BEIJING - China telah menamatkan latihan ketenteraan selama tiga hari di sekitar Taiwan yang dianggap provokasi terbesar sejak Ogos bagi 'menutup' pulau yang diperintah sendiri itu.
Latihan yang digelar Joint Sword membabitkan puluhan jet pejuang dan beberapa kapal pengangkut pesawat dilakukan sebagai menunjukkan keupayaan sebenar China untuk menawan Taiwan secara paksa jika perlu.
Apakah yang kita pelajari mengenai keupayaan China?
China mengerahkan penggunaan senjata secara besar-besaran daripada peluru berpandu antikapal darat yang canggih hingga jet pejuang, pengebom dan kapal pengangkut pesawat.
Pada Isnin lalu, Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, pihaknya mengesan 12 kapal perang China dan 91 pesawat di sekitar pulau itu di mana 54 daripadanya melintasi Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ).
Bekas perunding yang pernah berkhidmat dengan Majlis Negara China, Shi Yinhong berkata, pencerobohan besar-besaran itu telah menunjukkan kemajuan persediaan China untuk menyerang Taiwan.
"Keupayaan tempur Tentera Pembebasan China (PLA) sentiasa dipertingkatkan terutamanya tindak balas pantas," kata penganalisis dan bekas pegawai tentera China, Song Zhongping memberitahu AFP.
China mengulangi bahawa mereka boleh menawan Taiwan dengan cepat jika pihak antarabangsa kurang campur tangan untuk membantu pulau tersebut.
Mengapa China semakin kuat bertindak balas?
Isu yang didorong pertemuan antara Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin MacCarthy di California dan pendahulunya Nancy Pelosi yang melawat pulau tersebut pada Ogos tahun lalu.
Kemudian, Beijing mengadakan latihan ketenteraan secara langsung hanya 19 kilometer (km) dari pantai Taiwan yang dianggap pertunjukan kekuatan terbesar pernah berlaku di sekitar pulau itu.
"Berbanding Ogos lalu, rancangan PLA semakin dipertingkatkan dan terdapat pembaharuan rancangan baharu," kata Zhongping.
Penganalisis tentera yang berpangkalan di Hong Kong, Leung Kwok Leung berkata, penggunaan kapal pengangkut pesawat, Shandong adalah bertujuan menunjukkan kekuatan perang sebenar China.
"Niatnya sangat jelas untuk menguji keupayaan pembentukan pertempuran dalam persekitaran yang praktikal," katanya.
Apakah yang kita pelajari mengenai taktik China?
Seperti mana latihan ketenteraan yang berlangsung pada Ogos lalu, latihan ini menumpukan kepada sekatan terhadap Taiwan yang bertujuan memotong laluan bekalannya dan digabungkan dengan serangan untuk memusnahkan pertahanan pulau itu.
Dalam latihan terbaharu, pesawat pejuang telah mempraktikkan taktik 'menutup' Taiwan manakala saluran media propaganda mereka menampilkan grafik menunjukkan 'serangan simulasi' terhadap Taiwan.
Namun, sesetengah penganalisis masih ragu-ragu mengenai keberkesanan teknik tersebut.
"Apa yang dilakukan dalam simulasi itu mungkin tidak dilaksanakan dalam realiti ketika pertempuran berlaku," kata Steve Tsang danri Universiti SOAS di London.
Tambahnya, tentera Cina memerlukan kira-kira 10 tahun untuk membina keupayaan mereka termasuk latihan gabungan pertempuran senjata.
"Rakyat Taiwan tidak akan berdiam diri dalam dekad yang akan datang untuk bertindak balas," katanya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca