SHAH ALAM - Majoriti pemilik kereta mengakui terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membaiki dan selenggara kenderaan.
Ia berikutan pihak pusat servis atau bengkel kenderaan kini mengenakan caj lebih mahal berbanding sebelum ini.
Juruteknik, Maldin Jaafar, 45, berkata, dia perlu membayar lebih RM400 semata-mata untuk menukar minyak hitam dan minyak gearbox di bengkel berhampiran.
"Dahulu saya hanya bayar RM200 untuk tukar minyak hitam dan sebagainya. Kali ini saya terkejut kerana harga dikenakan dua kali ganda berbanding harga tahun lepas.
"Saya tanya kepada pemilik bengkel kenapa harga naik begitu drastik? Individu itu kata sebab harga minyak, harga barang naik memaksa mereka naikkan harga,” katanya.
Tambah Maldin, dia juga terkesan kerana duit simpanannya semakin sedikit selain tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk melakukan persiapan sempena hari raya nanti.
"Duit memang tidak cukup...nak keluar duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tak boleh. Kena buat pinjaman, jadi apa pilihan saya ada sekarang,” ulasnya.
Pekerja swasta, Maslah Suhaili, 31, pula berkata, dia membelanjakan hampir RM1,000 untuk servis penyelenggaraan kenderaan sebelum pulang beraya ke kampung.
"Kebanyakan bengkel penuh. Jadi tiada pilihan kena hantar juga bengkel yang ada walaupun harga dikenakan sedikit mahal,” ujarnya.
Selain itu, eksekutif pengurusan harta, Shafawi Akmal Samsul Ali, 32, berharap kerajaan dapat melakukan pemantauan bagi mengelak pemilik bengkel kenderaan mengambil kesempatan terutama menjelang perayaan.
"Alasan mereka adalah kenaikan harga barang dan harga minyak. Kita faham dengan keadaan ekonomi tidak menentu ini menyebabkan ramai pihak terkesan tetapi jangan sampai kenakan caj melampau.
"Kerajaan juga perlu usahakan untuk ringankan beban rakyat dengan memberi sumbangan sagu hati raya berupa wang kepada golongan memerlukan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca