SHAH ALAM - Berlaku kenaikan harga bagi daging import menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya sekitar Shah Alam mendapati, meskipun harga yang ditawarkan di setiap lokasi agak sedikit berbeza, namun anggaran peningkatan adalah antara RM1 hingga RM4 per kilogram.
Menurut seorang suri rumah, Khadijah Abdullah, 52, dia mula sedar akan perubahan harga daging import di pasaran sejak beberapa minggu sebelum Ramadan.
"Memang setiap bulan saya sekeluarga akan membeli barangan basah termasuk daging import di pasar raya yang sama dan sejak beberapa minggu ini, saya perasan daging import sudah naik (harga).
"Bukan hanya di pasar raya ini, beberapa tempat lain pun sama juga. Bezanya naik banyak atau sikit sahaja,” katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan berhubung kenaikan melampau harga daging import di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, desas-desus di media sosial mengenai kenaikan harga itu sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk membuktikan kegagalan kerajaan.
"Pergilah ke mana-mana kedai yang menjual daging import kerbau ini, harga pada paras RM18 hingga RM20 sekilogram, ada yang RM22 mengikut gred daging itu.
"Bagi daging lembu tempatan, itu harga yang sememangnya tidak kita kawal tapi untuk mengatakan daging import yang dikawal oleh kerajaan ini naik melampau, itu tidak benar sama sekali," kata Salahuddin.
Harap pihak berkuasa turun padang
Sementara itu, bagi pesara kerajaan yang hanya ingin dikenali sebagai Zie, 66, dia mengakui terkejut melihat harga daging import di pasar raya yang sering dikunjunginya itu agak tinggi berbanding kebiasaannya.
"Biasa saya beli daging import kerbau dari India bahagian striploin hanya sekitar RM8 bagi 500 gram, tetapi hari ini (Selasa) dah naik jadi RM13.20 (530 gram).
"Daging tempatan memang kita tahu mahal, jadi saya beli yang import, tetapi tengok sekarang pun makin naik juga harganya. Tidak tahu kenapa, mungkin juga disebabkan nak raya,” ujarnya.
Ditanya sama ada dia akan membuat aduan kepada KPDN berkenaan perkara itu, Zie hanya berharap pihak berkuasa akan turun padang dengan lebih kerap bagi mengawal kenaikan harga barangan basah yang melampau.
Sotong juga naik harga
Dalam pada itu, Asmizah Azmeer, 49, berkata, dia sekeluarga memang akan membeli daging import di pasar raya yang sama hampir setiap bulan, namun agak kecewa melihat kenaikan harga ditawarkan baru-baru ini.
Pekerja swasta itu juga menyatakan kebimbangannya jika harga daging berkenaan akan meningkat secara mendadak dalam tempoh terdekat ini.
"Contohnya, daging import cube roll saya beli beberapa minggu lalu dijual pada harga RM21.90 sekilogram, tetapi sekarang di pasar raya ini, sudah naik menjadi lebih RM24.
"Bukan itu sahaja, barang basah lain seperti sotong juga sudah naik mendadak, sangat berbeza berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Sazali Mad Deros, 56, turut berpendapat kenaikan harga daging import berlaku disebabkan permintaan yang tinggi daripada pengguna terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.
"Tetapi secara peribadi, saya dan isteri akan sentiasa membuat perbandingan harga di setiap kedai dan pasar raya sebelum membeli.
"Kaedah ini lebih membantu kami untuk mendapatkan daging import yang bukan sahaja murah, tetapi juga segar,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca