DALAM psikologi, ada disebut satu istilah, delayed gratification. Dalam bahasa yang mudah, orang sanggup menunggu lebih lama untuk mendapat ganjaran sekiranya mereka tahu pada masa hadapan akan ada ganjaran lebih besar.
Banyak kajian menunjukkan hal ini memang berlaku. Ini adalah kerana ia sifat lumrah manusia.
Misalnya, kajian yang dilakukan bagaimana kesanggupan manusia untuk tidak makan fast food dengan dijanjikan tubuh badan yang cantik pada masa hadapan.
Ada juga menggunakan delayed gratification ini tujuan berhenti merokok.Hidup kita ini sendiri pun dalam banyak hal telah menangguhkan ganjaran yang cepat ini.
Misalnya kita sanggup bersabar meneruskan persekolahan, kerana ingin mendapat jaminan hidup yang baik.
Dalam beragama pun, kita sanggup mengorbankan banyak kesedapan dunia untuk kehidupan dunia akhirat yang lebih baik. Tapi dalam kes KWSP di Malaysia, kelihatannya terdapat banyak kejanggalan.
Kini orang sepertinya tak mahu bersabar dengan wang untuk hidup di hari tua.
Orang mahu sekarang, biarlah diulang beritahu - tanpa wang di hari tua, kita mungkin menderita.
Malah ada yang sanggup berjalan kaki beratus kilometer untuk menunjuk protes. Setahun dua dulu, ada satu kumpulan pemuda organ parti politik juga tak henti-henti menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran wang simpanan hari tua ini.
Mujurlah, kini sudah jadi sebahagian parti pemerintah. Diam seketika kumpulan ini.
Persoalannya, adakah benar orang kita tak lagi menurut hukum delayed gratification ini, atau ia sememangnya sekadar permainan ahli politik sahaja.
Mahu menunjuk memang sekarang ini, semua orang Malaysia sedang sakit tenat, dan tak ada wang untuk makan?
Kesalahan kita, jikalau hendak dikatakan silap ialah kita telah membuka pintu pengeluaran KWSP pada masa musim Covid-19 yang lalu.
Akhirnya orang tak peduli lagi dengan segala isyarat bahawa wang KWSP itu wang di hari tua, bukan sekarang. Tapi, waktu itu kita banyak berkurung di rumah, tak boleh bergerak dan banyak aktiviti ekonomi terhenti juga.
Sekarang ini, benarkah orang tak boleh bekerja dan keluar mencari makan? Sesak sangatkah kita. Jika ada yang sanggup berjalan kaki jauh sekali, mengapa tidak pula sanggup untuk hal yang lain.
Seperti biasa begitulah, ada yang sedang baling batu sembunyi tangan.
Hal yang jarang kita ambil tahu bahawa purata hayat manusia di Malaysia, juga di seluruh dunia kini meningkat. Jangka hayat purata kebanyakan penduduk Malaysia kini sekitar 74 tahun.
Ada yang mungkin lebih lagi. Jika diandaikan kita akan terus hidup 20 tahun selepas pencen, adakah kita ada wang simpanan yang memadai.
Tapi anehnya, di Malaysia sahaja yang selalu dihebohkan dengan isu mengeluarkan wang simpanan pekerjaan ini.
Sebenarnya banyak negara lain dalam dunia ini, seperti kita juga ada KWSP walaupun namanya mungkin lain. Atau cara kita berfikir ini ada masalah? Manusia juga dikatakan mempunyai orientasi masa berbeza-beza.
Masyarakat seperti Jepun misalnya sangat mementingkan orientasi masa depan. Jadi, kerana bimbangkan dengan kehidupan pada masa hadapan, mereka sangat berhati-hati dengan tindakan hari ini.
Ada pula yang berorientasi dengan masa silam. Kumpulan masyarakat ini, seperti banyaknya di India agak santai. Di dunia ini, ada beberapa suku masyarakat yang berpegang dengan orientasi masa sekarang.
Suku piraha yang tinggal di hutan Amazon misalnya, mereka tidak berfikir masa hadapan atau silam. Yang penting ialah sekarang.
Begitu juga yang terjadi dengan beberapa suku di Papua New Guinea. Berbalik kepada isu KWSP, adakah kemungkinan kita ini atau sebahagiannya berorientasi masa sekarang, bukan ke depan.
Jadi kita sudah tak terdaya lagi untuk menunggu 10 atau 20 tahun lagi. Atau ada sekelompok ahli politik yang kita tahu hidupnya mewah yang sedang bermain dengan sentimen ini.
Mungkin mereka pun tak sabar juga untuk memimpin negeri? Ya, yang penting sekarang.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca