"KAMU tahu mengapa kita dilahirkan?” Itulah pertanyaan diajukan oleh Allahyarham Tun Ghazali Shafie, ketika itu Menteri Dalam Negeri dan bergelar Tan Sri kepada sekumpulan wartawan yang dibawa khusus untuk melihat pembangunan kawasan Parlimennya pada 1974 dalam satu sesi ngeteh di Rumah Rehat di Kuala Lipis, Pahang. Saya antara pemberita dalam kumpulan tersebut.
Kepada pertanyaan itu, salah seorang menjawab dengan mengatakan: "Kita dilahirkan untuk menjadi khalifah bagi memakmurkan muka bumi ALLAH SWT.” Seorang lain memberi jawapan agak kelakar: "Kita dilahirkan sebagai bukti kasih sayang ibu dan bapa kita setelah mereka...” Bagaimanapun, itu bukanlah jawapan yang ingin didengar oleh Ghazali atau lebih terkenal dengan panggilan King Ghaz. Bagi beliau ‘manusia dilahirkan untuk mati. Jika kelahiran adalah permulaan, mati adalah kesudahan kehidupan. Kita semua akan mati tapi tak tahu bila’.
Sebenarnya dalam jawapan diberikan Ghazali itu ada dua mesej penting yang ingin beliau ketengahkan. Pertama, sebelum mati manusia tidak dilarang untuk memainkan apa juga peranan yang mereka ingini termasuk menjadi khalifah bagi memakmurkan bumi ALLAH SWT.
Kedua, King Ghaz juga mengingatkan ‘kalau kita mati pada usia tua, biarlah kita kembali ke dunia abadi sebagai manusia tua yang matang, bukan sebagai insan tua yang tua dari segi fizikal’ kerana bagi beliau terdapat perbezaan ketara antara menjadi insan yang sekadar tua dari segi usia atau growing old dengan insan menjadi matang pada usia tua (growing up).
Hal itu kerana menjadi tua memang tidak dapat dihindari. Setiap tahun kita akan menyambut hari kelahiran kita, bermakna umur bertambah tetapi untuk menjadi manusia matang, kita bukan sahaja kena belajar daripada kesilapan, malah bersedia dan terbuka terhadap perubahan yang berlaku di sekeliling kita, menerima dan membuat penyesuaian dengan hakikat kehidupan, sejajar dengan status kita dalam masyarakat.
Dengan kata lain, mengikut logik Ghazali itu, untuk menjadi manusia tua yang matang, kita kena berusaha menjadikan diri kita sebagai insan dan anggota komuniti yang lebih baik, bersedia memikul tanggungjawab untuk diri kita, keluarga, jiran, tempat kita bekerja.
Dan jika kita menjadi pemimpin pula, menunaikan tanggungjawab diamanahkan dengan penuh hemah dan bijaksana untuk kepentingan serta kebaikan semua, bukannya diri sendiri atau kelompok.
Kita juga mestilah bersedia meninggalkan amalan, tabiat yang dianggap buruk dan kebudak-budakan semasa zaman muda. Bukankah ajaran Islam mengingatkan kita bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka membawa manfaat dan berguna kepada orang lain? Tetapi malangnya jika diperhatikan dalam kehidupan kita, segelintir antara kita hanya tua dari segi usia. Kita mungkin sudah memasuki usia 50-an, 60-an malah 70-an tetapi kita tidak pernah dewasa dan matang dari segi tabiat, pemikiran, perbuatan, gelagat, tindak tanduk, sikap dan sebagainya.
Contoh jelas dapat disaksikan dalam persidangan Dewan Rakyat yang baru sahaja berakhir apabila ada antara sebilangan kecil mereka yang bergelar Yang Berhormat menjerit-jerit terhadap satu sama lain. Lebih dahsyat, ada antara mereka menggelar satu sama lain dengan panggilan memualkan.
Dalam ceramah-ceramah politik pula, ada individu dan pemimpin yang mempunyai kedudukan terhormat dalam institusi tertentu negara apabila berucap, kata-kata yang terkeluar daripada mulut mereka adalah patah-patah perkataan tidak enak didengar.
Ia menggambarkan mereka bukanlah manusia dewasa yang matang dan bertanggungjawab.
Agaknya menjadi dewasa dan benar-benar matang, seiring dengan usia bukan senang bagi sesetengah kita. Berpura-pura menjadi dewasa dan matang lebih mudah.
Justeru, tanpa disedari, watak dan wajah hodoh ketidakmatangan terserlah apabila mereka bercakap atau bertindak. Bak kata seorang sahabat, sampaikan ada yang sudah beranak pinak dan bercucu tetapi masih berperangai seperti budak belum tamat sekolah.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca