SHAH ALAM - Dakwaan bekas Setiausaha Agung UMNO merangkap mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan mungkin menyertai parti Pas dalam masa terdekat kini masih menjadi tanda tanya. Ia kerana menurut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dakwaan bekas Setiausaha Agung UMNO merangkap mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan mungkin menyertai parti Pas dalam masa terdekat kini masih menjadi tanda tanya.

Ia kerana menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sehingga sekarang Pas belum menerima sebarang permohonan atau pengesahan daripada bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berhubung hasrat menyertai parti tersebut selepas dipecat daripada UMNO, Disember tahun lalu.

"Perkara berkenaan masih kekal sebagai khabar angin kerana setakat ini, kita belum menerima sebarang permohonan atau pengesahan daripada Annuar berhubung hasratnya mahu menyertai Pas,” katanya kepada Sinar Premium.

Terdahulu, terdapat cakap-cakap mengatakan Annuar berkemungkinan menyertai Pas secara rasmi dalam masa terdekat.

Pada 9 Disember tahun lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencapai kesepakatan memecat Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh.

Turut mengalami nasib sama ialah Ketua Wanita UMNO Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Shamsiah merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim manakala Fatimah Kassim ialah isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Sinar Premium masih cuba mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan itu, namun sehingga kini masih gagal.

Annuar enggan menjawab soalan yang dihantar menerusi mesej pesanan WhatsApp mahu menjawab panggilan telefon dibuat biarpun beliau membaca teks terbabit.

Difahamkan, Annuar kini berada di Makkah bagi menunaikan umrah bersama keluarganya selama beberapa hari.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 1 April lalu mengalu-alukan siapa saja tokoh atau orang perseorangan yang mahu menyertai partinya termasuk desas-desus mengenai Annuar dikatakan berhasrat demikian selepas Aidilfitri nanti.

Katanya, kepemimpinan parti sangat terbuka menerima Annuar serta tokoh lain atau orang tidak berparti untuk menyertainya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pula berkata, setakat ini beliau tidak menerima maklumat berhubung dakwaan kononnya Annuar bakal menyertai Pas dalam masa terdekat.

Klik di sini untuk terus membaca