BAITULMAQDIS - Lebih 1,500 pelampau Yahudi menceroboh masuk kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) pada Isnin di bawah tindakan provokasi terbaharu yang dikhuatiri akan meningkatkan lagi ketegangan di Baitulmaqdis.
Jabatan Wakaf Islam dalam kenyataan memaklumkan polis Israel turut mengiringi 21 kumpulan berkenaan ketika situasi kembali tenang di masjid ketiga paling suci orang Islam tersebut menjelang 10 malam terakhir Ramadan.
Sebelum itu, rejim Zionis melarang individu berusia di bawah 50 tahun daripada memasuki al-Aqsa bagi mengelakkan sebarang insiden pertempuran.
Polis Israel kemudiannya dikerahkan berkawal di sekitar Haram al-Sharif sebelum memberikan akses kepada kesemua kumpulan tersebut yang masuk melalui Pintu Mughrabi di bahagian barat masjid berkenaan.
Mereka turut mengusir sejumlah jemaah yang berada di kawasan tersebut ketika pencerobohan itu berlaku.
Insiden itu berlaku beberapa hari selepas rejim Zionis melancarkan serangan ganas terhadap jemaah Palestin di al-Aqsa yang telah mengundang kecaman komuniti antarabangsa.
Hamas tak gentar
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar mahu memulihkan keselamatan di seluruh ‘barisan hadapan’ selepas Tel Aviv dihujani roket dari Lubnan dan Syria sebagai serangan balas terhadap tindakan provokatif melampau rejim Zionis terhadap Palestin.
Menerusi ucapannya, Netanyahu mengakui Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah menggugurkan 50 tan bom terhadap sasaran kepunyaan Hamas di Gaza.
Pemimpin Parti Likud itu juga menuding jari menyalahkan Hamas mendalangi serangan balas dari Lubnan yang menyasarkan Tel Aviv.
"Kami tidak akan membenarkan Hamas bertapak di Lubnan,” katanya selepas Israel turut mengebom infrastruktur milik gerakan itu di selatan Beirut.
Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan menegaskan amaran Netanyahu tidak sesekali akan menggugat keazaman penduduk Palestin untuk mempertahankan al-Aqsa daripada pencerobohan rejim Zionis.
"Ugutan Netanyahu tidak berupaya menakutkan atau melemahkan perjuangan kami,” kata jurucakapnya, Hazem Qassem sambil menambah, mereka akan terus mempertahankan identiti al-Aqsa dalam menghadapi perang agama yang dilancarkan musuh.
Menurutnya, pemimpin tersebut cuba memalsukan fakta, sedangkan pen-dudukan Israel adalah asas kepada konflik di seluruh wilayah itu.
"Rejim Tel Aviv yang sebenarnya mengamalkan keganasan secara sistematik dan berterusan. Penduduk Palestin pula bertindak balas demi untuk menuntut kebebasan dan kemerdekaan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, ancaman Netanyahu terhadap penduduk Palestin, Syria, Lubnan dan Iran membuktikan bahawa Israel adalah ancaman besar kepada seluruh rantau berkenaan serta kepentingan negara berkenaan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca