AHLI Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mahu suara nelayan dan pesawah yang merupakan majoriti penduduk didengari di Parlimen agar kehidupan masyarakat ini lebih terbela. Wakil rakyat berusia 52 tahun ini juga mahu... Klik di sini untuk terus membaca

AHLI Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mahu suara nelayan dan pesawah yang merupakan majoriti penduduk didengari di Parlimen agar kehidupan masyarakat ini lebih terbela.

Wakil rakyat berusia 52 tahun ini juga mahu memberi tumpuan untuk mengurangkan kemiskinan bandar yang membelenggu penduduk pinggir bandar.

Beliau juga akan memperjuangkan agar Kuala Kedah sebagai pintu masuk ke Langkawi dibangunkan lebih komprehensif untuk mengangkat imej kawasan tersebut ke tahap lebih baik.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Roslinda Hashim bersama Ahmad Fakhruddin berhubung misi dan agenda beliau selepas bergelar wakil rakyat.

SINAR HARIAN: Selepas diberikan mandat oleh rakyat dan pertama kali berkhidmat sebagai wakil rakyat, apakah fokus YB untuk angkat suara rakyat ke peringkat Parlimen serta pembaharuan dibawa untuk membangunkan Parlimen Kuala Kedah?

AHMAD FAKHRUDDIN: Suara rakyat Parlimen Kuala Kedah tidak hanya bertumpu dalam lingkungan pekan Kuala Kedah atau lokaliti berhampiran. Ia merangkumi persekitaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundur.

Keseluruhan jumlah penduduk parlimen ini menjangkau 170,000 orang, termasuk 147,000 daripadanya terdiri daripada pengundi seperti direkodkan dalam buku daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kebanyakan penduduk merupakan pesawah dan nelayan. Namun, tidak dinafikan terdapat juga peniaga secara kecil-kecilan, pekerja swasta mahupun kerajaan.

Berdasarkan kepada itu, perkara asas yang perlu diberikan perhatian antaranya prasarana pembangunan seperti menaik taraf jalan di persimpangan empat Kemboja, selain memastikan kelancaran pembangunan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi mengurangkan risiko banjir dalam Parlimen Kuala Kedah.

Ahmad Fakhruddin (kiri) mudah didekati semua golongan setiap kali turun padang meninjau kawasan.
Ahmad Fakhruddin (kiri) mudah didekati semua golongan setiap kali turun padang meninjau kawasan.

Isu yang turut mendapat perhatian saya termasuk jaminan keselamatan makanan yang berkaitan dengan aktiviti pesawah seperti subsidi khas pesawah, kawalan harga baja dan racun serta kartel dalam industri padi.

Tidak ketinggalan permasalahan nelayan yang menjadi tumpuan perbahasan di Parlimen, antaranya permohonan kenaikan skim subsidi sara hidup dan kemudahan lesen vesel.

Isu sosial kemasyarakatan turut menjadi tumpuan, seperti kemudahan kesihatan rakyat, keciciran murid sekolah serta kemiskinan bandar yang membelenggu penduduk pinggir bandar.

SINAR HARIAN: Bagaimana YB melihat Kuala Kedah pada masa ini dan masa akan datang?

AHMAD FAKHRUDDIN: Kuala Kedah merupakan destinasi yang memiliki nostalgia tersendiri. Ia merupakan pusat perdagangan dan pelabuhan penting suatu ketika dahulu. Tidak keterlaluan jika dikatakan penempatan penduduk, aktiviti laut serta perniagaan di Kuala Kedah telah wujud sebelum kehadiran Inggeris di Pulau Pinang.

Terdapat banyak lokasi pelancongan domestik mahupun antarabangsa. Antaranya, Kota Kuala Kedah, pusat rekreasi lasak di Gunung Keriang dan Muzium Padi yang terletak di tengah-tengah petak sawah tidak jauh dari bandar Alor Setar.

Ahmad Fakhruddin (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Masjid Alor Ibus.
Ahmad Fakhruddin (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Masjid Alor Ibus.
Ahmad Fakhruddin (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Masjid Alor Ibus.
Ahmad Fakhruddin (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Masjid Alor Ibus.

Saya berhasrat menjadikan Kuala Kedah sebagai destinasi pelancongan masakan laut dalam negara. Berbekalkan sumber warisan dan tarikan semulajadi pelbagai selain perkampungan nelayan yang dapat membekalkan makanan laut segar, Kuala Kedah berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu.

Kerajaan wajar salurkan bantuan kemahiran dan idea untuk bantu nelayan dan penduduk sekitar menjadikan Kuala Kedah sebagai destinasi pelancongan masakan laut. Kemeriahan itu dilengkapi dengan masakan enak utara, sehinggakan Kuala Kedah terkenal dengan masakan gulai ikan temenung dan ikan bakar.

Kementerian Pelancongan Seni & Budaya harus salurkan peruntukan agar Kuala Kedah mendapat hak sebagai destinasi pelancongan baharu.

Saya percaya banyak lagi keperluan pembangunan perlu dibangunkan di sini. Ia tidak seharusnya terbatas kepada pembangunan fizikal, tetapi merangkumi pembangunan sumber manusia. Contohnya, meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan pendidikan bagi mengelak keciciran, memperbanyakkan institusi kemahiran belia serta pelan jangka panjang meningkatkan taraf ekonomi.

