BERDEPAN cabaran untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengakui sering menerima komen-komen negatif sesetengah... Klik di sini untuk terus membaca

BERDEPAN cabaran untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengakui sering menerima komen-komen negatif sesetengah pihak sehinggakan ada yang melabel jabatan tersebut sebagai 'jentera propaganda kerajaan' atau menjadi alat parti politik.

Tidak mudah melatah dengan kritikan, Mohammad Agus tegas menyatakan bahawa J-KOM kekal dengan fokusnya iaitu memastikan seluruh rakyat memahami dasar kerajaan iaitu Malaysia Madani, sekaligus mewujudkan masyarakat yang bersatu, berkasih sayang dan bertoleransi antara satu sama lain.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Mukhriz Mat Husin bersama Mohammad Agus di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Sebelum ini Datuk pernah menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu dalam kerajaan. Sekarang ini, apa yang membuatkan Datuk berubah fikiran untuk menerajui J-KOM?

AGUS:
Saya telah membuat keputusan untuk bertugas dengan kerajaan Perdana Menteri ke-10. Jadi, saya tidak lagi mahu mengulang sebab saya menerima tawaran ini. Yang jelas, saya mahu membantu kerajaan dan mahu menyumbang tenaga dan fikiran untuk bersama Perdana Menteri bagi membangunkan negara ini.

Saya yakin gagasan Malaysia Madani adalah wawasan terbaik Perdana Menteri untuk menjadikan negara kita gagah semula di pentas dunia. Saya juga mahu menjadi sebahagian daripada orang yang terlibat menjayakan wawasan ini.

SINAR AHAD: Apakah sebenarnya peranan J-KOM kerana masih ada yang menganggap ia sama seperti Jabatan Penerangan?

AGUS:
Pada awal penubuhan J-KOM, ia diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Selepas itu, pada 19 Mei 2021, jabatan ini telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tujuan pertukaran ini adalah untuk memastikan semua entiti berkaitan komunikasi strategik kerajaan diletakkan secara berpusat agar pelaksanaan pelan komunikasi strategik serta pemantauannya dapat diselaraskan dengan lebih cekap dan berkesan.

Peranan jabatan ini adalah untuk membangunkan komuniti di peringkat akar umbi. Pendekatannya adalah menyantuni komuniti lokal dengan berteraskan tiga fokus utama, iaitu membangunkan masyarakat yang berbudaya ilmu, berkemahiran digital dan berjiwa patriotik.

Apakah fungsinya sama dengan Jabatan Penerangan? Ada persamaan dari segi fungsi untuk memberi penerangan kepada rakyat dan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat namun, ia tetap mempunyai perbezaan terutama dari tiga aspek.

Pertama, J-KOM adalah di bawah JPM manakala Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Kedua, J-KOM bertanggungjawab untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada komuniti di peringkat tempatan berbeza dengan Jabatan Penerangan yang mempunyai tanggungjawab yang lebih luas untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada semua peringkat masyarakat.

Ketiga, J-KOM hanya memfokuskan tugasnya kepada tiga teras utama sahaja iaitu membangunkan masyarakat yang berbudaya ilmu, berkemahiran digital dan berjiwa patriotik. Fungsi lain adalah di luar bidang kuasa dan tanggungjawab J-KOM.

SINAR AHAD: Bagaimana proses penyampaian maklumat kepada rakyat dilakukan. Adakah dengan sekadar memuat naik poster atau status di media sosial sahaja?

AGUS:
Proses penyampaian maklumat J-KOM bukan sahaja melalui media sosial. Media sosial hanyalah satu daripada cara J-KOM menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi. J-KOM mempunyai bahagian pendidikan dan latihan serta bahagian penyelidikan dan perancangan program.

Dua bahagian inilah nadi utama J-KOM di samping bahagian media sosial. Bahagian ini turun ke lapangan mengadakan program bersama komuniti. Kita mendekati rakyat kampung dan desa.

Seperti sekarang ini, fokus utama kita adalah menyampaikan dasar kerajaan Malaysia Madani. Kita mahu rakyat faham dasar ini dan menyokongnya.

Tujuannya sederhana. Kita mahu membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu, berhemah dan berkeadilan dalam kehidupan supaya dengan cara ini kita dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu, berkasih sayang dan bertoleransi antara satu sama lain.

SINAR AHAD: Jika ada netizen memberikan kritikan atau komen negatif terhadap kerajaan dan Perdana Menteri di media sosial, apa tindakan J-KOM?

AGUS:
Sebagai jabatan di bawah JPM, J-KOM bertanggungjawab menjaga Perdana Menteri, mempertahankan Perdana Menteri dan menyampaikan hasrat dan wawasannya.

Oleh itu, jika ada sebarang komen negatif terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, J-KOM akan mempertahankan Perdana Menteri dan dasar-dasar pemerintahannya.

J-KOM tidak ada punca kuasa untuk mengambil tindakan kepada mereka yang membuat komen negatif kepada kerajaan dan Perdana Menteri.

Seperti yang saya pernah beritahu dalam program Bicara Naratif di RTM seminggu selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah, J-KOM akan mengambil tindakan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap mereka yang membuat kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Saya sendiri tidak akan membuat laporan itu tetapi pegawai J-KOM akan melakukannya bagi pihak J-KOM. Saya hanya akan membuat laporan apabila ia melibatkan organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Setakat ini, setelah hampir dua bulan di J-KOM, kami telah membuat ratusan laporan kepada SKMM dan puluhan laporan polis.

Semoga selepas ini, kami akan dapat melihat hasil daripada laporan yang kami buat. Namun perlu dijelaskan, laporan ini tidak bermakna kami alergi pada kritikan.

Kami terima kritikan dan teguran tetapi kami tidak boleh menerima fitnah, kenyataan mengaibkan dan menghina pemimpin negara serta kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum. Oleh itu, pesan kami, jadilah netizen yang bertanggungjawab dalam membuat komen dan kritikan.

SINAR AHAD: Pada pandangan Datuk, apa kekuatan Malaysia Madani berbanding dengan konsep pentadbiran kerajaan terdahulu?

AGUS:
Semua dasar kerajaan baik. Kita bergerak dari Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia, Malaysia Prihatin dan Keluarga Malaysia dengan slogan dan hasrat untuk membangunkan negara.

Mengenai Malaysia Madani, ia wawasan yang menarik kerana menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu-isu baru dan ketidakpastian.

Enam nilai teras Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan adalah kekuatan wawasan ini kerana dua sebab.

Pertama, ia adalah konsep kesediaan menerima perubahan untuk mereformasikan negara ini supaya menjadi lebih maju dan makmur. Kedua, konsep ini mempunyai nilai kemanusiaan, keadilan, kesejahteraan yang kekal relevan sepanjang masa.

Dalam tempoh lima tahun, apa fokus utama Datuk untuk J-KOM? Mungkin ada menetapkan sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) atau sasaran pencapaian tertentu.

Fokus utama saya ialah untuk turun ke lapangan mendekati rakyat akar umbi menerangkan Malaysia Madani. Saya mahu rakyat di akar umbi memahami dan menghayati gagasan Malaysia Madani.

Ini kerana hasil akhir gagasan ini adalah untuk membina peradaban bangsa, membentuk Malaysia yang harmoni dan bersatu serta mewujudkan satu bangsa Malaysia yang mengutamakan nilai-nilai Malaysia dengan semangat kasih sayang dan toleransi antara satu sama lain.

Mohammad Agus
Mohammad Agus
Mohammad Agus
Mohammad Agus
Mohammad Agus
Mohammad Agus

SINAR AHAD: J-KOM pernah dilabel sebagai jentera propaganda kerajaan dan menjadi alat parti politik. Apa pandangan Datuk?

AGUS:
J-KOM boleh dilabel dengan apa juga gelaran dan panggilan. Saya terima. Saya juga terima jika J-KOM dikatakan sebagai jentera propaganda kerajaan. Apakah salah untuk J-KOM sebagai agensi kerajaan mempropagandakan dasar-dasar kerajaan? Itu memang tugas dan tanggungjawab J-KOM.

Kami di J-KOM mahu menyampaikan sebanyak dan seluas mungkin dasar-dasar kerajaan dan idea Malaysia Madani kepada rakyat di segenap pelusuk kampung. Ini agenda kerajaan yang perlu diangkat.

Namun, jika dikatakan J-KOM sebagai alat parti politik, itu saya tidak terima. Saya bangkang. J-KOM adalah jentera kerajaan, bukan jentera parti politik.

Pegawai kami adalah pegawai kerajaan yang dilantik mengikut prosedur kerajaan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Etika dan peraturan kerja kami adalah mengikut prosedur kerajaan.

Masalahnya apabila kami mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan, maka kami dituduh sebagai alat politik. Ini tidak betul. Kami tidak mempertahankan parti politik tetapi kami mempertahankan Perdana Menteri dan dasar-dasar kerajaannya. Jadi, bezakanlah kaitan antara kerajaan dan parti politik.

SINAR AHAD: Ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), jumlah peruntukan untuk jabatan ini menjadi isu dan semasa Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara, jumlah itu dikurangkan. Bagaimana pula sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan dan bagaimana peruntukan itu digunakan?

AGUS:
Ramai yang menganggap J-KOM menerima peruntukan yang banyak. Saya mahu beritahu peruntukan J-KOM dalam Belanjawan 2023 hanyalah sebanyak RM18,692,800 sahaja.

