SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, menyifatkan tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pelantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selaku Timbalan Ahli Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, menyifatkan tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pelantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selaku Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah satu pembaziran wang rakyat.

Beliau yang juga bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan berkata, tindakan Ab Rauf berkenaan hanya bertujuan untuk memenuhi tuntutan politik semata-mata.

Bagi Muhammad Jailani, pelantikan Timbalan Exco berkenaan adalah tidak perlu kerana negara termasuk Melaka sekarang dalam proses pemulihan ekonomi selepas dilanda wabak Covid-19 sejak lebih 2 tahun lalu.

"Saya tidak salahkan ADUN yang dilantik tetapi di dalam keadaan negeri sedang dalam pemulihan ekonomi, pelantikan Timbalan Exco ini adalah satu tindakan pembaziran wang rakyat.

"Ini kerana setiap pelantikan Timbalan Exco mempunyai implikasi kewangan yang ketara, sedangkan rakyat memerlukan bantuan untuk menghadapi impak ekonomi pasca Covid-19,” katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini, Muhammad Jailani menegaskan beliau tidak akan sesekali menerima sebarang tawaran pelantikan jawatan Exco di bawah pentadbiran Ab Rauf disebabkan Ketua Menteri Melaka baharu itu didakwa memungkiri ‘manifesto’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Barisan Nasional (BN) pada tahun 2021.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali pula menegaskan tindakan Melaka mewujudkan jawatan Timbalan Exco bukan satu perkara luar biasa kerana turut diamalkan di beberapa negeri lain seperti di Terengganu, namun kuasanya terhad.

Mazlan berkata, jika pelantikan Timbalan Exco dibuat Ketua Menteri Melaka itu membabitkan sejumlah besar peruntukan untuk membayar ADUN berkenaan, maka ia boleh dianggap sebagai satu pembaziran wang rakyat.

"Namun jika ADUN berkenaan bekerja secara percuma dan tidak menerima sebarang emolumen atau bayaran elaun khas sebagai Timbalan Exco, maka ia boleh diterima kerana tugas mereka hanya membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

"Jika Timbalan Exco menerima bayaran emolumen seperti Exco, maka saya anggap ia satu pembaziran duit rakyat kerana Melaka bukan sebuah negeri pendapatan tinggi dan bukan sebuah negeri yang luas.

"Jadi tiada keperluan mendesak bagi Ketua Menteri mewujudkan 10 jawatan Timbalan Exco bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca