GOMBAK - Karakter Al-Abrar yang ditekankan dalam surah Al-Insan perlu dibudayakan dalam kehidupan masyarakat bagi membentuk perilaku dan akhlak yang lebih baik.
Pendakwah, Mohamad Zarifi Mohamad Daud berkata, pemilihan surah tersebut disifatkan bertepatan bagi mendidik orang ramai untuk membentuk keperibadian mulia.
"Perkara ini amat penting untuk kita sebarkan kerana senario yang berlaku pada masa ini sekali gus memberi kebimbangan bahawa sifat kemanusiaan semakin terhakis dan hilang daripada jiwa insan.
"Jadi daripada surah Al-Insan ini ada beberapa perkara penting yang kita mesti ambil pedoman, antaranya generasi Al-Abrar yang disebutkan dalam surah tersebut.
"Golongan Al-Abrar ini sentiasa melakukan kebajikan dan kebaikan terhadap ALLAH SWT dan orang sekeliling,” katanya ketika ditemui selepas program World #QuranHour 2023 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Khamis.
Tambah Mohamad Zarifi, pendekatan golongan itu dalam menunaikan hak ALLAH seperti bersedekah, memberi makan kepada golongan fakir, anak-anak yatim dan orang yang ditawan patut dicontohi.
Ujarnya, akhlak berkenaan mesti disebarkan secara meluas termasuk membudayakan dalam kehidupan masyarakat supaya dapat membuang perasaan sombong dan hasad dengki, sebaliknya memupuk semangat kasih sayang serta rahmah.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail pula berkata, dengan lebih 5,000 orang yang menyertai program ini, secara tidak langsung dapat menyampaikan makna surah Al-Insan khususnya dalam menyedarkan semua pihak mengenai sifat kemanusiaan.
Ujarnya lagi, program berkenaan juga mempunyai keistimewaan di mana terdapat qari dan pentadabbur bagi mengalunkan dan menterjemahkan dengan lebih terperinci mengenai surah tersebut selain mendapat sokongan daripada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
"Alhamdulillah bersyukur kepada ALLAH SWT dan saya amat gembira dapat berkongsi (ilmu) kepada semua dalam memahami surah Al-Insan.
"Surah ini mendidik setiap daripada kita untuk sedar apa maksud manusia baik sebenar-sebenarnya dalam surah yang ke-76 itu,” katanya.
Sementara itu, Jurulatih Utama Tadabbur Centre, Muhammad Syaari Abdul Rahman menyarankan kepada individu yang menjadi pentadabbur untuk memahami makna sebenar sesuatu surah sehingga memberi kesan kepada diri sebelum menyampaikan kepada orang lain.
Katanya, cara itu sudah menjadi satu amalan yang beliau amalkan supaya penyampaian kepada orang ramai dapat memberi impak positif kepada mereka.
Klik di sini untuk terus membaca