BACHOK - Peningkatan kos sara hidup yang naik mencanak membuatkan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berada dalam dilema untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penduduk mengakui poket mereka semakin kering selepas membuat persiapan penggal baharu persekolahan dan menyambut awal Ramadan.
Seorang buruh kasar dari Kampung Tawang, Syukri Mokhtar berkata, dia terpaksa bertungkus-lumus mengumpul wang bagi membuat persiapan menyambut 1 Syawal.
"Saya memerlukan RM2,000 untuk membeli pakaian baharu kepada lima orang anak termasuk isteri. Belanja ini juga merangkumi pembelian makanan, minuman dan persiapan lain,” katanya.
Dia yang berusia 39 tahun, berkata, kenaikan kos barangan ketika ini membuatkan mereka sekeluarga memilih menyambut lebaran secara sederhana dan berjimat cermat.
Seorang ibu tunggal dari Kubang Golok, Wan Natrah Wan Muda, 50, memberitahu, dia terpaksa menunggu sumbangan zakat untuk membuat persiapan hari raya.
Ujarnya, pemergian suami pada November lalu akibat penyakit kanser, membuatkan dia hilang tempat bergantung.
"Bila sudah dapat duit zakat, saya akan beli pakaian baharu sepasang sahaja kepada anak bongsu kerana empat lagi anak sudah berumah tangga.
"Untuk diri sendiri cukup memakai pakaian sedia ada. Setiap tahun sambutan hari raya kami hanya sederhana lebih-lebih lagi kali ini kerana semua barangan naik harga,” katanya.
Bagi Ain Salsabila Mohamad, 22, dari Kampung Melawi, hanya memperuntukkan RM150 untuk baju suami dan RM60 bagi diri sendiri dan simpanan yang ada untuk menyambut kelahiran anak sulung pada Mei ini.
Tambah jurujual itu, mereka memilih untuk berjimat cermat dan membeli pakaian berharga murah kerana kos menyambut bayi juga tinggi.
Sementara di KEDAH, persiapan hari raya agak hambar berdasarkan tinjauan di Sungai Petani di sini, kurang kemeriahan berbanding tahun lalu.
Salina Kasim, 40, berkata, dia perlu berjimat memandangkan anak sulung baharu berdaftar ke sekolah berasrama penuh bulan lalu.
Akuinya, segala perbelanjaan persekolahan tiga anak lagi turut dilakukan dalam bulan sama membolehkan dia dan suami mengambil keputusan membuat persiapan ala kadar menyambut Aidilfitri.
"Setiap anak hanya beli baju yang perlu, jika masih muat, pakai baju lama sahaja,” jelasnya.
Johari Isa, 39, berkata, persiapan hari raya tahun ini disambut ala kadar memandangkan baharu menyambut kelahiran anak kelima.
"Isteri masih dalam pantang dan anak-anak lain baharu masuk sekolah. Jadi hari raya tahun ini disambut ala kadar,” katanya.
Pembantu kedai, Fatin Najwa Ahmed Nawawi, 29, bersetuju dengan pendapat orang ramai lebih berjimat dari berbelanja besar dalam menyambut perayaan Aidilfitri kali ini.
"Raya tahun lepas nampak lagi meriah, mungkin yang mempunyai ahli keluarga ramai perlu berjimat-cermat di samping memikirkan perbelanjaan lain yang perlu diperuntukkan,” katanya.
Di PERAK, kenaikan harga barang dan keperluan harian menyebabkan ramai ibu bapa memilih menyambut Aidilfitri kali ini secara sederhana.
Kebanyakan mereka yang ditemui memilih mengutamakan barang keperluan harian berbanding persiapan hari raya.
Bagi Mohd Jamri Ismail, 38, yang bekerja di ladang kelapa sawit, keutamaan diberikan kepada anak kerana keseronokan beraya lebih dirasai oleh kanak-kanak.
"Saya dan isteri tak kisah pun ada baju raya atau tidak. Kami dahulukan anak-anak.
"Raya tahun ini memang nak jimat sebab harga barang semuanya dah naik.
Barang-barang keperluan untuk raya pun tak beli lagi, jadi tak kisah pun kalau pakai baju lama,” katanya yang tinggal di Batu Kurau di sini.
Seorang ibu, Siti Suhaila Mohd Zulkifli, 30, turut mempunyai pandangan sama dalam penyediaan persiapan Aidilfitri.
Jelasnya, persediaan untuk membeli pakaian hari raya sekeluarga tahun ini mencecah RM400 tidak termasuk barangan keperluan makanan lain.
"Memang tahun ini agak mahal untuk sediakan semuanya dan beli baju pun di kedai-kedai biasa yang kita tahu harga berpatutan.
"Anak-anak pun tak kisah sebab mereka faham kemampuan keluarga, asalkan dapat baju raya mereka gembira. Mujur juga salah seorang anak saya dapat bantuan, jadi ringanlah sedikit beban,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca