SHAH ALAM - Tidak menafikan Malaysia berisiko merasai tempias gempa bumi rentetan beberapa siri gempa kuat yang melanda dunia terutamanya melibatkan negara serantau, pakar binaan menyarankan sebarang projek pembinaan bangunan baharu sebaiknya mewajibkan ia direka bentuk sebagai bangunan antigempa.
Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina UiTM Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, walaupun secara geografi Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dan dilihat masih selamat, namun risiko mengalami kesan gempa dari negara jiran serta gempa tempatan dari masa ke masa tetap ada.
"Keperluan memperbanyak bangunan antigempa terutama melibatkan bangunan tinggi adalah wajar bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada Sinar Premium.
Sinar Harian pada 8 April lalu secara eksklusif melaporkan pakar gempa tempatan tidak menolak kemungkinan negara berisiko mengalami gempa bumi besar sehingga 6 magnitud di Semenanjung dan 7 magnitud di Sabah.
Pada masa sama, pakar turut mengutarakan beberapa cadangan sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana berkenaan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula memberi jaminan, pihaknya sentiasa memantau sebarang aktiviti gempa bumi di Malaysia dan akan memaklumkan kepada pihak awam mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
"Pembinaan bangunan antigempa ini akan meningkatkan kos dalam sesebuah projek kerana bahan digunakan haruslah berkualiti dan sudah semestinya menelan belanja yang banyak.
"Kebanyakan bangunan yang dibina sejak 20 tahun kebelaka-ngan ini di kawasan berisiko menggunakan bahan yang boleh menyerap impak gegaran kecil daripada gempa bumi,” jelasnya.
Tambahnya, setakat hari ini, belum ada bangunan direka khusus dan digelar bangunan antigempa, namun pembinaan projek bangunan tinggi dan pencakar langit terutamanya memang sudah mengambil kira faktor kesan gegaran gempa bumi tetapi hanya pada skala kecil.
"Sekiranya berlaku gempa bumi dengan kekuatan antara 5.0 hingga 6.0 skala Richter pasti akan ada kesan teruk.
"Buktinya, gempa bumi terkuat pernah melanda negara berukuran 6 magnitud di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015 bukan sahaja meragut 18 nyawa malah mengakibatkan banyak bangunan rosak teruk,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca