panji besar mereka di tempat upacara pengebumian sebagai tanda hormat kepada mendiang.
Dari segi pelaburan pula, secara kolektif, kaum Tionghoa mengutamakan pelaburan dalam pendidikan generasi akan datang. Tidak kurang juga ibu bapa yang sanggup menjual rumah atau aset lain untuk menampung perbelanjaan anak-anak untuk pendidikan yang dianggap terbaik untuk mereka sama ada di luar negara atau tempatan.
Ada juga ibu bapa yang telah menabung untuk pendidikan universiti anak sejak kelahirannya. Ahli-ahli keluarga juga akan menawarkan 'ang pow' kepada anak-anak saudara yang bakal memasuki institusi pengajian tinggi.
Bak kata pepatah Cina "biar hidup miskin, tidak akan miskinkan pendidikan”. Pendidikan yang terbaik akan memastikan kehidupan yang setimpal dengan tahap pendidikan.
NGO-NGO Tionghoa yang berunsurkan asal-usul moyang seperti Persatuan Hokkien, Persatuan Hakka juga menawarkan bantuan biasiswa kepada anak-anak yang mencapai keputusan yang cemerlang atau mengalami kesukaran kewangan dalam pendidikan.
Saya berharap agar perkongsian ini dapat dirujuk oleh pembaca-pembaca dengan latar belakang kebudayaan yang lain. Yang membawa manfaat, kita hayati bersama. yang berbeza arus, kita hormati.
*Tai Zee How, juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca