SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menjalankan siasatan dan mendakwa mana-mana individu termasuk hakim di mahkamah terbuka sekiranya mereka terlibat dengan kes jenayah. Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam... Klik di sini untuk terus membaca

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menjalankan siasatan dan mendakwa mana-mana individu termasuk hakim di mahkamah terbuka sekiranya mereka terlibat dengan kes jenayah.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menegaskan, undang -undang di Malaysia tidak pernah mendiskriminasi atau membezakan seorang hakim dan rakyat marhaen jika mereka terbabit dengan kes jenayah.

Wan Ahmad Fauzi menegaskan, Perlembagaan Persekutuan dan statut perundangan juga mempunyai peruntukan khusus untuk menangani masalah berkaitan tindakan tatatertib membabitkan penjawat awam, perkhidmatan badan berkanun dan etika anggota badan kehakiman berhubung dengan perkhidmatan masing-masing yang boleh membawa kepada hukuman pemecatan dan penggantungan jawatan.

Bagaimanapun Wan Ahmad Fauzi berkata, kesalahan yang menyentuh tatatertib dan etika tersebut tidak memberikan pengecualian pemakaian Kanun Acara Jenayah, Akta SPRM, kesalahan lain di bawah undang-undang yang sedang berkuat kuasa dan kuasa Peguam Negara selaku Pendakwa Raya di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ahmad Fauzi
Wan Ahmad Fauzi
Wan Ahmad Fauzi

"Sebaliknya undang-undang yang menyentuh tatatertib penjawat awam dan pekhidmat badan berkanun, serta etika para hakim hanya bertujuan untuk mengadili kes yang hukumannya menyentuh perkhidmatan masing-masing, seperti pembuangan dan penggantungan kerja serta isu gaji dan pangkat.

"Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan secara khusus menyentuh ruang lingkup prosedur dan hukuman bagi pelanggaran tatacara etika seorang hakim.

"Sama ada seorang hakim itu sabit melakukan kesalahan di bawah Kanun Acara Jenayah, Akta SPRM dan lain-lain statut, proses tersebut perlu diadili seperti mana-mana orang berdasarkan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.

"Misalnya, peruntukan Akta Tatatertib dan Surcaj Badan Berkanun memperuntukkan jika seorang perkhidmat badan berkanun dituduh di mahkamah, maka proses di mahkamah perlu diselesaikan terlebih dahulu di hadapan Jawatankuasa Tatatertib.

"Prinsip sama terpakai kepada mana-mana hakim yang dituduh di bawah mana-mana undang-undang, maka proses tersebut perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum prosiding mengikut Perkara 125 berlaku, melainkan seorang hakim terlibat dalam kes tatatertib lain juga pada waktu yang sama,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata, setiap pelaksana cabang kuasa utama di bawah Perlembagaan Persekutuan mempunyai fungsi yang diamanahkan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

"Setiap hakim perlu mengamalkan integriti tinggi dan pada masa yang sama harus diberi peluang untuk membela diri mengikut proses undang-undang seperti diberikan jaminan kepada orang lain.

"Isu etika perkhidmatan lebih bersifat dalaman, undang-undang tersebut memperuntukkan kaedah dan pendekatan yang tertakluk mengikut peruntukan berkaitan. Seorang yang melaksanakan fungsi hakim, ahli eksekutif dan ahli badan perundangan tidak diberikan pengecualian oleh Perkara 8.

"Mereka perlu menjalani proses yang sama seperti juga orang lain. Setiap pelaksana fungsi cabang kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman mesti menghormati amanah yang diberikan,” katanya.

Malah, Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang, melainkan terdapat diskriminasi yang dibenarkan.

"Undang-undang awam seperti Kanun Acara Jenayah dan Akta SPRM terpakai kepada semua orang kerana tidak diperuntukkan sebarang pengecualian kepada sesiapa yang dituduh di bawah kesalahan itu.

"Begitu juga kuasa pendakwaan yang terletak pada Peguam Negara. Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk membenarkan pendakwaan dimulakan terhadap siapa sahaja yang melakukan kesalahan jenayah di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, SPRM hanya boleh menyiasat hakim jika mereka didapati melakukan kesalahan jenayah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sahaja bukan membabitkan kes pelanggaran kod etika badan kehakiman.

Mohamed Haniff Khatri berkata, setiap siasatan kes jenayah membabitkan hakim perlu dibuat mengikut protokol tertentu dan tidak boleh didedahkan kepada umum bagi menjaga kredibiliti dan imej sistem kehakiman di Malaysia.

Berikutan itu, beliau mempertikaikan bagaimana surat yang didakwa dihantar oleh SPRM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman secara rahsia kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung kes pertuduhan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali boleh terdedah kepada umum.

Bagi beliau, tindakan itu menggambarkan seolah-olah ada pihak tertentu berniat jahat untuk memburukkan sistem kehakiman negara.

"Penyebaran surat itu memang berniat jahat dan sengaja mahu menimbulkan persepsi kepada orang awam kononnya Ketua Hakim Negara tidak mengambil sebarang tindakan kepada Hakim Nazlan berasaskan aduan dibuat SPRM.

"Orang luar juga mungkin tidak mengetahui bahawa Ketua Hakim Negara perlu mengkaji secara mendalam setiap aduan diterima, seterusnya menubuhkan jawatankuasa khas dan memberi peluang kepada hakim berkenaan membela diri secara lisan atau bertulis sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca