SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya boleh mengemukakan permohonan keduanya untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong selepas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman selama 3 tahun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya boleh mengemukakan permohonan keduanya untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong selepas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman selama 3 tahun atau selepas 23 Ogos 2025.

Ini kerana sehingga kini Istana Negara belum membuat kenyataan terbuka sama ada Yang di-Pertuan Agong bersetuju atau menolak permohonan pengampunan diraja kepada Najib yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Persekutuan, pada Ogos tahun lalu.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan dari sudut undang-undang, kaedah permohonan pengampunan diraja terbahagi kepada dua iaitu banduan yang memohon dan pemberi pengampunan iaitu Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, dari sudut banduan, permintaan atau permohonan pertama pengampunan diraja boleh dibuat pada bila-bila masa selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, tidak perlu menunggu atau menjalani hukuman tiga atau lima atau 10 tahun.

Petisyen 'Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja' di platform change.org.
Petisyen 'Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja' di platform change.org.

"Sebab itu apabila Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan dan beliau terus dibawa ke penjara pada 23 Ogos 2022, bekas Perdana Menteri itu membuat permohonan pengampunan pada 2 September 2022 atau sepuluh hari selepas beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan bukan 10 bulan atau 10 tahun kerana tiada halangan.

"Najib terpaksa mengemukakan permohonan pengampunan dalam tempoh 14 hari jika tidak kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan terpecat dengan sendiri kerana keputusan itu dibuat sebelum PRU15.

Haniff Khatri berkata demikian ketika mengulas tindakan Majlis Kerja Tertinggi UMNO memohon pertimbangan agar Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh kepada Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata, pertimbangan tersebut selaras dengan kuasa Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Rayuan tersebut dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

Berikutan itu, Haniff Khatri berkata, Najib terpaksa menunggu sehingga hukuman penjara mencapai tiga tahun atau selepas 23 Ogos 2025, barulah beliau boleh mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua.

"Jika permohonan pengampunan kali kedua ditolak atau tidak dilayan, maka beliau perlu menunggu dua tahun lagi untuk mengemukakan rayuan ketiga (23 Ogos 2027), keempat (23 Ogos 2029) dan kelima (23 Ogos 2031). Inilah proses permohonan pengampunan diraja oleh seseorang banduan," katanya.

Namun, Haniff Khatri menegaskan, Seri Paduka Baginda selaku pemberi pengampunan mempunyai kuasa mutlak sama ada mahu memberikan pengampunan diraja terhadap permohonan dikemukakan Najib atau tidak, tanpa patuhan tempoh masa.

Sebagai contoh, kata Haniff Khatri, dalam isu membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri sekarang), beliau terpaksa membuat permohonan tiga kali sebelum mendapatkan pengampunan diraja.

"Permohonan pertama dan kedua ditolak, malah yang ketiga, Yang di-Pertuan Agong sendiri memberi persetujuan supaya Anwar membuat permohonan pengampunan diraja selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

"Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil kira keputusan mahkamah sebelum ini, terpulang kepada budi bicara untuk memberikan pengampunan diraja pada bila-bila masa dirasakan perlu," katanya.

Dalam pada itu, Haniff Khatri mengesahkan Anwar menjadi sebahagian Ahli Panel Lembaga Pengampunan Diraja kerana Ahli Parlimen Tambun itu memangku tugas selaku Menteri Wilayah Persekutuan yang belum diisi mana-mana ahli politik.

Haniff Khatri juga menjelaskan bahawa pengampunan diraja adalah kuasa budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agung dan tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak termasuk parti politik mahu pun Perdana Menteri sendiri.

Ini bermakna, kata Haniff Khatri, jika Yang di-Pertuan Agung mahu memberikan pengampunan diraja kepada Najib, maka ia tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

"Kalau Yang di-Pertuan Agung enggan memberikan pengampunan sehingga kiamat pun tiada masalah. Jadi jika Yang di-Pertuan Agung berpandangan bahawa Najib pernah menjadi Perdana Menteri, banyak benda baik dilakukannya dan berjasa kepada negara tetapi dalam masa sama, didapati bersalah oleh mahkamah.

"Yang di-Pertuan Agung juga tidak perlu membuat keputusan berhubung Najib didapati bersalah atau tidak kerana ia bukan tugasnya. Tugas Yang di-Pertuan Agung adalah sama ada mahu memberikan pengampunan atau tidak biarpun baginda menerima permohonan sokongan dari UMNO dan petisyen maya dari rakyat supaya Najib tidak dibebaskan begitu sahaja," katanya.

INFO:

Kronologi kes Najib:

4 Julai 2018

Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 Ogos 2018

Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

13 Ogos 2018

Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak untuk mengeluarkan perintah melarang media dan orang awam daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kesnya.

18 Dis 2018

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pasukan pendakwaan dan permohonannya untuk mendapatkan dokumen berhubung kes itu.

15 Jan 2019

Najib menerusi firma guamannya Messrs Shafee Co telah menulis surat bertarikh 15 Jan kepada Mahkamah Tinggi memohon agar perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Feb dilapangkan sementara menunggu tiga rayuan interlokutorinya di Mahkamah Rayuan.

21 Mac 2019

Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan sementara perbicaraan Najib sehingga Mahkamah Persekutuan mendengar dan memutuskan tiga rayuan interlokutori yang sebelum itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

21 Mac 2019

Mahkamah Rayuan menolak tiga rayuan Najib iaitu rayuannya untuk mendapatkan perintah melarang media dan orang awam membincangkan merit kes jenayahnya; akses kepada dokumen penyiasatan termasuk kenyataan saksi pada peringkat praperbicaraan; dan mengenai penarikan balik sijil perpindahan pertuduhannya oleh Peguam Negara.

3 April 2019

Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

7 Ogos, 2019

Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 saksi.

11 Nov 2019

Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

3 Dis 2019

Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

11 Mac 2020

Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

28 Julai 2020

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

19 Okt 2020

Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

5 April 2021

Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

18 Mei 2021

Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

23 Nov 2021

Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.

24 Nov 2021

Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

2 Dis 2021

Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

3 Dis 2021

Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

7 Dis 2021

Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Dis berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

8 Dis 2021

Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

7 Jan 2022

Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.

2 Mac 2022

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

16 Mac 2022

Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC.

25 April 2022

Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC International.

29 April 2022

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Funds.

31 Mei 2022

Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

7 Jun 2022

Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International.

13 Jun 2022

Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

16 Jun 2022

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.

27 Jun 2022

Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.

21 Julai 2022

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.

15 Ogos 2022

Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

16 Ogos 2022

Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.

16 Ogos 2022

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

18 Ogos 2022

Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.

18 Ogos 2022

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib Tun Razak dalam rayuan akhir.

19 Ogos 2022

Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan.

23 Ogos, 2022

Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan dana SRC International.

23 Ogos 2022

Muhammad Shafee gagal menangguhkan hujahan bagi prosiding agar Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan Najib.

23 Ogos 2022

Najib diiring pegawai penjara menaiki kenderaan SUV menuju ke Penjara Kajang bagi menjalani hari pertama hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Klik di sini untuk terus membaca