SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan adalah lebih baik sekiranya peniaga di bazar Ramadan menyedekahkan makanan yang tidak habis dijual kepada golongan memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.
Ujarnya, tindakan itu adalah cara yang difikirkan lebih relevan berbanding peniaga membuang makanan tersebut.
Tambah beliau, makanan berlebihan boleh diberikan secara percuma kepada gelandangan yang mudah dijumpai terutama di bandar raya, selain dihantar ke maahad tahfiz untuk dimakan ketika berbuka puasa atau bersahur.
"Seeloknya makanan yang lebih ini disedekahkan. Saya ingat di mana-mana mereka ini boleh ditemui. Jadi, tidak perlu dibuang begitu. Membazir.
"Walaupun tidak dapat pulangan dari segi perniagaan tetapi sebagai seorang Muslim, kena fikir ia kebajikan yang menjana pahala. Bukan setakat fikir keuntungan sahaja.
Wan Salim turut mencadangkan peniaga melakukan tinjauan terlebih dahulu berkenaan jumlah pelanggan sebelum menyediakan makanan untuk dijual.
Pada Ahad, akhbar ini melaporkan, peniaga bazar Ramadan di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa dan ia bersamaan dengan berat 195 ekor gajah dewasa.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, secara purata, peniaga bazar Ramadan di negeri itu, membabitkan enam jajahan pihak berkuasa tempatan, membuang sisa bahan makanan sebanyak 73.67 tan sehari.
Klik di sini untuk terus membaca