LAGU raya sudah mula berkumandang di radio dan televisyen menandakan 1 Syawal semakin hampir. Itu juga bermakna kurang dua minggu lagi, lebuh raya dan jalan utama pelbagai arah akan mula sesak. Warga kota berpusu-pusu balik ke kampung... Klik di sini untuk terus membaca

LAGU raya sudah mula berkumandang di radio dan televisyen menandakan 1 Syawal semakin hampir.

Itu juga bermakna kurang dua minggu lagi, lebuh raya dan jalan utama pelbagai arah akan mula sesak. Warga kota berpusu-pusu balik ke kampung halaman masing-masing.

Sejak dahulu kala, tradisi balik kampung sememangnya begitu sebati dalam kalangan masyarakat Melayu yang biasa hidup merantau dan berdagang.

Bagi banyak orang Melayu, sejauh mana pun pergi, akhirnya, kampung halaman juga menjadi tempat kembali. Kebiasaannya, seawal minggu pertama Ramadan, tiket pengangkutan awam mula habis terjual. Ia juga budaya di Indonesia. Mereka memanggilnya mudik lebaran. Tahun lepas sahaja, dianggarkan 85 juta rakyat Indonesia dari seluruh pelosok negara pulang beraya di desa.

Sebenarnya, tradisi balik kampung ini bukan sahaja unik kepada rumpun Melayu.

Di Bangladesh misalnya, hari-hari terakhir Ramadan akan menyaksikan puluhan ribu penduduk Dhaka membanjiri stesen kereta api untuk pulang beraya di kampung. Kereta api juga dilimpahi manusia sehingga ada yang sanggup duduk berhimpit di atas gerabak tanpa menghiraukan bahaya.

Orang Afrika yang terdiri daripada 40 peratus Muslim juga punya tradisi menyambut Aidilfitri yang amat meriah. Mereka akan berkumpul bersama keluarga untuk berarak beramai-ramai memperagakan busana tradisi mereka sambil menyanyi dan menari riang. Suasana beraya yang sebegitu pastilah amat menggamit perantau untuk pulang.

Kerajaan Ethiopia telah dua tahun melancarkan The Great Ethiopian Home Coming Initiative bagi membolehkan rakyatnya yang berada di serata dunia untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di tanah air. Syarikat penerbangannya, Ethiopian Airlines turut menawarkan diskaun harga tiket kepada warga Ethiopia bagi tujuan ini.

Dalam dunia serba moden hari ini, dengan lebih 50 peratus manusia tinggal di bandar, katanya kemungkinan tradisi balik kampung yang unik ini bakal tiada lagi di masa hadapan.

Apatah lagi dengan berkurangnya warga emas tinggal di kampung. Hal ini telahpun berlaku di UK. Meski tradisi balik kampung mereka tidak semeriah kita, namun masyarakat mereka yang majoriti beragama Kristian dahulunya sering pulang walau sehari untuk bersama ibu bapa dan sanak saudara meraikan Hari Natal.

Namun pada tahun 2022, kaji selidik oleh VisitEngland’s Christmas Trip Tracker mendapati hanya 23 peratus rakyat UK memilih untuk pulang untuk beraya bersama keluarga. Yang selebihnya memilih merayakan Hari Natal dengan pasangan dan teman di kota atau melancong ke luar negara.

Malah, bagi masyarakat Kristian moden, Hari Natal boleh diraikan dengan apa jua cara, di mana atau dengan siapa sahaja. Persiapan raya yang dulunya dibuat bersama ahli keluarga, kini dibuat sendirian atau dengan teman sahaja. Tradisi makan besar bersama ahli keluarga juga sudah tidak lagi menjadi keutamaan mereka.

Selain itu, persepsi orang barat tentang institusi keluarga yang kian berubah juga mungkin jadi penyebab. Bagi mereka, keluarga tidak semestinya terdiri daripada sepasang ibu bapa yang berkahwin. Wanita yang berkahwin pula boleh memilih hidup ‘bebas anak’. Ibu bapa tunggal juga semakin ramai apabila kadar perceraian terus tinggi.

Konsep keluarga sebegini membuatkan ibu bapa, adik-beradik atau sanak saudara yang punya pertalian darah sudah tidak dianggap seperti keluarga terdekat. Kerana itu, pulang menziarahi leluhur juga menjadi tak penting lagi.

Berlainan pula bagi orang Islam yang kekal merayakan Aidilfitri sebagai tanda pengabdian kepada Tuhan. Selain meraikan kejayaan sebulan berpuasa, Aidilfitri amat penting dalam memelihara pertalian darah dan institusi kekeluargaan. Bagi orang Melayu misalnya, ia bukan sekadar hari untuk mengubat rindu pada sanak saudara yang lama terpisah, namun kesempatan yang ada turut digunakan untuk memulihkan hubungan yang pernah retak oleh sengketa.

Jadi, telahan bahawa tradisi balik kampung untuk beraya akan pupus dalam kalangan umat Islam di era moden ini mungkin boleh disangkal. Jika pun suatu masa nanti, semua desa bertukar menjadi kota, kampung akan tetap ada untuk kita. Kerana hakikatnya, bukanlah semata-mata suasana desa, rumah pusaka atau ayah bonda yang membuatkan kita mahu balik kampung, tapi keutuhan ikatan kekeluargaanlah yang menjadi penerus tradisi ini.

Asal di situ ada keluarga tercinta, di situlah juga letaknya kampung halaman kita.

* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.

Klik di sini untuk terus membaca