PADA 4 April yang lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan bahawa Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) akan dilancarkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 4 April yang lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan bahawa Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) akan dilancarkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Beliau menekankan DIPKN adalah satu dasar penting kepada industri pertahanan yang mempunyai potensi baik untuk dikembangkan serta mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.

Jawapan beliau menjawab soalan lisan dalam satu sesi di Dewan Negara. Antara yang disebut juga ialah satu rang undang-undang berkaitan industri pertahanan akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Kenyataan beliau sebenarnya memberi gambaran kepada apa yang telah berlaku sejak berpuluh tahun, iaitu industri pertahanan yang sebahagian besarnya disokong oleh kerajaan seakan menjadi pembuat duit atau ‘cash cow’ kepada golongan tertentu yang berkepentingan.

‘Penyakit’ yang sekian lama dihidapi oleh industri tersebut ialah sebahagian besar pemain-pemain industri tempatan kerap mencanangkan gong patriotisme yang menggunung di pameran-pameran antarabangsa seperti DSA dan LIMA.

Malangnya pukulan gong ini akan hanya didengar ketika pameran, sebaik berakhir, bunyinya hanya tinggal sekelumit berbanding gesekan biola Ringgit Malaysia yang mengasyikkan.

Kenyataan ini mungkin keras bunyinya tapi itulah yang banyak berlaku.

Malah Menteri Pertahanan dalam jawapannya menyebut bahawa "Sejak tahun 80-an lagi berbilion duit kerajaan (dilaburkan) atas industri pertahanan tapi tak diurus (dengan) baik... orang industri dapat untung dalam sektor pertahanan tapi dilabur ke tempat lain, jadi pemaju dan sebagainya”.

Mungkin di bulan Ramadan mulia ini Yang Maha Kuasa mahu mempamerkan kepada semua bahawa apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai kegelojohan sebahagian industri pertahanan ini tidak lagi mampu diabaikan.

Pada hari sama beliau mengeluarkan kenyataan di Dewan Negara, sekumpulan 50 individu bekas pekerja dari sebuah firma industri pertahanan terkemuka di negara ini telah mengadakan piket aman di hadapan bangunan milik firma tersebut di Lapangan Terbang Subang.

Kumpulan ini kemudiannya telah memberikan tempoh 14 hari kepada syarikat untuk menjawab berkaitan isu hutang sebanyak RM8 juta berupa pampasan pemberhentian kepada 193 yang masih belum dibayar.

Mereka juga memberi amaran untuk memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menyaman syarikat itu untuk CBT (pecah amanah).

Perkara yang dilakukan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana kira-kira setahun lalu, kira-kira 100 bekas pekerja firma sama telah meredah hujan mengadakan piket terhadap pihak pengurusan.

Antara keluhan mereka yang mengadakan piket ialah bagaimana firma tersebut telah tidak membuat pembayaran secara berkala seperti sepatutnya kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Rakyat marhaen mungkin berpendapat bahawa keadaan ini berlaku memandangkan keadaan pasaran yang tidak menentu memberi impak terhadap kedudukan kewangan syarikat selain terkesan akibat pasaran industri pertahanan yang amat kompetitif.

Walau bagaimanapun ini sukar diterima memandangkan firma berkenaan telah diberikan monopoli sehingga tiada firma lain yang mampu menggugat kedudukan mereka dalam pasaran.

Contohnya, Kementerian Kewangan telah menetapkan agar perolehan bagi membekal dan menghantar pelbagai jenis peluru senjata laras kecil dan alat pyrotechnics kepada semua Agensi Kerajaan di Seluruh Malaysia untuk tempoh selama lima tahun mulai 1 Februari 2015 hingga 31 Januari 2020 mestilah dari firma berkenaan.

Bagi mengukuhkan sumber kewangan mereka, semua agensi mesti menggunakan firma tersebut sepenuhnya dan tidak dibenarkan membeli dari punca lain tanpa kelulusan Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan atau Pegawai Kewangan Negeri.

Malah, harga bagi sebutir peluru untuk raifal M16A1 dan M4 yang digunakan oleh agensi berkaitan keselamatan dan pertahanan negara telah ditentukan oleh pihak kerajaan.

Tidak cukup dengan monopoli peluru, pada 1991 ia telah diberi monopoli mengilangkan raifal Steyr AUG untuk angkatan tentera, manakala pada 2011 sekali lagi diberikan kontrak bernilai Ringgit Malaysia 700 juta untuk mengilangkan raifal M4.

Secara logiknya, ia ibarat sebuah firma yang disuapkan dana dari sudu emas oleh pihak kerajaan berpuluh tahun lamanya, namun kenapa ia masih gagal menjadi firma pertahanan berkaliber?

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca