SHAH ALAM - Jualan persiapan menyambut Aidilfitri di pasar raya terkemuka dan gedung tekstil merekodkan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus setakat dua minggu pertama Ramadan kali ini ekoran adanya promosi Jualan Rahmah yang menyaksikan harga baju raya dijual lebih murah berbanding tahun lalu.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya itu mencatatkan peningkatan jualan hingga 20 peratus bagi kesemua persiapan Syawal terutama bagi baju raya selepas kempen Jualan Rahmah dilancarkan sejak 15 Mac lalu.
"Menerusi Jualan Rahmah kita menyediakan keseluruhannya sebanyak 40,000 pasang baju Melayu dewasa, baju Melayu kanak-kanak, baju kurung dewasa dan baju kurung kanak-kanak dengan harga cuma RM30 sepasang selain turut menyediakan 30,000 tudung dengan harga RM5 sehelai sahaja.
"Kelengkapan raya yang lain seperti telekung solat dan sejadah serta perkakasan seperti lampu kelip-kelip dan pelita buluh juga turut laris. Ini menunjukkan orang ramai beraya sakan kali ini dan ramai teruja nak balik beraya di kampung halaman masing-masing," katanya.
Ujarnya, Jualan Rahmah itu dilakukan bagi membantu golongan B40 dan anak-anak yatim memiliki baju baharu dengan harga murah dan mampu milik.
Dalam pada itu, beliau mengakui berlaku sedikit peningkatan harga berbanding tahun lalu bagi harga baju raya yang bukan dijual menerusi kempen Jualan Rahmah namun harganya masih mampu milik.
"Ada baju raya yang tahun lalu dijual RM49 sepasang tetapi tahun ini naik RM10. Memang bagi sesetengah baju, ada harga yang naik sedikit tetapi masih lagi laris dijual kerana ia berkualiti," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, peningkatan jualan yang diperoleh Jakel pada dua minggu pertama bulan puasa ini dianggarkan sebanyak 30 peratus berbanding jualan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Katanya, peningkatan itu didorong Kempen Jualan Rahmah Jakel yang membolehkan pembeli menikmati penurunan harga antara 20 hingga 30 peratus.
"Pada tahun lalu misalnya harga set baju Melayu yang kita jual lengkap dengan samping paling murah RM200 lebih tetapi kali ini kita jual pada harga RM149 dan RM180 satu set manakala baju kurung dijual serendah RM89 sepasang dan kurta RM49 sehelai.
"Dengan penurunan harga ini, kita lihat orang berpusu-pusu datang beli baju raya hingga dua tiga pasang seorang. Kalau lazimnya mereka beli cuma sepasang sebelum ini namun kali ini mereka beli dua atau tiga pasang secara sekali gus," katanya.
Mohamed Faroz menjelaskan, peningkatan jualan itu berlaku susulan pembukaan gedung tekstil baharu Jakel di Shah Alam pada 25 Mac lalu yang berkeluasan 24,384 meter persegi bersebelahan Hospital Shah Alam.
Nostalgia 'beraya sakan' kembali dirasai Sementara itu, peningkatan kehadiran pelanggan di bazar Aidilfitri di Kompleks PKNS di sini yang menjadi lokasi tumpuan mengembalikan suasana 'beraya sakan' seperti sebelum pandemik.
Kehadiran ramai pelanggan juga memberi pendapatan berganda buat peniaga selepas keadaan agak suram beberapa tahun lalu kerana terdapat had kemasukan serta pematuhan prosedur operasi standard.
Pembantu jualan di sebuah butik pakaian, Sayyidatul Kauthar, 18, berkata, peningkatan kehadiran pelanggan lebih ketara pada cuti hujung minggu bermula minggu lalu.
"Kalau hari biasa atau hari bekerja, pelanggan agak terhad namun kalau hari cuti hujung minggu lepas lebih ramai orang mula datang. Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung pada hujung minggu ini,” katanya.
Seorang lagi pembantu jualan pakaian wanita, Nor Alia Najwa Abdullah, 24, berkata, majikannya membuka gerai jualan di Kompleks PKNS bermula sebelum Ramadan sehingga malam Aidilfitri.
"Kalau dari segi pendapatan agak lumayan dan meningkat pada Sabtu dan Ahad setiap minggu. Minggu lalu sahaja jualan mencecah sehingga RM5,000 sehingga RM6,000 sehari," katanya yang menjual baju Melayu di kompleks berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi pembantu jualan hanya ingin dikenali sebagai Mia berkata, dua minggu terakhir Syawal biasanya menjadi saat paling sibuk buat peniaga pakaian dan kuih raya.
"Sudah menjadi kebiasaan orang ramai akan membuat persiapan saat akhir dan ketika itu jualan menjadi bertambah baik dan kita mengharapkan keadaan itu menjadi kenyataan pada tahun ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca