SHAH ALAM - Berhadapan tekanan bebanan hutang melampau dan kesempitan sumber kewangan dilihat antara penyebab utama individu hilang pertimbangan dan rasional diri.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, krisis kewangan dan kesempitan sumber hidup bukan sahaja membuatkan seseorang itu mudah hilang pertimbangan diri, malah jenayah rumah tangga juga boleh berlaku akibat tekanan melampau.
Beliau berkata, masalah kewangan terutama dibebani dengan masalah hutang dilihat berupaya menyumbang kepada kecenderungan masalah keruntuhan rumah tangga seperti perceraian.
Jelas beliau, perkara tersebut mendorong berlakunya pergaduhan dengan pasangan, seterusnya membawa kepada penderaan emosi dan fizikal kepada isteri serta anak-anak.
Kata beliau, apabila seseorang itu berhadapan masalah kewangan meruncing, perkara itu akan mengganggu emosi dan fizikal.
Jelasnya, selain hidup tidak tenang, malah individu tersebut juga tidak boleh fokus, sentiasa tertekan dan cepat marah.
"Ada juga kebarangkalian mereka yang berhadapan tekanan emosi ini terlibat dengan pinjaman along.
"Jika bermasalah dengan along, mereka pastinya akan mendapat ancaman yang teruk, sekali gus membuatkan mereka tidak lagi boleh berfikir secara rasional dan berada dalam situasi ketakutan.
"Sekiranya tidak mendapat ancaman daripada along, tekanan melampau juga akan berlaku apabila seseorang itu mendapat surat reminder atau amaran ditarik balik serta sita daripada bank dan institusi kewangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, kemudaratan lebih teruk daripada hilang sabar atau gagal mengawal emosi adalah hilangnya pertimbangan rasional atau kewarasan minda.
Kata beliau, bukan sahaja kemungkinan berlaku pertengkaran antara suami isteri, malah tindakan agresif dilakukan termasuk mencedera atau membunuh pasangan masing-masing.
Jelas beliau, mungkin suspek tidak bermaksud melakukan keganasan, namun pemikiran tanpa kewarasan akan menyebabkan apa sahaja boleh berlaku.
"Disebab sudah tidak rasional, maka berlakunya kejadian yang amat mendukacitakan.
"Oleh sebab itu, kita perlu memberi kesedaran dan mendidik masyarakat tentang bahaya tekanan mental akibat kesilapan menguruskan kewangan dengan baik,” katanya.
Ramai tarik laporan punca keganasan rumah tangga sukar ditangani
Sementara itu, banyak laporan polis berhubung keganasan rumah tangga yang ditarik antara punca masalah tersebut tidak dapat ditangani dengan baik.
Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam), Noorazmir Zakaria berkata, kebiasaannya mangsa yang terdiri daripada kalangan isteri akan membuat laporan sekiranya mereka mengalami penderaan.
"Pihak polis biasanya akan merujuk kepada pelapor, sebelum mengambil tindakan. Namun, yang menjadi masalah adalah apabila ketika tindakan penguatkuasaan hendak dikenakan, mereka (isteri) akan menarik balik laporan itu kerana fikirkan masa hadapan anak-anak dan keluarga.
"Ini termasuk kekhuatiran bahawa jika suami yang merupakan pelaku keganasan ditangkap, mereka fikir siapa nak mencari rezeki untuk keluarga,” ujar beliau kepada Sinar Harian pada Isnin.
Noorazmir menambah, pemikiran tersebut adalah salah dan pihak polis sepatutnya diberi peluang terus untuk mengambil tindakan terhadap pelaku keganasan rumah tangga.
Tambah Noorazmir, membiarkan sesebuah keganasan rumah tangga berlaku, hanya akan menyebabkan timbul lebih banyak masalah lagi kepada keluarga terutama persekitaran kehidupan melibatkan anak-anak pasangan.
Namun ujarnya, kebanyakan mangsa hanya membiarkan sahaja kerana berfikiran tidak mahu menjejaskan institusi kekeluargaan yang telah dibina.
"Kadang-kadang kita faham, ada sesetengah isteri mereka takut kesusahan lain akan melanda jika suami selaku itu ditangkap seperti masalah kewangan. Namun, hidup dalam penderaan merupakan penderitaan dan sepatutnya mereka perlu lari kerana satu pintu kebebasan telah pun dibuka.
"Di sini, saya berpandangan tidak salah jika pihak baitulmal dapat memberikan tanggungan buat sementara waktu kepada keluarga yang menjadi mangsa penderaan sekiranya suami ditahan dan terputus pendapatan.
"Ia juga boleh menjadi satu tempoh bertenang buat isteri untuk memulakan kehidupan yang baharu selepas itu,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca