SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berharap pengumuman berita baik yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berkaitan pemberian tol percuma sempena Aidilfitri.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin berkata, pengecualian tol itu secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat ketika ini.
"Kita bersetuju jika Perdana Menteri dapat berikan tol percuma kepada rakyat yang ingin pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing.
"Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan tekanan kewangan rakyat semasa krisis ekonomi tidak menentu ini.
"Sekiranya kerajaan mempunyai kemampuan (kewangan) mungkin boleh menurunkan harga petrol semasa musim perayaan sekali gus memberi khabar gembira kepada perantau terutama golongan B40 dapat pulang ke kampung halaman yang jauh,” katanya.
Pada Selasa, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melalui Twitternya memaklumkan Anwar dijangka mengumumkan satu lagi berita baik menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sementara itu, Nur Asyikin berkata, pihaknya juga berharap agar kenderaan berat tidak dibenarkan masuk ke lebuh raya mahupun jalan-jalan negeri pada waktu puncak bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Ujarnya, kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat biasanya akan membabitkan lebih daripada satu kenderaan ringan.
"Kemalangan jalan raya seperti ini akan menambahkan lagi tekanan kewangan dan juga tekanan perasaan kepada mangsa terlibat malah akan memburukkan lagi kesesakan di jalan raya,” jelasnya.
Dalam pada itu, orang ramai juga mengharapkan kerajaan dapat memberikan tol percuma menjelang Syawal nanti.
Muhammad Arif Zihni Abdul Malik, 24, berkata, sekiranya inisiatif tersebut berjaya dilaksanakan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan orang ramai.
"Untuk beberapa hari, kerajaan berilah sedikit kelonggaran dengan pemberian tol percuma. Bukan semua orang berpeluang balik ke kampung,” kata anak kelahiran Kulim, Kedah ini.
Turut sependapat Siti Najwa Merzuki, 32, yang berpandangan kos tol untuk pulang ke kampung amat memberi impak terhadap kewangan.
"Jika saya mahu balik ke kampung di Alor Setar, saya memerlukan lebih daripada RM40 untuk kos tol. Itu baru untuk perjalanan sehala sahaja,” ujar kakitangan swasta itu.
Sementara itu, mahasiswa Universiti Putra Malaysia, Siti Nor Batrisyia Abdullah, 20, berkata, sekiranya kerajaan tidak dapat memberikan tol percuma, beberapa inisiatif lain seperti diskaun tol mungkin boleh dipertimbangkan.
"Kami amat gembira kalau kerajaan dapat mempertimbangkannya,” jelas anak kelahiran Temerloh, Pahang itu.
Dalam pada itu, Muhammad Anas Mat Zin, 24, dari Besut, Terengganu berpandangan, tidak salah kerajaan membawa konsep Rahmah ke dalam konteks pemberian tol percuma kepada rakyat dalam beberapa hari sempena Aidilfitri ini.
Klik di sini untuk terus membaca