MENGHARUNGI suku kedua tahun 2023, majoriti pakar ekonomi dunia hangat memperkatakan tentang kebangkitan mata wang Yuan milik kerajaan China atau renminbi sebagai opsyen menggantikan dolar Amerika Syarikat (AS) yang diiktiraf sebagai mata... Klik di sini untuk terus membaca

MENGHARUNGI suku kedua tahun 2023, majoriti pakar ekonomi dunia hangat memperkatakan tentang kebangkitan mata wang Yuan milik kerajaan China atau renminbi sebagai opsyen menggantikan dolar Amerika Syarikat (AS) yang diiktiraf sebagai mata wang dunia ketika ini.

Di Malaysia sendiri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak ada sebab untuk negara seperti Malaysia terus bergantung kepada dolar AS dalam menarik pelaburan ke negara ini.

Dengan Malaysia menerima jumlah nilai komitmen pelaburan keseluruhan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170.07 bilion hasil lawatan kerja rasmi Anwar dan delegasi ke China selama tiga hari, beliau mengulangi cadangan untuk menubuhkan Tabung Kewangan Asia (AMF) sebagai alternatif kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dipelopori AS.

Menariknya, Menteri Kewangan itu menekankan peranan China yang dinyatakannya begitu berminat untuk menjayakan usaha penubuhan AMF, satu fungsi tabungan antarabangsa yang dijangkakan mampu menarik minat penyertaan negara-negara ekonomi besar dan membangun di rantau Asia sendiri.

Persoalan utama, mampukah kebangkitan renminbi atau cadangan penubuhan AMF memecahkan dominasi AS dalam persaingan ekonomi dan perdagangan dunia menerusi IMF dan mata wang dolar AS dalam masa terdekat?

Hakikatnya, perkembangan terkini cadangan pengurangan kebergantungan Malaysia terhadap dolar AS sebagai rizab mata wang antarabangsa turut menarik minat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan rakan sekutunya yang juga bekas Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan.

Shahril Sufian
Shahril Sufian

Menerusi siri podcast ‘Keluar Sekejap’, kedua-dua bekas pemimpin muda berpengaruh itu menyifatkan gelombang kebangkitan renminbi bagi mengimbangi pengaruh dolar AS sebagai satu ‘perkara besar yang perlu diberikan perhatian’.

Dengan dolar AS sebagai mata wang rizab antarabangsa bermaksud mata wang itu sebagai pilihan utama untuk dipegang bank-bank pusat di seluruh dunia termasuk Malaysia, Shahril Sufian mempersoalkan sama ada kerajaan bersikap realistik dalam mempertimbangkan kemampuan Yuan atau AMF memecahkan dominasi dolar AS dengan mudah.

KETINGGALAN

Hakikatnya, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan Yuan China masih jauh ketinggalan di belakang dolar AS dalam soal pengukuhan mata wang meskipun beliau tidak menafikan kebangkitan pengaruh renminbi semakin meningkat terutama dalam aspek transaksi perdagangan gas cecair (L&G) dengan negara-negara Eropah dan Amerika Selatan.

"Ini kerana selain faktor kestabilan ekonomi dan politik serta kekuatan geopolitik AS yang menjadi konteks pengukuhan dolar AS, sebab lain dolar AS kekal menjadi mata wang rizab antarabangsa adalah kepentingan mata wang itu menjadi transaksi perdagangan petroleum di seluruh dunia (petrodollar).

"Pada masa sama saiz dan kedalaman pasaran kewangan membabitkan dolar AS juga sangat besar. Saya maksudkan di sini adalah aset kewangan termasuk saham, bon, sukuk dan sebagainya di mana pasaran bon di AS sahaja bernilai hampir AS$50 trilion, berbanding China yang memiliki pegangan aset kewangan tidak sampai AS$20 trilion.

"Kemampuan AS memiliki saiz dan kedalaman pasaran kewangan kukuh disebabkan pendekatan kerajaan negara itu yang memperkenalkan pelbagai bon yang bersifat terbuka dan boleh dipegang entiti luar termasuk entiti bukan kerajaan. Di Malaysia dan China sendiri, sebahagian besar pasaran bon dan saham dikawal selia entiti kerajaan,” jelasnya.

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

Bagi Khairy, fenomena kebangkitan mata wang Yuan mungkin tidak akan beri kesan semalaman terhadap kedudukan dolar AS, tetapi tetap beri impak kerana peralihan transaksi perdagangan antarabangsa berasaskan renminbi sedang rancak berlaku.

"Kalau tengok pada tahun 2007, berasaskan data simpanan mata wang antarabangsa global, dolar AS dicatatkan merangkumi 69 peratus daripada jumlah rizab simpanan mata wang bank-bank pusat di seluruh dunia. Namun kini, nilainya jatuh kepada 58 peratus, melibatkan kemerosotan hampir 15 peratus.

"Pada tahun 2010, kedudukan renminbi (Yuan) untuk digunakan sebagai bayaran mata wang bagi transaksi perdagangan di seluruh dunia adalah di tempat ke-35, jauh ketinggalan berbanding dolar AS, Euro (Kesatuan Eropah) dan Yen (Jepun).

"Namun tahun lalu, mata wang Yuan sudah meningkat naik ke tempat keempat dengan semakin banyak negara menggunakan mata wang negara China itu termasuk Perancis dan Brazil untuk tujuan perdagangan antarabangsa.

"Senario ini membuktikan persaingan geopolitik dunia tidak lagi tertakluk soal ketenteraan, perdagangan dan pelaburan tetapi melibatkan aspek kekuatan mata wang negara kuasa dunia,” ulas Khairy.

TIDAK TERUJA

Seorang pakar ekonomi bagaimanapun tidak teruja dengan perkembangan terkini kebangkitan Yuan dan cadangan penubuhan AMF bagi menyaingi IMF.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito berpandangan masih terlalu banyak persoalan perlu dijawab sebelum Malaysia benar-benar komited untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS.

Carmelo Ferlito

"Pertamanya, apa maksud sebenar kita mahu kurang bergantung dengan dolar AS? Untuk bayar transaksi perdagangan menggunakan mata wang negara lain? Kalau ya, apa alternatif terbaik selain dolar AS?

"Saya tidak begitu teruja menukar dolar AS kepada Yuan memandangkan dolar AS secara sejarahnya masih dianggap rizab mata wang antarabangsa utama,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambah beliau, perkembangan terkini yang sihat dalam senario kewangan antarabangsa boleh menjadi sesuatu bermanfaat - bukannya menimbulkan ketegangan geopolitik dunia - hanya jika disertai dengan pembukaan sebenar ekonomi negara kepada persaingan dalam kalangan mata wang dunia sedia ada.

Dengan cara ini, Carmelo melihat kewujudan mata wang ASEAN dan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) yang baharu boleh menjadi alternatif kuat kepada dolar AS - bukan sebagai hasil kehendak persaingan kuasa geopolitik, tetapi kesan langsung daripada persaingan pasaran perdagangan.

"Sekiranya kewujudan mata wang baharu berkembang tanpa mengambil kira pembukaan ekonomi negara kepada persaingan mata wang asing lain, maka mata wang itu hanya akan menjadi subjek penguasaan hagemoni pelopornya.

"Kekuatan mata wang baharu itu akan bergantung pengaruh blok geopolitik mana ia dibentuk, menjadikannya tidak stabil dan paling penting, pengaruhnya tidak jauh berbeza dengan dolar AS yang ingin digantikan.

"Sebaliknya, jika mata wang baharu yang muncul disokong dasar monetari kukuh yang tidak dapat ditembusi pengaruh mana-mana blok geopolitik atau manipulasi kewangan, langkah itu boleh memenangi hati, fikiran dan poket pengguna,” tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca