SHAH ALAM - Cadangan untuk melanjutkan had umur bersara dari 60 kepada sehingga 65 tahun adalah tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia, kata Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
Menurut beliau, meskipun ia adalah secara pilihan, isu utama yang perlu diselesaikan ketika ini adalah menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan belia.
"Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk Malaysia meningkatkan umur persaraan berkanun kerana kadar pengangguran adalah pada 3.7 peratus dan pengangguran belia masih pada tahap tinggi iaitu melebihi 10 peratus.
"Peningkatan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun sebelum ini menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta peluang pekerjaan untuk graduan baharu dan kemasukan baharu ke pasaran buruh.
"Ini kerana pekerja yang sepatutnya bersara secara automatik diteruskan perkhidmatan mereka. Kira-kira 200,000 pekerja sektor swasta di Malaysia bersara setiap tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Syed Hussain, umur 60 tahun bagi seseorang pekerja adalah memadai dalam kebanyakan sektor pekerjaan.
Jelasnya, menaikkan umur persaraan akan menghalang usaha untuk mencergaskan semula pasaran buruh Malaysia dan ekonomi negara.
"Walaupun mungkin berfaedah untuk melanjutkan umur persaraan dari segi mengekalkan tenaga kerja yang lebih tua bekerja dengan baik dan mempunyai aliran pendapatan yang stabil terutamanya dalam kalangan mereka yang mempunyai simpanan persaraan yang sedikit, namun, ia mungkin mencabar bagi majikan.
"Lebih-lebih lagi bagi pekerja yang bekerja dalam kerja-kerja yang memerlukan tenaga fizikal seperti dalam pembinaan, perladangan dan pembuatan. Dalam kerja-kerja yang menuntut kekuatan fizikal sedemikian, umur adalah faktor yang boleh memberi kesan kepada prestasi dan produktiviti mereka,” katanya.
Menurut Syed Hussain, peningkatan had umur bersara mungkin akan menaikkan kos perubatan majikan kerana banyak syarikat insurans tidak berminat untuk memberi perlindungan kepada pekerja yang lebih berusia.
"Ini membolehkan kelonggaran untuk kedua-dua pekerja dan majikan,” ujarnya.
Pada Ahad, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan agar pekerja di negara ini dibenarkan bekerja sehingga umur 65 tahun atas kerelaan mereka sendiri.
Sebelum ini, wakil Kumpulan Bank Dunia di Malaysia mencadangkan kerajaan meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan status Malaysia sebagai negara yang mungkin mempunyai masyarakat menua pada masa akan datang.
Bagaimanapun, beberapa kesatuan pekerja, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melihat tiada keperluan mendesak untuk kerajaan meningkatkan had usia bersara sedia ada.
Klik di sini untuk terus membaca