JOHOR BAHRU - Lebih kurang dua minggu sahaja lagi umat Islam bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dan di sana sini orang ramai sudah mulai sibuk membuat persiapan bagi menyambut ketibaan 1 Syawal.
Tinjauan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Johor Bahru mendapati orang ramai mulai rancak berbelanja terutamanya bagi mendapatkan pakaian baharu dan kelengkapan lain menjelang lebaran.
Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, namun orang ramai yang ditemui menyifatkan mereka akan tetap berbelanja tetapi mengikut kemampuan yang ada bagi menyambut Aidilfitri kali ini.
Bagi kakitangan kerajaan, Azri Mohd Yatim, 42, setiap tahun dia pasti akan berbelanja untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti membeli pakaian baharu dan juga bekalan makanan untuk dijadikan juadah istimewa seperti rendang, ketupat dan sebagainya.
Malah katanya, persiapan akan dibuat lebih awal untuk mendapatkan barangan yang diperlukan, selain mengelak kesesakan jika melakukan pembelian saat-saat akhir.
Pendapat itu dipersetujui oleh Muhammad Syafiq Safri, 29 yang memanfaatkan sepenuhnya masa cuti yang diberikan majikan untuk keluar dan mendapatkan kelengkapan raya.
Kakitangan swasta itu berkata, pada kesempatan seperti inilah, dia biasanya akan membawa sekali keluarganya untuk sama-sama membeli barang keperluan masing-masing.
"Hari ni cuti, jadi saya gunakanlah sebaik-baiknya. Nak pergi ke sana sini cari persiapan raya. Kalau nak tunggu, cuti lepas ni takut tak sempat.
"Lagi pun, bila kita keluar beli sekarang taklah kelam-kabut sangat dan boleh membeli-belah dengan tenang.
"Kalau sebut harga, bagi saya kali ini nampak ada naik sikit tapi taklah tinggi sangat dan saya masih mampu untuk membeli baju untuk anak-anak, isteri dan keperluan lain,” katanya.
Seorang lagi kakitangan swasta, Izzat Yusoff, 35 berkata, dia dan keluarga lebih gemar membuat persiapan lebih awal.
"Bagi saya, buat persiapan awal ni bagus. Kita tak ‘terkejut’ nanti. Macam kata orang utara, ‘awai tak kalut.’ "Dari segi bajet pula, saya tak pasti sebab saya baru berpindah ke sini (Johor Bahru) dari Labuan, dan dari segi harga memang ada perbezaannya.
"Bajet saya sudah pastinya untuk kelengkapan hari raya buat anak-anak dan isteri,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Syakira Abdullah, 55, pula mengakui, ketika ini perniagaannya agak kurang mendapat sambutan daripada orang ramai.
Klik di sini untuk terus membaca