"SEKSA bos... kampung saya nun dekat sempadan Siam, kampung isteri pula di hujung negeri Johor.”
Tergerak di hati saya untuk mencelah dan bertanya, alang-alang beristerikan orang jauh kenapa tidak cari yang dari Sao Paulo atau Mogadishu. Sudah tentu tidak perlu bersusah payah mencari alasan kalau tak boleh balik beraya.
"Bos lainlah, jarak Bangi dengan Sungai Besar hanya 150km. Tuang minyak RM20 pun dah sampai. Saya ni minyak dan tol sahaja pun paling kurang kena ada RM300 untuk pergi dan balik. Itu pun kalau di kampung nanti duduk bertapa di rumah. Kalau diajak ke sana ke mari alamat terbanglah lagi seratus dua.”
Di atas itu adalah adegan perbualan saya dengan seorang kawan setahun sebelum kehadiran Covid-19. Kebetulan minggu lepas saya berbual dengan seorang kawan lain yang kandungan dialognya lebih kurang sama. Bezanya cuma pada tempat dan bajet untuk petrol.
Dia orang Kuantan, isterinya orang Melaka. Bajet petrolnya RM400 walaupun jarak perjalanannya lebih dekat daripada kawan yang mula-mula tadi dan jenis kenderaan mereka pula sama.
Saya tidak mahu bertanya tentang hal itu. Saya faham, harga ayam dan telur tiga tahun dahulu tidak sama dengan harga sekarang. Dalam tempoh itu harga telur telah naik secara puratanya tiga sen.
Sebab itu harga martabak di bazar Ramadan telah naik seringgit kerana sebiji murtabak memerlukan beratus-ratus biji telur untuk membuatnya. #dush!
Berbalik pada keluh kesah kawan saya tentang kos untuk balik beraya di kampung. Ia sebenarnya umpama siaran ulangan yang dapat didengar setiap kali menjelang Aidilfitri. Yang mengeluh itu mungkin orang yang berbeza, tetapi tidak mustahil juga orang yang sama.
Saya bernasib baik kerana jarak kampung halaman dengan tempat mencari rezeki tidaklah begitu jauh. Seperti kata kawan yang mula-mula tadi, ‘tuang minyak RM20 pun dah sampai’. Kalau hendak lebih murah naik kapcai. Tetapi saya juga pernah ada pengalaman berada jauh dari kampung sewaktu menjadi pelajar sebuah politeknik di Kelantan.
Saya pernah merasa bagaimana seawal hari pertama Ramadan hati telah mula dijentik-jentik oleh perasaan tidak sabar untuk balik beraya di kampung. Terbayang takbir raya sahaja terasa roh sudah pun berada di Sungai Panjang walaupun jasad baru lepas menyeberang Sungai Golok.
Tetapi ketika itu saya masih bujang. Masih berstatus pelajar. Untuk balik ke kampung saya cuma perlukan wang untuk tiket. Ada baki seringgit dua untuk beli air kotak untuk dicuri-curi sedut semasa dalam perjalanan pun sudah cukup.
Saya tidak perlu singgah di kafe atau bistro untuk sesi bergambar bagi dimuatnaik di media sosial yang sememangnya belum ada pada masa itu. Di kampung pula saya tidak perlu memberikan angpau kepada sesiapa. Sebaliknya, sekali-sekala saya yang menjadi penerima.
Tidak kiralah sama ada mereka itu bekerja di Kuala Lumpur kampungnya di Terengganu atau bekerja di Johor Bahru kampungnya di Pulau Pinang atau yang bekerja di Perlis kampungnya di Melaka. Lebih teruk lagi kalau mereka bekerja di Sabah atau Sarawak dan kampungnya di Semenanjung, atau sebaliknya.
Akan ada yang berkata, kalau tahu tidak mampu kenapa hendak balik juga? Kalau tidak balik beraya di kampung pun bukannya mati, bukan juga akan lumpuh atau sakit buah pinggang.
Bercakap memanglah mudah. Tetapi kalau kena batang hidung sendiri dan kebetulan terdengar lagu ‘Musafir Di Aidilfitri’, ‘Dendang Perantau’ atau ‘Balik Kampung’, barulah tahu langit tinggi atau rendah. Waktu itu jangan kata meminjam daripada kawan, serah tengkuk pada ah long pun mungkin sanggup.
Begitulah kuatnya gamitan kampung, yang sebenarnya merupakan ajakan untuk kita mengutip kembali pengalaman silam. Ia menyebabkan beraya di mana pun tidak akan terasa sama seperti beraya di kampung sendiri.
Tetapi semua itu memerlukan kos kerana balik beraya di kampung bukanlah semata-mata tentang tiket (bagi yang menggunakan kenderaan awam), petrol, tol, servis kenderaan, duit jajan di R & R dan sebagainya.
Ia juga adalah tentang buah tangan untuk keluarga, duit raya untuk yang tua, angpau bagi yang budak, malah dalam kebanyakan kes turut melibatkan sewa bilik hotel atau rumah inap.
Semua itu perlukan duit dan ia tidak boleh dibayar secara beransur dengan hanya menunjukkan akaun KWSP.#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca