ORANG Islam jijik dengan khinzir, sepatut jijik juga dengan harta rasuah.
Perasuah kaya mana pun harta dan zuriat yang ditinggalkan tak ke mana. Yang mengiringi ke alam barzakh atau alam kubur ialah amal soleh dan berintegriti mulia.
Jangan lupa tentang mati. Mati adalah ketentuan ALLAH.
Firman ALLAH dalam Surah al- Baqarah ayat 28 maksudnya:
Bagaimana kamu tergamak kufur mengingkari ALLAH, padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), maka ia (ALLAH) menghidupkan kamu, kemudian ia (ALLAH) mematikan kamu, kemudian ia (ALLAH) menghidupkan kamu semula di hari akhirat, akhirnya kamu dikembalikan kepada ALLAH untuk menerima balasan segala apa yang kamu kerjakan, (iaitu di dunia).
Orang Islam yang beriman percaya, pemberi dan penerima rasuah pasti ke neraka. Manakala yang tak beriman dengan ALLAH balasan mereka apa yang termaktub dalam Kitab ALLAH.
Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 42 bermaksud: Dan janganlah kamu campuradukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu padahal kamu semua mengetahuinya.
Layak kah kita meminta orang lain menguburkan rasuah tetapi kita pula menggalinya?
Ibarat bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Renungilah Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud: Patut kah kamu menyuruh manusia supaya membuat kebaikan sedangkan kamu lupa pada diri kamu sendiri (iaitu tidak melaksanakannya) padahal kamu semua membaca kitab ALLAH. Tidakkah kamu berakal? (atau memikirkan).
PEMIMPIN, RAKYAT BEBAS RASUAH
Tegaknya tiang kerana rumah,
bergeraknya sendi kerana ibadah,
awal mengenal Kalimah ALLAH,
mendirikan solat memuji ALLAH.
Bacaan solat bermula Bismillah,
diikuti kemudian dengan al-Fatihah,
itulah fahaman mazhab Shafie’iyyah,
agar kita semua tidak berpecah-belah,
Buat anak cucu cicitku akhir zaman,
fahamilah Rukun Islam Rukun Iman,
belajarlah dua perkara itu sebagai pedoman,
semoga menjadi orang yang beriman.
Negara tertegak kerana bangsa,
negara runtuh kerana angkara,
bersatulah kita berbilang bangsa,
mengikut pedoman Rukun Negara.
Hindarkan diri budaya rasuah,
hindarkan diri perangkap dadah,
bangsa bermaruah kata yang indah,
semoga negara bangsa tidak dijajah.
Pemimpin dan rakyat tidak berasuah,
amanah dan jujur dimuliakan ALLAH,
ia yang tersurat dalam Kitab ALLAH, semoga tak dilaknat ALLAH dan Rasulullah.
SYOR SPRM BAWAH PARLIMEN
Tanjung Tuan rumah api, aku bermadah aku berpuisi, subjek rasuah perlu diajari.
Tadika, rendah, menengah sampai universiti.
Apakah SPRM diletak bawah Parlimen payung institusi,
Raja Berperlembagaan rakyat sanjungi,
dulu dan kini pemimpin silih berganti,
rakyat menunggu ternanti-nanti.
Negara aman ekonomi dilimpahi,
rakyat tak berasuah amanah
jujur ALLAH redhai,
jadikan rakyat Malaysia
bangsa berintegriti,
semoga negara Malaysia
maju dapat dicontohi.
Malaysia Madani katanya indah,
aku bermadah tamatlah sudah,
pemimpin berseloka janganlah melatah,
Teruskan perjuangan sampai sudah.
Fikir-fikirkanlah...
Layari lah e-book Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat secara percuma di laman web: https://www.datukmohamaddin.com
* Datuk Mohamad Din Yusoh ialah penulis buku Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat
Klik di sini untuk terus membaca