RAMAI ibu bapa menilai kejayaan anak dari sudut cemerlang dalam peperiksaan sahaja atau mereka mendapat gaji besar. Dalam keghairahan mengejar kejayaan tersebut, ibu bapa lupa tanggungjawab sebenar mentarbiahkan pemimpin masa depan ini.
Ibu bapa perlu melihat anak sebagai kurniaan ALLAH yang tidak terhingga nilainya. Mereka perlu dijaga sebaik-baiknya dan diberi perlindungan serta pelajaran bersesuaian dengan keperluan.
Jiwa mereka juga perlu disulami dengan elemen kerohanian yang tinggi agar mampu menjadi benteng dan perisai kepada segala cabaran. Peranan ibu dan bapa tidak boleh dipandang ringan atau dilaksanakan sambil lewa. Ia adalah tugas yang tiada penghujung.
Ibu bapa Islam perlu menyemai nilai-nilai Islam kepada anak sejak kecil kerana ketika itu jiwa mereka masih lagi kosong, suci dan senang menerima apa yang diajarkan.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah (suci), maka ibu bapalah yang akan menjadikan dia Yahudi Nasrani atau Majusi.” Dapatlah disimpulkan bahawa Islam memandang berat dan menuntut ibu bapa untuk mencorakkan anak dengan corak sesuai berlandaskan agama Islam. Namun, sering ibu bapa terlepas pandang dan kurang mengambil berat urusan menanam teras beragama kepada anak sejak kecil.
Anak sering terkapai-kapai mencari jati diri dan nilai murni untuk diteladani. Hakikat itu sebenarnya telah dikenal pasti oleh sarjana Barat seperti Glen Doman yang menyebut - ‘Apabila ibu bapa yang benar-benar menyayangi anak-anak mereka menyampaikan ilmu dan kebolehan anak tersebut akan menjadi lebih girang, baik serta penyayang daripada mereka yang tidak diberikan peluang tersebut’.
Napolean pula pernah menegaskan, ‘biarlah negeri Perancis ini memiliki ibu-ibu yang baik, pastinya kita akan memiliki anak-anak muda yang handal’.
Charles Simmon pula menyebut – ‘Sekiranya anda mahu membersihkan dunia daripada noda dan dosa, bermulalah dengan membantu ibu-ibu’.
Ibu bapa adalah faktor penting perkembangan kejayaan anak–anak. Untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan berkesan, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan menjadi teladan yang baik. Amalkan ajaran agama secara keseluruhannya.
Pendekatan mendidik yang berbeza pada tahap tertentu juga amat penting bagi menyeimbangkan kemajuan intelek anak-anak. Anak di dalam kandungan, bayi, sebelum mencapai umur mumaiyiz, setelah baligh dan setelah mencapai umur matang perlu diberikan pendekatan berbeza dalam menyulami hidup mereka dengan ilmu bermanfaat.
Sudah selalu kita mendengar cerita anak yang biadab, malah ada anak yang menentang usaha agama dijalankan oleh ibu bapa sendiri. Mereka menjadi musuh kepada perjuangan ayah bonda dalam menegakkan agama.
Hal itu sebenarnya telah diingatkan Rasulullah SAW: "Bukanlah musuhmu itu orang yang apabila kamu bunuh dia, bererti kamu menang dan kalau kamu mati terbunuh, maka kamu akan masuk syurga. Tetapi kadang-kadang musuhmu itu adalah anak yang lahir daripada tulang rusukmu sendiri. Kemudian musuhmu yang paling besar lagi adalah harta yang kamu miliki.”Apabila kita melihat seorang anak muda melakukan kesalahan, ramai pantas menjatuhkan hukuman dan mengherdik anak muda tersebut. Tidak ramai mahu menyelidik kenapa anak muda itu membuat kesalahan sedemikian.
Apakah dorongan atau pengaruh diterimanya yang menjadikan anak muda tersebut berkelakuan sebegitu? Pendekatan pantas menghukum sebenarnya tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah untuk jangka masa panjang. Namun, jika anak muda itu didekati dan diberikan perhatian, sudah pasti hatinya akan terpaut serta mudah dibimbing ke jalan sebenar.
Sudah menjadi sifat anak muda lebih suka berkonfrontasi, lebih terbuka dan mahu diberi perhatian. Mendekati anak muda dan memahami jiwa mereka akan menjadikan ibu bapa lebih mudah membentuk mereka.
Bagi menjamin generasi Muslim yang lebih cemerlang pada masa akan datang, ibu bapa Muslim perlulah memiliki ilmu sesuai dengan peranan mereka, menjadi teladan yang baik dan berupaya menjadikan diri mereka sendiri sebagai idola kepada anak-anak.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca