KITA sudah memasuki 10 hari terakhir Ramadan. Kian ramai yang mula mengandaikan ia sebagai fasa untuk pecutan terakhir. Maaf cakap, pecutan itu bermaksud mengubah had laju ke tahap yang pantas.
Saya berpendapat, memecut itu sebagai tindakan yang menjadikan kita berebut-rebut yang berakhir dengan kegopohan dan kecuaian. Memaknakan 10 hari terakhir Ramadan sebagai fasa memecut itu kurang tepat.
Apa jua ibadah khusus tidak molek dilaksanakan laju-laju untuk menjaga tertib dan khusyuknya. Berpuasa Ramadan itu sebulan lamanya. Malah, ia merupakan satu-satunya ibadah yang paling panjang. Ia bagai sebuah maraton kerana tempohnya yang lama. Oleh itu, strategi mengharunginya harus dirancang seperti juga sebuah maraton.
Maraton yang mengambil masa yang panjang itu perlukan perancangan, kadar kelajuan pelaksanaan dan juga ketahanan. Untuk puasa Ramadan sebagai ibadah yang memakan masa yang panjang, persediaan awalnya ialah dengan melakukan puasa sunat Rejab dan Syaaban sebagai latihan untuk mental dan stamina. Apakah kita telah bersedia untuk Ramadan, sebelum bulan Ramadan?
Jika pelari maraton memeriksa kesihatan sebelum berlari, orang yang ingin berpuasa khususnya mereka yang berpenyakit seperti diabetes dan gastrik perlu bersedia agar puasa mereka tidak terhalang dengan tekanan darah rendah atau gastritis. Berpuasa sunat sebelum Ramadan dapat melatih perut untuk bersedia menerima kekurangan nutrisi khususnya air yang sedikit untuk tubuh.
Seperti pelari maraton yang mengawal kelajuan larian, kadar pergerakan orang yang berpuasa juga perlu dikawal. Tidak boleh berebut-rebut menjalankan aktiviti harian kerana ia akan meningkatkan keperluan tenaga yang berakhir dengan kelesuan. 10 hari Ramadan itu harus ditempuhi dengan tempo yang sederhana.
Apabila dua pertiga Ramadan telah berlalu, peluang untuk menamatkan 10 akhir Ramadan akan menjadi lebih mudah seandainya ibadah puasa 20 hari atau tiga minggu sebelumnya itu dapat dilakukan dengan konsisten. Memang sukar seandainya kita hendak ‘pulun habis’ secara tiba-tiba pada 10 akhir Ramadan sedangkan kita lebih banyak berpuas daripada berpuasa pada awal Ramadan.
Hampir keseluruhan ibadah puasa itu dilakukan untuk diri sendiri. Tetapi, ia menjadi lebih sempurna apabila kita dapat melakukan sesuatu untuk orang lain seperti berinfaq dan bersedekah.
Bersyukurlah bagi kita yang tinggal di negara yang aman, jauh dari peperangan atau bencana alam. Tiada sesiapa pun akan melarang apatah lagi menghalang apa yang kita ingin lakukan di bulan yang mulia ini.
Kita bebas beriktiqaf di masjid, bersolat sunat di sepanjang masa di situ dan meninggalkan sembang-sembang di anjung masjid. Kita bebas membuka al-Quran dan tekun membacanya walaupun beberapa kali sehari.
Kita boleh tinggalkan geng gosip dan tiada sesiapa pun akan mengata kita menunjuk alim pada bulan ini. Begitu juga, kita boleh belanja dan sponsor kawan-kawan atas nama sedekah sebanyak yang kita inginkan.
Inilah bulan di mana kita boleh berbuat baik tanpa berselindung. Orang lain pun sibuk memperbanyakkan amal masing-masing. Yang tidak dapat melakukan pula akan menghormati dan faham jika kita ingin bersendirian.
Jadi, bila tiada sesiapa pun yang menghalang, memperli atau memperlekeh usaha kita untuk mengumpul pahala 10 hari akhir Ramadan, apakah kita telah membuat keputusan sama ada menjadikan Ramadan ini Ramadan yang terbaik kita? Jika belum, tiada orang lain yang boleh kita sandarkan kesalahan.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca