KEBELAKANGAN ini soalan yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia ialah adakah Aidilfitri tahun ini jatuh pada tanggal 21 April? Keresahan umat Islam memang dijangka rentetan pengalaman ‘raya terkejut’ tahun lalu. Justeru,... Klik di sini untuk terus membaca

KEBELAKANGAN ini soalan yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia ialah adakah Aidilfitri tahun ini jatuh pada tanggal 21 April? Keresahan umat Islam memang dijangka rentetan pengalaman ‘raya terkejut’ tahun lalu.

Justeru, pengumuman Pusat Astronomi Antarabangsa atau International Astronomy Centre (IAC) berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) betapa negara itu dan kebanyakan negara Arab lain, akan menyambut Aidilfitri pada tanggal 21 April, telah menimbulkan keresahan melampau.

Tinjauan penulis mendapati ramai handai taulan terpaksa merombak semula jadual perjalanan pulang ke kampung. Jelas sekali mereka tidak mahu pengalaman pahit berhari raya pertama di jalanan kembali berulang.

Penulis setuju dengan tindakan segera Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang menasihatkan umat Islam agar tidak keliru dan panik dengan pengumuman dari UAE itu.

Penulis juga tertanya-tanya, apakah sebenarnya tujuan IAC membuat pengumuman sedemikian. Bagaimana IAC membuat perkiraan dan apakah fundamental keputusan berkenaan.

Kebiasaan di Malaysia, tarikh sambutan Syawal dilakukan menerusi pemerhatian manusia.

Memang ada pengiraan matematik mengikut falak iaitu ilmu terkait pergerakan alam dan objek di seluruh cakerawala yang mempunyai hukum dan syarat. Kiraan ini dikenali kalendar ‘Umm al-Qura’ iaitu kalendar lunar digunakan di Arab Saudi.

Takwim Umm al-Qura berdasarkan pengiraan astronomi dan mengambil kira fasa bulan serta lokasi pemerhati. Ia digunakan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menentukan permulaan rasmi bulan Islam dan hari kelepasan agama termasuk Aidilfitri.

Penulis percaya teknologi astronomi merujuk kepada penggunaan peralatan dan alatan canggih untuk mengkaji objek dan kejadian cakerawala, termasuk fasa serta kedudukan bulan di langit.

Teknologi ini termasuk teleskop, kamera dan perisian yang boleh meramalkan dengan tepat kedudukan benda angkasa pada bila-bila masa tertentu.

Dalam kes penentuan permulaan bulan Islam yang baharu, teknologi ini digunakan untuk meramalkan kelahiran anak bulan iaitu permulaan bulan baharu.

Ramalan tersebut berdasarkan pengiraan astronomi yang mengambil kira pergerakan bulan dan bumi, serta lokasi pemerhati daripada permukaan bumi. Pengiraan ini sangat tepat.

Ia meramalkan dengan tepat masa dan kedudukan anak bulan. Takwim ‘Umm al-Qura’ ialah contoh takwim yang berasaskan kepada pengiraan astronomi terbaharu.

Bagaimanapun, ada beberapa cara lain untuk menentukan kelahiran anak bulan Syawal iaitu menggunakan teknologi astronomi.

Salah satu kaedah yang paling biasa ialah kaedah konjungsi yang melibatkan pengiraan masa tepat apabila bulan dan matahari berada dalam gabungan. Ia bermakna anak bulan berada dalam longitud cakerawala yang sama.

Kaedah konjungsi menggunakan pengiraan astronomi lanjutan untuk meramalkan masa yang tepat bagi konjungsi. Pengiraan ini mengambil kira kedudukan bulan dan matahari berbanding lokasi pemerhati di permukaan bumi, serta faktor-faktor lain seperti orbit bulan dan putaran bumi.

Kaedah lain yang boleh digunakan ialah kaedah ‘keterlihatan bulan sabit’ atau crescent visibility, yang meramalkan bila anak bulan mula-mula kelihatan dengan mata kasar selepas anak bulan.

Kaedah ini juga menggunakan pengiraan astronomi untuk meramalkan masa dan lokasi tepat bagi melihat anak bulan pertama, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menentukan permulaan bulan Syawal.

Kedua-dua kaedah konjungsi dan keterlihatan anak bulan digunakan oleh ahli astronomi serta pihak berkuasa Islam untuk menentukan permulaan bulan Islam baharu, termasuk bulan Syawal.

Kesimpulannya, kita harus bertenang. Pengumuman IAC mungkin benar berdasarkan kajian mereka. Begitupun, Malaysia memiliki kaedah terbaik berdasarkan kajian syarak yang telah diamalkan sejak zaman-berzaman.

Justeru, umat Islam diingatkan agar tidak mudah melatah menangani pengumuman IAC.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca