DALAM hal penggunaan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saya setuju dengan pendirian kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran oleh pencarum. Itu tidak bermakna tidak ada lagi talian hayat. Pencarum yang dalam kesesakan dan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM hal penggunaan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saya setuju dengan pendirian kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran oleh pencarum.

Itu tidak bermakna tidak ada lagi talian hayat. Pencarum yang dalam kesesakan dan mempunyai alasan yang cukup kuat masih boleh memanfaatkan simpanan mereka melalui Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP.

Di bawah kemudahan tersebut, mereka boleh menjadikan baki simpanan sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman bank.

Daripada awal lagi iaitu apabila kerajaan Perikatan Nasional membenarkan pengeluaran KWSP, saya telah menyatakan kerisauan.

Apatah lagi, apabila ia dipolitikkan seolah-olah pengeluaran itu adalah sebahagian daripada bantuan kerajaan bagi mengatasi kesempitan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Ketika itu, ramai ahli ekonomi berpendapat kerajaan tidak patut membenarkan pencarum menyeluk ke dalam simpanan hari tua mereka.

Kesan dasar itu buruk, bukan sahaja kepada pencarum yang mengeluarkan simpanan tetapi kepada semua pencarum.

Paling dibimbangkan ialah KWSP tidak mempunyai modal mencukupi bagi menjana pulangan kepada pencarum. Tanpa mengeluarkan luar jangkaan Covid-19 pun, pulangan tahunan KWSP telah mula menurun walaupun modal meningkat.

Misalnya, dividen purata dari 2013 hingga 2022 adalah 6.03 peratus berbanding 6.98 peratus pada 1983 dan 2007.

Bukan sahaja pencarum yang mengeluarkan simpanan akan menderita ketidakcukupan sara hidup di kemudian hari, malah pencarum yang tidak mengeluarkan simpanan pun akan turut menderita apabila keupayaan KWSP menjana pendapatan merosot.

Orang ramai mungkin tidak tahu bahawa KWSP memerlukan pulangan pelaburan yang besar bagi membayar dividen kepada pencarum.

Ambil contoh tahun 2017, bilangan ahli pada 31 Disember tahun itu seramai 13.79 juta. Bagi setiap satu peratus dividen yang diisytiharkan, KWSP perlu menyediakan RM7.12 bilion berbanding RM1.99 bilion pada 2003.

Bagi tahun kewangan 2022, jumlah pembayaran untuk Simpanan Konvensional adalah RM45.44 bilion, sementara Simpanan Shariah sebanyak RM5.70 bilion.

Hutang tetap hutang Justeru, adalah amat wajar bagi semua pihak yang terlibat dengan Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP berhati-hati menggunakannya terutama pencarum. Hutang tetap hutang. Ia perlu dibayar balik dengan kos.

Menurut carta yang dikeluarkan atas nama Malaysia Madani baru-baru ini, kemudahan tersebut membolehkan pencarum mendapat pinjaman bank sehingga RM50,000 bergantung kepada baki dalam Akaun 2 KWSP mereka.

Bakal peminjam boleh membuat permohonan daripada dua institusi perbankan iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kedua-duanya ialah bank Islam. MBSB dimiliki oleh KWSP sendiri, manakala BSN adalah milik kerajaan Malaysia.

Peminjam boleh membayar balik hutang secara ansuran atau dibayar oleh KWSP kepada bank apabila peminjam mencapai usia 50 atau 55 tahun.

Saya harap pencarum dan pihak bank memberi keutamaan kepada tujuan pinjaman. Seelok-eloknya biarlah bagi tujuan yang produktif seperti berniaga, membeli rumah dan membiayai pelajaran pada peringkat tinggi.

Rasanya setelah lebih setahun ekonomi dibuka semula, kadar guna tenaga semakin meningkat dan pengangguran menurun. Isu meminjam untuk kepenggunaan tidak timbul lagi.

Kesimpulannya, pencarum KWSP hendaklah menganggap fasiliti tersebut sebagai jalan terakhir, bukan sebagai saluran untuk menambah beban hutang.

Saya rasa peringatan tersebut amat perlu kerana ramai rakyat Malaysia suka berhutang dan tidak berfikir panjang mengenai kesannya.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca