BEBERAPA hari lalu, media luar negara melaporkan penjualan kompleks produksi filem dan televisyen, Iskandar Malaysia Studios (IMS) dengan harga RM32 juta kepada Singapura GHY Culture & Media. Penjualan itu sesuatu yang mengejutkan dan... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari lalu, media luar negara melaporkan penjualan kompleks produksi filem dan televisyen, Iskandar Malaysia Studios (IMS) dengan harga RM32 juta kepada Singapura GHY Culture & Media.

Penjualan itu sesuatu yang mengejutkan dan menimbulkan banyak persoalan untuk dijawab oleh Khazanah Nasional Berhad.

Persoalan-persoalan penting – mengapa ia gagal, mengapa ia dijual dengan harga begitu murah berbanding kos pembangunan dan keluasan tanah serta mengapa dijual kepada syarikat asing? Kompleks yang merupakan state-of-the-art kepada industri penerbitan filem dan televisyen negara ini telah dibina dengan kos pelaburan lebih RM500 juta ringgit oleh Khazanah Nasional. Penganalisis industri menganggarkan kos pembangunannya antara RM528 juta hingga RM748 juta.

Semuanya bermula pada 2009 apabila Khazanah Nasional melalui anak syarikat milik penuhnya, Beserah Ventures Sdn Bhd (BVSB) memeterai perjanjian dengan Pinewood Shepperton plc (Pinewood) bagi membangunkan sebuah studio canggih di Iskandar Malaysia.

Khazanah Nasional dalam kenyataan akhbar semasa memeterai perjanjian kerjasama itu meyakinkan rakyat bahawa studio tersebut akan menjadi tumpuan produksi Asia Pasifik dan kemudiannya antarabangsa berdasarkan kecanggihan teknologi serta kerjasama dengan Pinewood.

Pada asalnya, studio tersebut menggunakan nama Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS). Ia sebagai satu penjenamaan prestij bersama studio Pinewood yang mempunyai lebih 80 tahun sejarah penggambaran.

Pinewood menjadi tuan rumah kepada sekitar 1,500 produksi termasuk francais sensasi seperti siri James Bond dan Harry Potter serta filem blockbuster seperti Mission: Impossible, Batman Begins, The Da Vinci Code, Slumdog Millionaire dan terbaharu termasuk Ant-Man and The Wasp, Quantumania dan The Little Mermaid.

Kerjasama dengan Pinewood, pengendali studio bebas tertua dan terbesar di dunia itu akan membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada reputasi Pinewood serta rangkaian luas di Amerika Syarikat dan Eropah.

Ia akan meletakkan PIMS dalam kedudukan kukuh untuk menembusi pasaran filem dan televisyen di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun pada 2019, hubungan Pinewood dan Khazanah Nasional telah berakhir tanpa sesiapa memahami sebab sebenar.

Apa yang diketahui hanyalah kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kerjasama dan studio tersebut telah dijenamakan semula sebagai Iskandar Malaysia Studios.

Apabila mengumumkan pembinaan studio berkenaan, Khazanah Nasional dengan bangga menjanjikan manfaat ekonomi dan sosial yang ketara kepada Iskandar serta Malaysia.

Ia mengunjurkan impak ekonomi sekitar RM1 bilion bagi tempoh lapan tahun selepas beroperasi, bakal mewujudkan 3,000 pekerjaan langsung dan berpotensi menambah 5,000 pekerjaan tidak langsung setahun serta meningkatkan penerbitan filem dan penggambaran televisyen asing.

Namun, selepas lapan tahun, ia bukan sahaja gagal memberi nilai tambah kepada ekonomi negara, malah menjadi misteri perniagaan yang sukar difahami rakyat biasa.

Dibina dengan kos lebih setengah bilion ringgit atas tanah keluasan 20 hektar, kini dijual dengan harga RM32 juta kepada sebuah syarikat asing. Harga itu tidak munasabah walaupun untuk keluasan tanah studio sebesar 20 hektar, apatah lagi bagi keseluruhan nilai pembangunan dan teknologi yang telah dibuat.

Saya fikir rakyat terutama mereka dalam industri penerbitan televisyen dan filem berhak tahu mengapa pembinaan studio yang dibuat menggunakan dana kekayaan negara, diurus profesional yang menerima gaji puluhan dan ratusan ribu sebulan daripada Khazanah Nasional, akhirnya bukan sahaja gagal mencapai matlamat, malah terpaksa dijual dengan ‘harga lelong’.

Semudah itukah mereka melepaskan diri daripada kegagalan dan kerugian? Malah, keputusan selepas kedudukan rugi pun sangat menyedihkan.

Setelah gagal mencatatkan keuntungan, studio itu sepatutnya diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sahaja untuk menguruskan.

Ia pasti akan membantu mengurangkan kos produksi filem tempatan yang berkualiti dan memberi peluang lebih ramai penerbit filem menggunakan teknologi terbaik dengan harga rendah.

Tidak masuk akal kerajaan melabur beratus juta hanya untuk diambil alih oleh syarikat asing dengan harga tidak sampai 10 peratus daripada harga pembangunan.

Khazanah Nasional mungkin ada rasional tersendiri dalam penjualan tersebut dan ia perlu dijelaskan kepada umum. Ahli Parlimen harus turut mengambil bahagian meneliti keputusan penjualan itu.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca