BERDASARKAN data semasa KWSP menunjukkan sebanyak 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana tidak... Klik di sini untuk terus membaca

BERDASARKAN data semasa KWSP menunjukkan sebanyak 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Sebanyak 51.5 peratus atau seramai 6.67 juta ahli KWSP di bawah umur 55 tahun pula hanya mempunyai simpanan persaraan di bawah paras RM10,000 pada hujung tahun 2022.

Maka langkah seterusnya yang dilaksanakan adalah dengan memperkenalkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) yang bertujuan untuk membolehkan ahli KWSP yang berkelayakan membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun bagi memperolehi pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan dengan mencagarkan KWSP.

Jadi adakah berbaloi pencarum mencagarkan KWSP untuk pinjaman bank?

Ia bergantung kepada situasi semasa pencarum.

Sekiranya pencarum masih boleh bertahan maka sebolehnya pencarum boleh mengelak untuk mengambil FSA2 kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan pencarum terus terperangkap dalam kitaran hutang.

Tentu sekali risiko akan menjadi semakin besar apabila bayaran ansuran bulanan FSA2 tidak dibayar sebagaimana yang ditetapkan.

Berdasarkan tinjauan daripada beberapa media juga menunjukkan kekhuatiran pencarum untuk mengambil FSA2 yang mana sebahagian berpandangan mereka kurang selesa dengan situasi mengambil pinjaman bank melalui cagaran KSWP dengan membayar hutang mereka yang tertunggak.

Dalam erti kata lain, mengambil hutang yang bercagar untuk membayar hutang sedia ada seolah-olah seperti gali lubang tutup lubang.

Melihat dari sudut lain pula, dalam konteks pencarum yang amat tertekan dengan situasi ekonomi semasa dengan kenaikan harga barangan yang mendadak dan ditambah pula kos sara hidup yang meningkat menyebabkan wang tunai di tangan tidak mencukupi khususnya semasa persiapan musim perayaan nanti.

Daripada situasi sedemikian berlaku, maka mengambil FSA2 adalah pilihan yang lebih baik jika dibandingkan mengambil pinjaman daripada along yang boleh menyebabkan masalah menjadi tidak terkawal.

Baru-baru ini, saya terserempak dengan seorang rakan lama saya yang berhadapan dengan tekanan ekonomi yang terpaksa menjual satu demi satu barangannya daripada iPad, Apple Watch dan terbaharu motosikal kesayangan yang katanya banyak berjasa kepadanya terpaksa dijual disebabkan oleh tekanan ekonomi yang mendesak.

Bahkan katanya ketika ke Cash Converters untuk bertanyakan harga untuk menjual barangan simpanannya, begitu ramai yang senasib dengannya berhadapan dengan masalah yang sama. Inilah realiti sebenar yang berlaku pada ketika ini.

Berkemungkinan, sebaik sahaja ekonomi kembali pulih sepenuhnya, KWSP boleh melaksanakan beberapa pendekatan sebagai contoh caruman yang diterima boleh dibahagikan caruman tersebut kepada beberapa bentuk simpanan.

Pertama, sebahagian simpanan caruman yang boleh dibuat pengeluaran jika berlaku kecemasan.

Kedua, sebahagian simpanan caruman akan digunakan melalui kaedah mewajibkan pelaksanaan bayaran bulanan kepada pencarum selepas bersara dengan kenaikan bayaran bulanan setiap tahun sebagaimana pelaksanaan pencen kerajaan.

Ketiga, sebahagian simpanan caruman akan digunakan melalui kaedah mewajibkan setiap mencarum untuk mencarum insurans bagi perlindungan perubatan selepas persaraan agar selepas sahaja pencarum bersara maka syarikat insurans akan meneruskan pelindungan yang tidak dilindungi lagi oleh majikan.

Pendekatan ini telah dilaksanakan oleh beberapa negara lain, maka KWSP juga boleh melihat pendekatan yang bersesuaian yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang sebaik sahaja ekonomi negara pulih sepenuhnya.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca