WASHINGTON - Sejumlah dokumen sulit mengandungi butiran rancangan terperinci Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membantu Ukraine melancarkan serangan musim bunga terhadap Rusia telah tersebar secara meluas di media sosial.
Maklumat yang dibongkarkan itu termasuk peta, carta dan gambar yang lengkap dengan garis masa dan puluhan akronim ketenteraan yang sukar ditembusi, termasuk sebahagiannya ditanda sebagai 'rahsia besar'.
Ia turut mendedahkan jumlah korban dan kelemahan kedua-dua belah pihak serta kekuatan relatif batalion mereka apabila Kiev melancarkan serangan balas secara habis-habisan.
Sejauh manakah kesahihan dokumen sensitif yang telah dibocorkan itu? Adakah ia juga membuktikan AS sebenarnya 'mengintip' peperangan Rusia-Ukraine?
Pentagon dalam satu kenyataan memaklumkan ia sedang menilai pelanggaran keselamatan yang dilaporkan.
"Kami mengetahui tentang kebocoran itu dan Jabatan Pertahanan sedang melakukan kajian lanjut," ujar Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh.
Dokumen tersebut dilaporkan tersebar di Twitter dan Telegram serta maklumat tersebut yang agak terkini dan paling terbaharu bertarikh 1 Mac.
Difahamkan, ia adalah kebocoran terbesar maklumat sulit Amerika tentang perang Ukraine sejak kempen pencerobohan berskala penuh dilancarkan Rusia kira-kira 14 bulan lalu.
Sehingga kini, bagaimana insiden kebocoran itu berlaku di platform seperti Discord, Telegram, 4Chan iaitu sebuah forum yang popular dalam kalangan ekstremis terus mencetuskan tanda tanya.
Aric Toler daripada kumpulan sumber risikan terbuka, Bellingcat berkata, dokumen sulit dibocorkan sudah mula tersebar dalam kalangan pemain permainan video sejak awal Mac.
Ketika insiden perbalahan tentang konflik Rusia-Ukraine di platform Discord, seorang pemain permainan komputer, Minecraft dengan selamba berkongsi kira-kira 10 dokumen yang dibocorkan.
Ia disifatkan sebagai satu bentuk kebocoran yang luar biasa.
Pada 2019, menjelang Pilihan Raya Umum Britain, set dokumen berkaitan hubungan perdagangan bersama AS turut muncul di Reddit, 4Chan dan beberapa platform lain.
Ketika itu, Reddit mendakwa, dokumen asal tidak disunting tersebut berasal dari Rusia.
Pada tahun lalu, pemain permainan video dalam talian, War Thunder berulang kali berkongsi dokumen ketenteraan yang sensitif dalam usaha untuk memenangi pertengkaran sesama mereka.
Rusia jadi dalang?
Pada minggu lalu, beberapa pegawai Washington menuduh Moscow atau elemen pro-Kremlin sebagai dalang yang membocorkan siri dokumen ketenteraan yang sebahagiannya mendedahkan gambaran peperangan di Ukraine.
Menurut mereka, dokumen itu telah mengubah jumlah korban anggota tentera Rusia kepada angka lebih rendah berbanding yang direkodkan AS.
Dokumen sulit dibocorkan itu turut memperincikan rahsia keselamatan negara AS termasuk berkaitan kawasan Asia Barat dan China selain mendedahkan maklumat konflik Moscow-Kiev.
Sementara itu, jurucakap Presiden Ukraine mendakwa kebocoran itu melibatkan 'maklumat rekaan' yang sangat besar dan ia adalah sebahagian daripada rancangan Rusia untuk menimbulkan keraguan tentang operasi serangan balas dirancang Kiev.
"Ia adalah elemen standard 'permainan operasi' risikan Kremlin. Tidak lebih daripada itu," kata Mykhailo Podolyak.
Impak kebocoran itu masih tidak jelas, namun ia adalah pendedahan paling serius sejak bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara (NSA), Edward Snowden menyerahkan ribuan dokumen sulit mengandungi maklumat tentang pengawasan elektronik AS kepada wartawan pada 2013.
Kebanyakan dokumen tersebut yang bertarikh dari Februari hingga Mac kelihatan seperti slaid taklimat yang disediakan Ketua Turus Bersama Tentera AS dan merujuk kepada maklumat yang diperoleh dari pelbagai agensi risikan termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA), Agensi Risikan Pertahanan dan Pejabat Peninjauan Kebangsaan yang mengawasi satelit pengintip Washington.
Sebahagian daripada dokumen itu bertanda FORN yang melarang sebarang perkongsian maklumat dengan rakan kongsi asing.
Susulan itu, Jabatan Kehakiman (DOJ) telah melancarkan siasatan terhadap kebocoran maklumat rahsia itu yang turut mengandungi maklumat tentang operasi tentera upahan, Wagner Group di Afrika dan rancangan mendesak Israel bagi memberikan bantuan 'senjata membunuh' kepada Ukraine selain hubungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Rusia serta kebimbangan disuarakan Korea Selatan untuk menghantar bekalan peluru kepada AS yang akan digunakan Kiev.
Bekas Pengarah Risikan Kebangsaan di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama menzahirkan kebimbangan tentang kesan kebocoran tersebut.
"Ia jelas pelanggaran keselamatan yang sangat serius dan berpotensi menjejaskan hubungan AS dengan sekutunya," kata James Clapper. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca