ALHAMDULILLAH, keinginan kita untuk mendapatkan seorang senator daripada kalangan sasterawan telah termakbul. Dengan pelantikan Datuk Seri Dr Awang Sariyan, suara sasterawan tentang bahasa, sastera dan budaya akan terdengar di Dewan Rakyat.
Nampaknya dua artikel sebelum ini ‘Senator Sastera di Dewan Negara’ dan ‘Lantik Sasterawan sebagai Senator’ di ruangan ini mempunyai impak dan pragmatiknya yang kuat dan tersendiri.
Dalam konteks ini, elok juga jika kita meninjau semula, beberapa kenyataan terdahulu yang pernah dicatatkan dalam dua buah artikel tentang pelantikan senator itu. Tuntutan dan keperluan suara sasterawan di Dewan Rakyat itu, demi banyaknya persoalan dan permasalahan besar, yang belum dan tidak dapat dipecahkan.
Antara yang masih belum selesai persoalannya, seperti Dasar Sastera Kebangsaan yang sudah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Banyak pertemuan dalam kalangan penguasa sastera telah membincangkannya, namun masih tersekat kewujudannya. Rancangan pembangunan sastera yang menjadi idaman dan harapan para pengarang di negara ini masih terabai.
Suara sumbang senantiasa mencari jalan menggugat kedudukan sastera kebangsaan. Datangnya dari pelbagai penjuru, dengan tujuan untuk melemahkan konsep dan kuasa sastera kebangsaan itu. Dasar Sastera Kebangsaan itu yang sudah dirancang berpuluh-puluh tahun itu, sudah sampai masanya untuk dilegitimasikan. Terus sahaja dimantapkan dan dipertahankan.
Menarik juga, Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Saleeh Rahamad pernah menjelaskan, sudah berlangsung beberapa pertemuan untuk membincangkan semakan semula Dasar Sastera Kebangsaan. Dasar itu perlu dimartabatkan secara perundangan, bukan lagi kekal sebagai konsep longgar yang sentiasa terdedah kepada cabaran para demagogi politik.
Memang diakui sastera masih berada di tempat terpinggir dalam agenda pembangunan nasional. Teknologi dan sains menenggelamkan sastera.
Muzium sasteraSelain itu persoalan lain yang perlu diambil perhatian ialah penubuhan Muzium Sastera Negara, juga patut dihidupkan semula. Beberapa tahun dahulu sudah ditentukan konsep dan pembinaannya, tetapi kini cita-cita itu sudah menghilang dari ingatan. Tidak perlu diulang betapa signifikannya sebuah muzium sastera bertaraf kebangsaan didirikan.
Hayat sastera Melayu sudah terlalu panjang dan tua, serta pernah menjadi alat penggerak semangat kemerdekaan, dan berusaha pula melakukan pengisiannya pada zaman pascamerdeka. Rasanya, tidak ada sebarang fenomena yang dapat menghalang usaha perwujudan Muzium Sastera Negara itu. Meski sudah ada muzium sastera di Melaka dan Selangor, tetapi kita memerlukan yang beridentiti kenegaraan seperti Muzium Negara.
Sebuah lagi gerakan yang wajib dihidupkan ialah anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mencadangkan dalam sistem pendidikan negara supaya mata pelajaran sastera, diangkat tarafnya menjadi mata pelajaran wajib bersama Bahasa Melayu, Inggeris, Pendidikan Islam dan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains. Pelajaran sastera antara falsafahnya ialah memanusiakan manusia dan mengembalikannya kepada taraf insaniah.
Serombongan ahli Gapena telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan, tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan. Rasanya pertemuan perlu dibuat antara Gapena dengan Menteri Pelajaran Malaysia, Fadhlina Siddiq. Ayahnya, Siddiq Fadzil, mantan Presidan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) adalah kawan persekolahan saya di Sekolah Izuddin Shah Ipoh.
Sebuah rancangan yang perlu diambil perhatian ialah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar sastera. Situasi ini sama dengan bandar sastera Athens kepada Greek, Paris kepada Perancis dan Saint Petersburg kepada Russia. Athens ialah ibu kota serta bandar raya terbesar negara Yunani dan tempat asal demokrasi.
Kota yang dinamai sempena nama dewi Athena berdasarkan mitologi ini, salah sebuah bandar raya yang tertua di dunia, dengan sejarah tercatat sekurang-kurang 3,000 tahun, tempat berkumpulnya dramatis, pengarang dan para pelibat kesenian.
Fungsi DBP Pada tahun 1993, sewaktu saya menjadi kolumnis ruangan ‘Sastera Melayu’ di Utusan Malaysia, saya ada mencadangkan: Kuala Lumpur menjadi bandar Sastera Islam Sedunia.
Dalam kesedaran ini, suatu perancangan yang sistematis haruslah diatur. Sebuah organisasi elok ditubuhkan untuk melaksanakan ‘Pusat Pengembangan Sastera Islam Sedunia’ di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjadi sekretariatnya.
Jika perlu sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan dengan segera untuk mengendalikan pusat tersebut, supaya cita-cita untuk mengembangkan sastera Islam di Malaysia khasnya dan dunia amnya terlaksana dengan sebaik-baiknya.
Tentu sahaja dengan wujudnya pusat itu nanti, sebarang kegiatan ke arah mencemerlangkan sastera Islam berjalan dengan lancar. Tanpa wang dan kemudahan tentu segala-galanya tidak akan berjalan.
Saya juga pernah mengharap dalam usaha mempertingkatkan martabat kesusasteraan, sebuah institusi khas seperfi Frakfurt School atau Institut Penyelidikan Sastera patut kita tubuhkan.
Kita memang sudah mempunyai DBP, Akademi Pengajian Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu dan sebagainya, tetapi skopnya terlalu luas; mencakup segala bidang pengajian Melayu termasuk bahasa, kebudayaan dan sebagainya.
Apa yang saya maksudkan di sini ialah sebuah institusi, institut atau school yang khusus dan mengkhususkan diri hanya kepada bidang sastera dan kesusasteraan sahaja.
Namanya, mungkin ‘Institut Kesusasteraan’ atau apa sahaja. Maka berkumpullah bijak pandai sastera, ilmuan dan sasterawan dalam Institut Kesusasteraan ini.
Dan tugas yang terpenting ialah para ilmuwan akan memberi fokus ke arah menghasilkan penyelidikan dan teori-teori sastera terbaru, sementara sasterawan menghasilkan teks-teks yang lebih bermutu. Ertinya lebih menangani persoalan kesusasteraan terkini dan arah masa hadapan.
Saya percaya pandangan ini bukannya utopia, bukan juga bertindih dengan institusi yang lain. Saya rasa sudah sampai masanya kita mempunyai sebuah Institut Kesusasteraan yang akan menjadi lambang kekuatan kesusasteraan moden dan pascamodenisme negara.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca