SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkemas dan menaik taraf peralatan serta aset yang digunakan agensi penguat kuasa secara spesifik bagi mengelakkan berulangnya kes tahanan lari seperti yang berlaku di Kulai, Johor pada Selasa. Penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkemas dan menaik taraf peralatan serta aset yang digunakan agensi penguat kuasa secara spesifik bagi mengelakkan berulangnya kes tahanan lari seperti yang berlaku di Kulai, Johor pada Selasa.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, ini kerana berdasarkan maklumat berkaitan kes itu, didapati ia bukan berpunca daripada kelemahan prosedur operasi standard (SOP) dalam membawa dan mengawal tahanan ketika perjalanan pergi dan pulang daripada mahkamah.

Katanya, dalam kes berkenaan dilaporkan bahawa dua tahanan berkenaan melorotkan tangan keluar daripada gari yang berantai sebelum membuka pintu belakang van, kemudian melarikan diri masuk ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran jalan raya.

"Jadi faktor kelemahan peralatan dan aset yang digunakan perlu diteliti. Gari yang digunakan kadang-kadang sudah lama dan sudah jadi lusuh. Oleh itu hanya dengan sedikit pengetahuan, seseorang boleh memanipulasi sehingga dapat menanggalkan gari atau melepaskan tangan daripada gari.

"Selain itu, kelemahan pada kenderaan yang digunakan termasuk di bahagian pintu dan tingkapnya juga perlu dilihat semula. Adakah kenderaan itu memang direka khas untuk bawa tahanan atau banduan, adakah ia ada palang pada pintu dan tingkap?” katanya.

Kenderaan agensi penguat kuasa seperti imigresen juga perlu diteliti sama ada ia sesuai untuk membawa tahanan.
Kenderaan agensi penguat kuasa seperti imigresen juga perlu diteliti sama ada ia sesuai untuk membawa tahanan.

Kamal Affandi menegaskan, kelemahan dan kelompangan yang dikenal pasti perlu diperbaiki, ditambah baik dan diperkemaskan supaya kes sedemikian tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

"Kerajaan wajar meluluskan permohonan untuk menaik taraf aset dan peralatan oleh agensi penguat kuasa seperti polis dan Maritim Malaysia kerana mereka tahu apa aset dan peralatan yang terbaik untuk kegunaan mereka.

"Tidak adil kalau kita kata kes tahanan lolos ini sebab penguat kuasa cuai dan mereka tak buat kerja kerana kita juga harus menilai kelemahan-kelemahan lain yang wujud,” tegasnya.

Kronologi kes tahanan lolos

28 November 2019

Seorang tahanan meloloskan diri dari Lokap Berpusat Indera Mahkota, Kuantan, Pahang ketika sedang menukar pakaiannya.

11 Oktober 2020

Seorang suspek kes pengubahan wang haram telah melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

19 Mac 2021

Seorang lelaki tempatan melarikan diri dari Pusat Tahanan dan Penerimaan (PTP) di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau, Johor.

27 Mac 2021

Seorang banduan lelaki melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

1 Julai 2021

Empat orang tahanan melarikan diri dari Penjara Puncak Borneo, Sarawak melalui tingkap tandas ruang tamu sebelum menuju ke pagar utama.

10 April 2022

Enam banduan melarikan diri dari Penjara Jelebu, Negeri Sembilan.

24 Januari 2023

Seorang banduan yang terlibat dengan kes samun melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Melaka.

11 April 2023

Dua orang tahanan warganegara Indonesia melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Satelit Ledang, Johor.

Klik di sini untuk terus membaca