PUTRAJAYA - Kediaman berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM1 juta mencatat jumlah tidak terjual tertinggi iaitu sebanyak 9,323 unit bernilai RM6.29 bilion atau 33.6 peratus daripada keseluruhan kediaman siap dibina yang tidak... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Kediaman berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM1 juta mencatat jumlah tidak terjual tertinggi iaitu sebanyak 9,323 unit bernilai RM6.29 bilion atau 33.6 peratus daripada keseluruhan kediaman siap dibina yang tidak terjual.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Johor mengekalkan jumlah dan nilai kediaman tidak terjual tertinggi sebanyak 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion, diikuti Selangor dengan 3,698 unit bernilai RM2.74 bilion manakala Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion).

"Bagi kediaman berharga di bawah RM300,000 pula sebanyak 6,509 unit di seluruh negara dengan nilai RM1.34 bilion dan berharga RM300,000 hingga RM500,000 pula berjumlah 8,128 unit dengan nilai RM3.29 bilion," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di sini, pada Jumaat.

Ahmad berkata, bagaimanapun, bilangan kediaman siap dibina tidak terjual turun kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion pada akhir Disember tahun lepas berbanding 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion pada penghujung 2021.

Jelasnya, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mengenai kediaman siap dibina tidak terjual juga menunjukkan masih terdapat banyak kediaman mampu milik yang boleh dibeli rakyat.

"Ada hartanah di bawah (harga) RM300,000 yang masih banyak tidak terjual dan ini sebenarnya memberi peluang untuk membeli hartanah mampu milik," katanya.

Ditanya mengenai punca berlakunya kediaman siap dibina tidak terjual, Ahmad berkata ini termasuk faktor kemampuan rakyat membeli rumah serta penawaran rumah di lokasi yang tidak menepati permintaan.

Melaka sebaliknya muncul sebagai negeri yang menepati nisbah harga rumah mampu milik dengan keupayaan pembeli, kata beliau.

"Di negeri lain sepatutnya harga lebih rendah...tapi apa berlaku di pasaran adalah lebih tinggi. Contohnya, keupayaan di negeri itu RM200,000, namun yang dibina RM250,000.

"Pemaju perumahan ini perlu membuat penilaian kemampuan rakyat di negeri terbabit," katanya.

Penurunan harga hartanah Malaysia tidak mungkin berlaku

Sementara itu, penurunan harga hartanah dilihat mustahil kerana Malaysia masih antara negara Asia yang mempunyai nilai yang sangat kompetitif.

Pakar hartanah, Datuk Mohd Ali Abdul Majis berkata, pembetulan harga pasaran hanya boleh boleh dibuat dengan menstabilkan harga hartanah mengikut permintaan dan penawaran serta pendapatan perkapita.

Menurutnya, harga hartanah yang tidak seimbang berbanding pendapatan isi rumah antara faktor penyumbang rumah tidak terjual.

"Umum sedia maklum, pendapatan di Malaysia tidak mengalami kenaikan yang seimbang berbanding dengan perkembangan ekonomi.

"Hampir 30 tahun, kita boleh lihat kadar pendapatan perkapita dan kenaikan gaji masih sama dan sangat sedikit kenaikannya.

"Tetapi inflasi terus menaik, kenaikan kos sara hidup yang lain turut mengalami kenaikan, contohnya kos pendidikan, perubatan, makanan, bahan mentah, bahan binaan serta nilai tanah yang semakin naik,” katanya.

Tambah Mohd Ali, kerajaan boleh memainkan peranan dengan menyediakan tanah serta pemberian untuk pembinaan hartanah mampu milik bersesuaian dengan pendapatan isi rumah rakyat B40 dan M40 di Malaysia.

Kerajaan juga katanya, perlu lebih peka dengan kelulusan projek perumahan supaya seimbang dengan projek impak sosial berbanding projek hartanah komersial.

JUMLAH RUMAH TAK TERJUAL

Penghujung 2021: 36,863 unit (bernilai RM22.79 bilion).

Penghujung 2022: 27,746 unit (bernilai RM18.41 bilion).

JENIS RUMAH TIDAK TERJUAL

Bawah RM300,000 - 6,509 unit (bernilai RM1.34 bilion).

RM300,000 hingga RM500,000 - 8,128 unit. (bernilai RM3.29 bilion).

RM500,000 hingga RM1 juta - 9,323 unit (bernilai RM6.29 bilion).

NEGERI KEDIAMAN SIAP TIDAK TERJUAL PALING TINGGI

1. Johor - 5,258 unit (RM4.33 bilion).

2. Selangor - 3,968 unit (RM2.74 bilion).

3. Pulau Pinang - 3,593 unit (RM2.74 bilion).

Klik di sini untuk terus membaca