PILIHAN Raya Negeri (PRN) yang melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan dijangkakan berlangsung sekitar Julai atau Ogos tahun ini.
Jangkaan itu dibuat bersandarkan kepada mesyuarat antara Menteri Besar dan Ketua Menteri enam negeri tersebut Februari lalu yang bersepakat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada dua minggu terakhir bulan Jun.
PRN dijangka menarik perhatian menerusi dua perkara berikut. Pertama apakah ia umpama Pilihan Raya Pertengahan Penggal (midterm election) bagi mengukur sokongan popular Kerajaan Perpaduan terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Kedua dan paling menarik sudah tentulah fenomena ‘Gelombang Hijau’ Perikatan Nasional (PN). Selepas PRU15 diperhatikan belum ada petanda sudah reda. Justeru itu apakah ia akan berterusan lantas membawa kejutan serupa seperti sebelumnya.
Perkembangan semasa memperlihatkan PN berkeyakinan bahawa gelombang tersebut akan berterusan dalam PRN. PN ketika ini berterusan dan konsisten mengasak Kerajaan Perpaduan dengan isu-isu populis yang menyentuh tentang Melayu-Islam. Dengan PN nampak lebih kukuh dan bersedia menghadapi PRN, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pula dilihat sebaliknya.
Yang jelas, kerjasama PH-BN perlu menghadapi PRN sekurang-kurangnya secara strategik bagi mengelak pertembungan tiga penjuru yang mungkin menguntungkan PN. Secara logiknya, baik PH mahupun BN akan rugi kalau bergerak secara in-silo yang berpotensi memecahkan undi berbanding bekerjasama.
Namun begitu, kerjasama PH-BN masih belum berupaya menghalang pengaruh PN di kalangan pengundi Melayu. Kerjasama menjadikan pertandingan seimbang satu lawan satu dengan PN, namun kesediaan untuk akar umbi, terutamanya orang UMNO untuk tidak mengundi PH masih tinggi berbanding sebaliknya.
Dua persoalan penting mencongak formula kerjasama PH-BN perlu dilihat sebagai asas perbincangan. Pertama ialah adakah kerjasama itu bermaksud mereka akan menggunakan lambang parti masing-masing di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu) atau berani untuk bertanding di bawah logo PH di negeri-negeri bercampur seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Menjangkakan PN mungkin menggunakan logo Pas di negeri-negeri majoriti Melayu dan logo PN di negeri-negeri bercampur, ia mungkin satu strategi yang boleh dipertimbangkan PH-BN.
Namun penggunaan lambang masih tidak menghilangkan halangan terbesar iaitu perasaan skeptikal akar umbi terhadap kerjasama itu. Jentera parti PH-BN tidak pernah tergambar untuk bekerjasama apatah lagi selepas masing-masing saling menyerang dalam PRU15.
Kedua isu pembahagian kerusi. Pembahagian kerusi dilihat tidak bermasalah di negeri-negeri majoriti Melayu memandangkan BN terutamanya UMNO lebih dominan di kawasan tersebut berbanding PH. Namun di negeri-negeri bercampur, BN adalah minoriti. Paling bermasalah sudah tentu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Sebagai contoh di Negeri Sembilan kedudukan semasa 36 kerusi memperlihatkan keseimbangan penguasaan dengan PH menguasai 20 kerusi berbanding BN 16 kerusi.
Dilemanya sudah tentu kalau parti masing-masing mengekalkan status quo maka PH akan mendapat agihan kerusi yang lebih berbanding BN di sebalik kekuatan dan pengaruhnya yang seimbang.
Dengan senario yang serupa juga mungkin akan berlaku di Selangor, maka hajat UMNO-BN untuk merampas kembali Negeri Sembilan dan menguasai semula Selangor tidak mungkin berlaku.
Dalam masa yang sama, PH juga tidak berupaya untuk menyumbang kemenangan untuk UMNO-BN kalau bekerjasama di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Maka sudah tentu UMNO tidak akan menjadi Menteri Besar di negeri-negeri tersebut kalau Pas-PN masih terlalu ampuh untuk ditumbangkan.
Hakikatnya, baik PH mahupun BN perlu faham bahawa kerjasama sebagai kerajaan dan kerjasama sebagai pakatan pilihan raya adalah dua perkara yang sangat jauh berbeza. Dengan masa yang semakin suntuk, apakah ada formula lain bagi PH-BN untuk mempercepatkannya.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca