KHABAR angin kuat bertiup bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin akan mendapat pengampunan dengan UMNO sedang berusaha membuat permohonan ke arah itu.
Namun, langkah UMNO itu akan menghadapi dua halangan dari sisi undang-undang.Yang lebih penting ialah impak politiknya – UMNO mungkin akan runtuh jika Najib bebas, bermula dengan gelombang hijau yang akan menghanyutkannya dalam pilihan raya enam negeri pada Julai atau Ogos ini.
Halangan pertama ialah Peraturan 113 dalam Peraturan-peraturan Penjara 2000 yang menetapkan bahawa hanya banduan sendiri yang boleh memohon pengampunan, seperti yang dijelaskan oleh wartawan-peguam, R Nadeswaran.
Maka, rancangan UMNO untuk mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tiada kesan dari sisi undang-undang, sekadar satu gimik politik untuk Najib dan penyokong-penyokongnya.
Halangan ini boleh diatasi dengan senangnya jika Najib sendiri yang memohon pengampunan. Gimik UMNO ini mungkin adalah untuk menguji suhu air. Surat pemohonan akan datang daripada Penjara Kajang kalau tiada bantahan kuat rakyat.
Halangan kedua ialah empat kes Najib yang masih dalam perbicaraan. Jika Najib diberi ampun untuk kes SRC, apakah beliau akan masuk penjara jika disabit bersalah dan memohon ampun sekali lagi, sehingga keempat-empat kesnya diselesaikan?
Sebenarnya, jika Najib benar-benar inginkan pembebasan melalui pengampunan tanpa merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan proses pengampunan yang berakhir di tangan YDPA, maka Najib harus berunding dengan Pendakwa Raya untuk menyelesaikan keempat-empat kesnya secepat mungkin, dan menerima hukuman lebih rendah dengan pengakuan bersalah.
Sebaliknya jika Najib tidak berniat mengaku bersalah, maka pengampunan untuk kes SRC adalah isyarat tangan kepada mahkamah dan rakyat: "Saya akan bebas sekalipun disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara, kerana undang-undang adalah untuk orang kebanyakan, bukan untuk ahli kayangan seperti saya yang memang pun berpangkat ‘Orang Kaya’.”
Apakah jangkaan tindak balas daripada rakyat dengan pengampunan sedemikian? Menerima hakikat Malaysia ini ‘Darul Dua Darjat’?
Sudah pastinya akan berlaku pelbagai demonstrasi dan keingkaran awam (civil disobedience), disusuli dengan kekalahan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri, pilihanraya kecil dan pilihan raya umum, bergantung kepada bilanya berlaku pengampunan itu.
Dan sumpahan pembangkang bahawa PMX (Perdana Menteri Ke-10) akan menjadi XPM (Mantan Perdana Menteri) mungkin akan menjadi realiti.
UMNO pula, parti tertua dan pernah terulung di Malaysia, akan dikebumikan kerana manjakan pemimpinnya.
Pemimpin manja yang menganggap hukuman penjara 12 tahun untuk kesalahan mencuri dana rakyat sebanyak RM42 juta itu ‘kezaliman’ sedangkan orang kebanyakan perlu terima saja pemenjaraan 14 bulan kerana mencuri setin Milo bernilai RM73.
Hujah bahawa Najib popular di kalangan orang Melayu kampung dan pembebasannya akan membawa undi kepada UMNO adalah hujah ‘syok sendiri’.
Fenomena ‘Bossku’ cumalah simpati orang Melayu kepada Najib yang berjaya melabelkan semula dirinya sebagai ‘underdog’.
Populariti Bossku sudahpun hilang selepas Langkah Sheraton. Terbukti dengan ketiadaan protes atas pemenjaraan Najib pada Ogos 2022 dan seterusnya kekalahan UMNO dalam PRU15 pada November 2022.
Tanpa pengampunan Najib, penyokong Najib terpaksa juga menyokong UMNO. Tak akan mereka nak sokong Muhyiddin.
Tetapi dengan pengampunan Najib, UMNO dan PH akan hilang kedua-dua pengundi Melayu atas pagar dan pengundi bukan Melayu yang malas mengundi. Fikirkanlah.
Haiwan liar jangan diternak
pokok rapuh jangan dipanjat
Rakyat jangan dianggap jinak
Pantang hidup dalam dua darjat
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca