[EKSKLUSIF] PENIAGA bazar Ramadan di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa.
Jika digambarkan, jumlah pembaziran makanan berkenaan bersamaan dengan berat 195 ekor gajah dewasa.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, secara puratanya, peniaga bazar Ramadan di negeri ini, membabitkan enam jajahan pihak berkuasa tempatan (PBT), membuang sisa bahan makanan sebanyak 73.67 tan sehari.
Tujuh PBT itu adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Bagi bazar Ramadan di Hulu Selangor, Kuala Selangor, Ampang Jaya, Sabak Bernam dan Petaling Jaya, sisa buangan diuruskan oleh majlis perbandaran masing-masing.
Ramli berkata, MPK menyumbang buangan makanan tidak habis dijual tertinggi iaitu melibatkan anggaran berat sebanyak 17.93 tan sehari, diikuti MPKJ (16.1 tan), MPS (13.48 tan) dan MBSJ (10.99 tan).
"Dalam tempoh 10 hari sahaja, jumlah janaan sampah dari bazar Ramadan di Selangor secara kumulatif telah mencecah 727.6 tan.
"Bayangkan sampah yang dikumpul itu boleh digambarkan seluas tapak padang bola. Pada pandangan saya, jumlah janaan sampah ini sangat tinggi bagi tempoh 10 hari kita berpuasa.
"Jumlah ini hanya melibatkan tujuh PBT dan jika dicampurkan dengan lima PBT lagi, jumlahnya mungkin mencecah 100 tan sehari,” katanya kepada Sinar Premium.
Ramli berkata, trend pembuangan sisa makanan tidak habis dijual oleh peniaga bazar menampakkan peningkatan ketara sebaik aktiviti berniaga dibenarkan pada 2021 selepas negara berdepan dengan beberapa peringkat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang pandemik Covid-19.
Jelasnya, bilangan petak perniagaan melibatkan enam PBT pada tahun 2021 adalah berjumlah 7,492 petak, manakala pada 2022 berjumlah 7,623 petak, manakala pada tahun ini, jumlahnya terus meningkat melibatkan 10,524 petak perniagaan.
Katanya, KDEBWM merekodkan jumlah sisa buangan makanan bahan makanan sebanyak 73.67 tan sehari pada tahun 2023 meliputi tujuh kawasan PBT, berbanding 50.78 tan sehari pada bulan Ramadan tahun 2022, iaitu melibatkan peningkatan sebanyak 45 peratus.
"Manakala pada tahun 2022, jumlah sisa buangan bahan makanan meningkat sebanyak 161 peratus kepada 50.78 tan sehari berbanding 19.45 tan sehari pada bulan Ramadan, tahun 2021.
"Peningkatan ketara pada tahun 2022 dan 2023 adalah kerana pertambahan peniaga bazar Ramadan di negeri ini berbanding pada tahun 2021 yang sedikit terhad susulan pelaksanaan PKP.
"Kami juga menggerakkan tujuh buah lori sehari pada tahun ini khusus untuk mengangkat sisa buangan makanan itu,” jelas beliau.
Sukar kekang peningkatan
Ramli mengakui, KDEBWM berdepan situasi sukar untuk mengekang peningkatan jumlah buangan sisa makanan pada setiap tahun, namun berharap semua pihak berpada dan bersederhana dalam melakukan pembelian dan para peniaga dinasihati agar dapat mengawal janaan sampah hasil daripada perniagaan bazar Ramadan.
"Kami sememangnya mengharapkan kerjasama semua pihak agar dapat bersama-sama kami mengawal janaan sampah pada setiap hari setiap masa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan dan pada Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi,” katanya.
Tambahnya, jika situasi ini terus berulang, ia dibimbangi boleh memberi implikasi jangka masa panjang kepada kelestarian alam.
"Jika tidak diuruskan dengan baik, longkang boleh tersumbat lalu menjadi punca banjir. Pembaziran sisa makanan yang tidak dibendung berupaya memburukkan lagi situasi pemanasan global dunia dan fenomena perubahan iklim yang sedang berlaku sekarang ini,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, pelbagai program kesedaran telah dijalankan namun, ia mesti diikuti dengan pelaksanaan semua pihak untuk terus komited menguruskan sampah masing-masing.
Klik di sini untuk terus membaca