Kuala Kedah merupakan pintu masuk ke Langkawi. Namun prasarana dan pembangunan sekitar terminal feri jauh berbeza dibandingkan terminal Kuala Perlis atau Kuah.

SINAR HARIAN: Sudah beberapa kali projek parkir bertingkat di terminal jeti Kuala Kedah tertangguh susulan pertukaran kerajaan. Apakah penyelesaian akan YB kemukakan berhubung isu ini di Parlimen?

AHMAD FAKHRUDDIN: Saya telah bangkitkan isu prasarana jeti Kuala Kedah termasuk pembangunannya di Parlimen baru-baru ini. Menteri Pengangkutan memaklumkan isu berkenaan dalam pengetahuan beliau, yang mana tender akan dibuka semula Mac ini dan proses menaik taraf mengambil masa 36 bulan.

Saya sekali lagi bangkitkan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan mengenai hal berkaitan, maklum balas belum diperolehi dan akan dijawab secara bertulis.

Ini merupakan cabaran buat saya, namun saya yakin kementerian akan pertimbangkan perkara ini susulan permasalahan ini telah lama berlarutan, hanya tunggu pelaksanaan projek sahaja.

Tsunami Perikatan Nasional (PN) yang melanda Kedah menyaksikan Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menyapu bersih 14 kerusi DUN, hanya satu milik PH.

SINAR HARIAN: Adakah YB yakin gelombang itu berlarutan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN), apa rasionalnya?

AHMAD FAKHRUDDIN: Tsunami PN dalam PRU15 lalu merupakan manifestasi keyakinan rakyat terhadap muafakat politik antara Pas dan Bersatu yang membentuk PN. Rakyat telah menilai serta menerima corak pemerintahan yang dipamerkan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berada bawah dominasi kerajaan PN.

Ini adalah kesinambungan daripada pengurusan cekap dan prihatin kerajaan PN terutamanya sewaktu berhadapan gelombang Covid-19, serta fasa pemulihan negara akibat wabak berkenaan.

Hari ini rakyat ternanti-nantikan, apakah pembaharuan yang akan dilaksanakan Kerajaan Madani (Pakatan Harapan/Barisan Nasional) khususnya janji-janji dalam manifesto PH? Apakah kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat?

Rakyat mahukan sesuatu yang dapat mensejahterakan kehidupan mereka, bukannya sindrom berbentuk penafian terutamanya di kawasan parlimen dimenangi pembangkang.

Rakyat tidak mahu lagi helah manis di bibir menabur janji, tetapi bertindak U- turn setelah memperolehi yang dihajati. Saya jangkakan gelombang PN akan kekal sama seperti PRU15, inilah yang menggusarkan PH.

Kenyataan yang mengaitkan taraf pendidikan anak muda oleh pemimpin PH telah melukakan hati belia khususnya mereka yang memilih PN pada PRU lalu. Ini termasuk mengaitkan kemiskinan dengan demonstrasi jalanan oleh pemimpin kerajaan, ia sesuatu yang aneh.

Kenyataan seumpama disifatkan kurang cermat dan akan beri impak negatif kepada pola pengundian PH, terutamanya di kerusi separa bandar dan luar bandar.

SINAR HARIAN: Bagaimana YB melihat tindakan yang diambil terhadap pemimpin PN, adakah akan memberikan kesan negatif kepada PN?

AHMAD FAKHRUDDIN: Terdapat banyak interpretasi mengenai tindakan yang diambil pihak tertentu untuk melemahkan PN. Namun saya tidak nampak penolakan ketara rakyat ke atas tindakan tersebut. Nyata tindakan yang diambil tidak mampu mengikis kekuatan PN atau kepercayaan rakyat peringkat akar umbi.

Bahkan rakyat mentafsirkan tindakan tersebut sebagai senjata politik bagi mencalarkan imej bersih kepimpinan PN. Terpulang kepada sejauh mana maklumat sebenar diperolehi mereka.

Jawapannya akan diketahui pada keputusan PRN di enam buah negeri kelak, sama ada isu kepimpinan PN memberi kesan buruk atau sebaliknya. Jentera parti sedia memperjelaskan isu dan mematahkan serangan lawan. Di situlah ukuran kekuatan sebenar.

SINAR HARIAN: Pas didakwa membudayakan fatwa politik keterlaluan, apa pandangan YB?

AHMAD FAKHRUDDIN: Terdapat institusi yang mengendali dan mengeluarkan fatwa. Ada tatacara tertentu sebelum fatwa itu diisytiharkan, ia bukan proses yang mudah.

Pas bercakap tentang apa yang dituntut syariat tanpa meninggalkan perkara asas kenegaraan seperti kedudukan raja berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, Islam sebagai agama rasmi, hak kebebasan serta masyarakat majmuk.

Oleh itu, selagi mana sesuatu pandangan itu selaras dengan syariat Islam dan tidak menjurus ke arah kemaksiatan, teruskanlah. Kepada Allah SWT kami berserah.

PROFIL

Nama: Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi

Asal: Merbok, Kedah

Status: Berkahwin

Kelulusan: Doktor Falsafah bidang Syariah (UKM)

Jawatan:

- Ahli Parlimen Kuala Kedah

- Timbalan Pensuruhjaya Pas Kedah

- Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Merbok

- Setiausaha Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Rendah Islam Negeri Kedah

- Setiausaha Majlis Pengetua Sekolah-sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah

Klik di sini untuk terus membaca