Peruntukan ini digunakan untuk emolumen, program, pengurusan pejabat, latihan dan penyelidikan. Terlalu sedikit. Jadi, apa yang banyaknya? Saya ingin pesan, dapatkan fakta betul dahulu sebelum mempunyai sangkaan bahawa J-KOM mempunyai wang yang banyak untuk membayar cybertroopers dan lainnya. Mohon jangan histeria dengan J-KOM.

SINAR AHAD: Apa yang membezakan J-KOM zaman PN dan Kerajaan Perpaduan? Ketika PN mentadbir, Datuk antara pihak yang mengkritik jabatan ini.

AGUS: Pernahkah saya mengkritik J-KOM? Saya tidak pernah (kritik). Yang pernah saya kritik ialah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kerana ia dikenali sebagai jentera kerajaan yang secara terang dijadikan sebagai alat politik.

J-KOM sekarang pun didakwa sebagai alat politik. Begitupun, dua perkara saya mahu ingatkan. Pertama, J-KOM mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan.

Apakah itu alat politik? Berikan takrifan jelas kepada saya tentang hal ini? Kedua, J-KOM mendekati rakyat akar umbi untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan, memberi pengetahuan dan membangkitkan semangat patriotisme kepada mereka. Apakah itu alat politik? Ada ketikanya saya sedih. J-KOM turun ke sekolah bersama dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberi penerangan kepada anak-anak yang bakal mengundi tentang sistem pilihan raya negara pun dikatakan bermain politik. Mengapa sampai begitu sekali mempolitikkan sesuatu yang bukan isu.

Tidakkah boleh mereka yang mengkritik ini melihat bagaimana aktiviti Jasa dan J-KOM sebelum ini? Kaji dan dapatkan maklumat yang sahih terlebih dahulu sebelum membuat isu tentang J-KOM sekarang ini.

SINAR AHAD: Siapakan ahli politik luar negara yang paling Datuk kagumi, kenapa?

AGUS:
Tentunya José Alberto Mujica Cordano, bekas Presiden Uruguay dari tahun 2010-2015. Beliau adalah bekas pejuang kiri Uruguay dan sebelum menjadi presiden adalah menteri penternakan, pertanian, dan perikanan dari tahun 2005 hingga 2008.

Saya mengagumi beliau kerana gaya hidupnya yang sederhana. Beliau tidak mempunyai anak dan tinggal hanya di sebuah ladang di pinggiran Montevideo (ibu kota Uruguay). Semasa menjadi presiden, aktiviti petangnya ialah menanam bunga di ladang milik isterinya, tempat beliau tinggal.

Beliau dikenali sebagai presiden termiskin di dunia, hanya mempunyai sebuah kereta tua, Wolkswagen Beetle. Beliau tidak mempunyai akaun bank dan membenci rasuah.

Saya tidak mampu membayangkan cara hidup seperti beliau tetapi itulah Mujica. Kesederhanaannya luar biasa sehingga kita tidak merasakan beliau seorang presiden. Saya kagumi beliau kerana saya yakin tidak ramai pemimpin yang boleh bersederhana seperti apa dilakukan beliau.

SINAR AHAD: Selain aktif dalam bidang akademik, apakah aktiviti lain yang Datuk gemar lakukan ketika masa lapang?

AGUS:
Saya suka melancong kerana melaluinya saya dapat mengenali dunia. Sejak kecil saya terinspirasi dengan St Augustine, ahli falsafah yang menyatakan ‘The world is a book, those who do not travel only read a page’.

Kedua, saya gemar membaca. Stephen King, penulis Amerika yang menghasilkan 350 judul buku menyatakan ‘Books are a uniquely portable magic’.

Menarik dua aktiviti ini. la terapi jiwa yang menyegarkan.

Mohammad Agus (dua kiri) bersama kru Sinar Harian selepas wawancara eksklusif di Jabatan Komunikasi Komuniti baru-baru ini.
Mohammad Agus (dua kiri) bersama kru Sinar Harian selepas wawancara eksklusif di Jabatan Komunikasi Komuniti baru-baru ini.
Mohammad Agus (dua kiri) bersama kru Sinar Harian selepas wawancara eksklusif di Jabatan Komunikasi Komuniti baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apakah kenangan terindah yang sukar Datuk lupakan?

AGUS:
Tentunya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tempat saya menikmati separuh dari usia hidup. Di UKM inilah saya mempelajari erti kehidupan.

Jika ditanya saya, apa yang mahu saya buat selepas perkhidmatan di J-KOM ini, jawapan saya jelas. Saya mengimpikan untuk kembali ke UKM, tempat yang meninggalkan kenangan terindah dalam hidup saya.

Klik di sini untuk terus membaca