SHAH ALAM - Harga emas diramal mampu melonjak sehingga RM300 satu gram menjelang penghujung tahun ini berdasarkan harganya RM288 pada Khamis menjadikannya tertinggi dalam sejarah pasaran emas Malaysia.
Ketua Pegawai Ekekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor berkata, walaupun harga semasa (spot) emas belum melepasi harga tertinggi dalam nilaian dolar Amerika Syarikat, namun harganya ketika ini telah mencecah harga tertinggi dalam sejarah negara.
"Berdasarkan data-data ekonomi terbaharu dan kegagalan beberapa bank besar di Amerika Syarikat, saya jangka harga emas akan terus mengukuh dan mampu mencapai RM300 satu gram pada tahun ini.
"Sebab itu saya beranggapan bahawa emas adalah seperti tabung simpanan.
"Tidak seperti tabung simpanan lain berbentuk mata wang yang susut nilainya, emas dinilai pada berat dan ketulenan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Akhbar ini pada pada Khamis melaporkan harga emas yang naik sehingga RM287 satu gram menyebabkan ramai wanita di negara ini khususnya di Kelantan memilih untuk mencairkan aset milik mereka dengan menjualnya semula.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan mereka berbuat demikian bertujuan mendapatkan wang tunai sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri di samping menampung keperluan harian dan persekolahan anak.
Justeru itu, Mohd Faizal menjelaskan, tidak salah segelintir orang menjual emasnya ketika ini kerana mereka dapat menikmati keuntungan.
"Sebagai tabung simpanan, sudah tentu penabung boleh menggunakannya pada bila-bila masa yang dirasakan perlu. Penabung emas boleh melepaskan sebahagian pegangan emas mereka ketika harga tinggi seperti ketika ini untuk menikmati keuntungan.
"Bagaimanapun penabung emas jangka panjang akan cuba memastikan setiap gram yang mereka lepaskan mampu dibeli semula pada harga yang sama atau lebih rendah dari harga yang telah mereka jual,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid berkata, kenaikan harga emas itu menunjukkan emas sememangnya satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.
"Dengan adanya emas, ia dapat bantu pemiliknya ada wang tunai dalam tangan terutama pada waktu kecemasan kerana ia boleh dicairkan serta merta dengan menjualnya atau ia juga boleh dipajak,” ulasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran Habib Jewels, Mohd Zaruddin Mahmud memberitahu, harga emas diramal terus naik disebabkan beberapa faktor termasuk inflasi dan permintaan lebih tinggi emas menjelang musim perayaan.
"Namun buat masa sekarang kalau kita ada lebihan wang, dicadangkan jangan jual dulu emas yang ada, elok terus simpan kerana penganalisis pasaran emas menjangkakan bahawa harga emas akan terus naik.
"Kalau terdesak dan sangat perlukan wang, pemilik emas ini masih boleh dapatkan tunai dengan memajak emas mereka kerana upah simpan cuma satu peratus sahaja,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca