[EKSKLUSIF] Dijanjikan dengan gaji lumayan sekitar AS$3,000 (anggaran RM13,224) hingga AS$5,000 (anggaran RM22,040) untuk bekerja di luar negara menjerat warga tempatan yang akhirnya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.
Bukan itu sahaja, penipuan di media sosial itu menawarkan pakej penginapan hotel mewah dan tiket kapal terbang.
Bagi meyakinkan mangsa, sindiket akan memberi surat tawaran kontrak yang konon wujud untuk setiap tawaran pekerjaan dijanjikan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua ini seakan memberi gambaran bahawa ia perjanjian dengan tawaran kerja yang sah di luar negara.
Menurutnya, statistik sejak tahun 2021 hingga 24 Mac lalu melaporkan, terdapat 349 warga tempatan menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
"Lelaki adalah paling ramai iaitu 287 orang, manakala wanita seramai 62 orang.
"Golongan lelaki seolah-olah bersedia untuk mengambil risiko, berbanding kaum wanita yang lebih berhati-hati, berasa waswas serta takut diperdaya hingga berisiko untuk direkrut sebagai pelacur.
"Dengan istilah ‘kita try dahulu’, akhirnya mereka terjebak dan merana. Sebab itu juga ramai yang terkena dengan helah sindiket ini,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Katanya, golongan muda yang terdesak mendapat kerja dan wang juga antara punca mengapa mereka mudah tertipu dengan tawaran kerja itu.
"Asalnya, mangsa ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di syarikat pelaburan atau kasino berlesen, ada juga yang ditawarkan bekerja di tempat peranginan dengan gaji sekitar AS$3,000 hingga AS$5,000 sebulan.
"Terdapat juga beberapa jawatan lain yang ditawarkan seperti jurubahasa, pegawai pemasaran dan sebagainya.
"Apabila sampai ke negara destinasi, mereka dipaksa pula bekerja sebagai scammer iaitu menipu secara dalam talian untuk pelaburan yang tidak wujud dan Love Scam,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa ini sedang mencari pekerjaan.
"Mereka terjumpa dan terpengaruh dengan iklan pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lumayan menerusi laman web di portal pencarian kerja dan platform media sosial,” jelasnya.
Kata beliau, mangsa yang bersetuju kemudian diuruskan setiap proses penerbangan termasuk tiket dan penginapan hotel untuk ke negara terbabit seperti Laos, Thailand, Kemboja dan Myanmar.
Katanya, setibanya ke negara terbabit, mangsa akan dipandu arah individu (ahli sindiket) yang memegang plakad bagi menyambut ketibaannya.
"Tanpa disangka, ahli sindiket terbabit akan membawa mangsa ke lokasi jauh melalui kawasan tertentu sebelum ditempatkan di sebuah hostel seperti dorm yang tidak terurus, selain masalah sumber makanan. Bagi mengelak mangsa melarikan diri, pasport mereka akan dirampas,” ujarnya.
Kata Abd Jalil, lokasi penempatan jauh dari bandar itu sebenarnya merupakan pusat tahanan mangsa yang ditugaskan melakukan kerja penipuan atau scammer.Abd Jalil berkata, selain lokasi dikawal ketat, sindiket terbabit turut dilengkapi senjata api.
Kata beliau, mangsa akan dipaksa bekerja 12 jam sehari untuk membuat panggilan penipuan dengan sasaran ditetapkan adalah tinggi setiap hari.
"Jika sasaran penipuan tidak dicapai, mangsa akan didera secara fizikal, makanan dicatu dan dipaksa naik turun tangga.
"Tiada laporan mangsa wanita tempatan yang dirogol. Mereka juga didenda sama seperti mangsa lelaki,” katanya.
Ujarnya lagi, akibat tekanan kerja itu, mangsa tidak mampu bertahan lama dan akan melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk pulang ke Malaysia.
Ujar Abd Jalil, tidak dinafikan terdapat individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil kesempatan terhadap ahli keluarga untuk mendapatkan wang konon bagi tujuan membawa pulang mangsa.
"Ada segelintir daripada mereka ini kita kesan meminta wang ribuan ringgit konon hendak dibayar kepada pihak berkuasa negara terbabit, tiket penerbangan dan sebagainya.
"Walhal, sekiranya laporan itu disalur terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Kementerian Luar, ia tidak melibatkan pembayaran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada juga NGO yang ikhlas membantu tanpa sebarang kepentingan.
Dua sindiket tumpas
Dedah beliau, berdasarkan hasil risikan dan maklumat, pada Ogos tahun lalu, Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman bersama Task Force Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan Jabatan Tenaga Kerja menumpaskan dua sindiket penipuan kerja terhadap warga tempatan untuk bekerja di luar negara.
"Op Pintas itu menahan lapan warga tempatan berusia lingkungan 33 hingga 45 tahun termasuk tiga wanita. Suspek tersebut dipercayai berperanan sebagai ejen atau recuiter.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 12 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.
Bagi tempoh tahun 2021 sehingga 24 Mac lalu, sebanyak 273 laporan polis diterima berhubung jenayah penipuan tawaran pekerjaan membabitkan seramai 349 mangsa warganegara tempatan.
Kata beliau, daripada jumlah itu, seramai 230 orang berjaya diselamatkan terdiri daripada 184 lelaki dan 46 wanita manakala 119 orang lagi masih terkandas di luar negara.
"Pecahan 119 mangsa yang masih terkandas itu berada di Kemboja (28), Myanmar (45), Laos (18) dan lain-lain negara sebanyak 28 orang.
"Mereka yang masih terkandas dan gagal dibawa pulang disebabkan kita (PDRM) tidak mendapat maklumat tepat.
"Tanpa maklumat tepat terutama melibatkan kedudukan atau lokasi mangsa, ia menyukarkan PDRM untuk mendapat kerjasama daripada pihak polis di luar negara untuk menjejaki mereka yang terkandas.
"Lokasi adalah maklumat paling penting. Sekiranya waris mangsa mempunyai maklumat itu, ia akan memudahkan kita berurusan dengan polis di negara jiran dan kedutaan Malaysia di negara tersebut,” katanya.
Tambahnya, usaha membawa pulang mangsa giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa negara terbabit.
"Hasil kerjasama PDRM dan pihak berkuasa negara terbabit, dilihat banyak membantu usaha membawa pulang mangsa ke tanah air dengan selamat,” ujarnya.
Ujar Abd Jalil, rakyat Malaysia yang menerima tawaran kerja di luar negara hendaklah mengetahui dan mematuhi undang-undang bagi memastikan pekerjaan itu adalah sah.
"Orang ramai yang ditawarkan pekerjaan di luar negara juga dinasihatkan merujuk Kedutaan Malaysia atau Konsulat Malaysia bagi mendapatkan nasihat bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini,” tegasnya.
RINGKASAN STATISTIK KES DAN MODUS OPERANDI SINDIKET
Statistik Tahun 2021 Hingga 24 Mac 2023:
- 273 laporan polis
- 349 jumlah mangsa (287 lelaki, 62 wanita)
- 230 telah diselamatkan
- 119 masih terkandas
Jenis pekerjaan ditawarkan sindiket:
- Pegawai perkhidmatan pelanggan di syarikat pelaburan
- Kasino berlesen
- Tempat peranginan
- Jurubahasa
- Pegawai pemasaran
Modus operandi:Iklan tawaran kerja di media sosial
- Tawar gaji hingga AS$5,000 (RM22,040)
- Tawar tiket penerbangan, hotel
- Mangsa yang terjerat akan dirampas pasport
- Ditempatkan di hostel/dorm
- Diarah untuk bekerja sebagai scammer
Klik di sini untuk terus membaca